.

Wednesday, July 31, 2013

Sepatu free & Soo Wincci...

Hari ni, dari pagi agak sibuk memproses bahan (rencana) untuk dateline Jelita edisi September 2013. Dalam sibuk, masih mencuri masa untuk return loan (baju shooting). Memang agak mencabar bekerja dalam bulan puasa macam ni, kebetulan cuaca juga agak panas dan berjerebu...hausnya Dia saja Maha Tahu.

Lepas return sut milik perunding imej dan pereka, Bon Zainal di Hartaman, pecut si kecil aku menghala ke Taman Melawati untuk return koleksi busana daripada Azura Couture. Selesai...oh, btw dalam perjalanan ke tadi dapat call daripada PA Soo Wincci, Atie. Katanya, "Hei Kak Anis, free tak petang ni...datang kedai kasut XES di Festival City. Datang tau, Soo Wincci nak hadiah kasut raya. Akak datang ye, pilih sendiri mana yang berkenan." Ceria suara Atie di hujung talian, mengujakan aku. Wah! Menarik, kebetulan tak ke mana-mana petang nanti. Nak patah balik ke office pun dah lewat dan jem. Lagi pun, kata orang...rezeki jangan ditolak...musuh jangan gatai p cari!

Selesai urusan return loan, aku bergegas ke  Festival City. Di dalam kedai XES, nampak kelibat Soo Wincci ramah melayani rakan media. Aku rasa ramai rakan media sedia maklum, PR Wincci memang bagus. Senang bekerjasama dengannya, tak banyak kerenah dan tahu apa yang dia inginkan. Dah...tak nak puji lebih-lebih, nanti Uolls ingat aku pasang 'aircond' pulak.

Oh ye, sempat berborak dengannya. Kata Wincci, "Tahun ini saya cuba puasa penuh, kecuali satu hari lepas saya ponteng sebab sakit. Seronok dapat sama-sama berpuasa dan saya suka makan buah kurma waktu berbuka." Wah...bagusnya Wincci, bukan main bersemangat dia berpuasa. Hebat ke tidak...!!!

...berbalik pada kasut raya yang dihadiahkan Wincci untuk rakan media, terima kasih banyak-banyak. Act, penyanyi dan peserta Master Chef Selebriti ni duta XES. Sepatu jenama Soo Wincci juga ada dijual di kedai kasut ni, cantik-cantik. Tapi sayang, aku kurang selesai pakai heel...so pilihan aku hanya sepatu jenis flat saja. Hehehe...jangan tamak. Pilih yang selesai dipakai bukan nampak cantik saja...betul ke tidakkkk ^_^

Soo Wincci memegang satu daripada sepatu jenamanya
Ini antara sepatut jenama Soo Wincci di XES, Festival City
Ini dia sepatu pilihan aku...comel ke tidak!!!
Sesi posing mesti ada jugak...hehehehe...tqvm Wincci

Iklan raya yang best...

Hari ni malas nak mengomel, tak berapa nak ada mood sebab otak penat proses bahan (rencana) sebelum cuti raya. Alhamdulillah dapat jugak 'bungkus' dateline 30 hb ni, so akan ada masa lima hari untuk proses layout dan dapatlah masing-masing bercuti juga beraya dengan tenang.

So, apa kata kita layan iklan raya yang simple tapi very nice and ada nilai tersendiri. Mungkin Uolls semua dah pernah tengok iklan ni di youtube, tak apa aku saja share kat sini untuk memori raya aku akan datang. Selamat menonton ^_^

Sunday, July 28, 2013

Rindu kita...

...biar mampirmu sepurnama cuma, pun memori kita sepenuh jiwa
suka duka membaluti rasa, kau benar bagai dijanji
luar biasa membuat aku enggan berpaling biar sebentar
mahu kudakap seeratnya kasihmu

...saat mereka menyindir, hey kenapa kau suka sendiri
lihat kita-kita ini, sakan meneguk suka riang bersama
aku...aku tetap denganmu memeluk erat biar padat tepu di sini
dalam hati paling dalam

...kita punya memori bersama
biar tiada seorang mengerti,  tak ku peduli itu
biar rasa itu  milik kita
biar basah dalam kenangan tiada kita pernah sengketa

...sedini mengenalmu, kita masih bersama izin-Nya
dakap aku erat-erat, jangan selangkah menjauh
basahi aku dengan kasihmu biar lunak hatiku
biar kasih cinta bercambah hingga akhir waktu

...waktu kian merangkak pergi
kau jua
sayu pilu membungkus rasa
wahai Ramadan, biar punya waktu buat mendakap rinduku

Syukur Ya Allah, masih punya waktu bersama RamadanMu


Saturday, July 27, 2013

Pagi di Chow Kit...

Lepas sahur (4.30am) dan selesai solat Subuh, tak sambung tidur macam minggu-minggu sebelum ni. Hari ni agak padat dengan pelbagai agenda, terutama melangsaikan order2 untuk 'Miss Red Velvet with Creamcheese'. Alhamdulillah, order yang diterima buat aku tak menang tangan dan tak cukup rehat apatah lagi di bulan Ramadan ini. Pun begitu, syukur dengan sangat atas rahmat dan rezeki daripada Allah.

Jam 7 pagi, aku bergegas ke Chow Kit (dalam sibuk-sibuk masih sempat nak melunaskan keinginan hati buat sesi 'melawat kawasan'). Selain book store, aku memang suka merayap ke pasar basah. Kalau ada kesempatan, setiap sabtu aku akan buat sesi melawat kawasan di Pasar Tani Taman Melawati. Berbanding pasar tani di Melawati, aku lebih suka pasar Chow Kit.

Setelah sekian lama, pagi ni aku berpeluang lagi cuci mata di pasar Chow Kit. Allahu Akbar, seronok tak terkata dapat melihat sayur-sayur segar, ulam yang unik-unik, daging segar dan ikan pelbagai jenis (tapi sayang tadi banyak betul ikan2 beku...susah ye nak cari ikan segar sekarang -_-).

Pemandangan dalam Pasar Chow Kit (Gambar: Google)

Banyak pilihan ulam segar (Gambar: Google)
Memang seronok, kalau tak kerana nak kena borong keperluan kek di Melawati agaknya sampai tengah hari dok 'berkurung' dalam pasar tu. Hehehe...agak 'acik-acik' sikitlah kesukaan aku ni kan, tak kisahlah. Janji happy, kesukaan 'murah' yang memberi kegembiraan 'mahal'!

Saya sempat beli sedikit daging kambing (RM22 sekilo), nangka muda (RM4 sekilo, ambik 4 keping RM2.40), telur 30 biji, pucuk paku, ketam (bikin gulai la apa lagi) dan sekeping ikan pari (nak buat Asam Pedas Rebus).

Aku sempat snap benda-benda yang menarik perhatian, payah nak snap sebab ramai orang. Tgk kat bawah tu...sebahagian yang aku berjaya snap dengan jelas, lain2 kebanyakan blur hahahaha).

Hehehe...ni memang payah nak jumpa kalau takat masuk Giant, Tesco or yang sewaktu dgnnya...hebat ke tidakkk ^_^
Bergantungan paha kambing, satu-satunya gerai jual daging kambing dalam pasar Chow Kit ni (kalau x silap aku la)
Kenal tak buat apa ni? Serius aku baru tahu ini rupa buah Asam Gelugor...jakun jap dibuatnya
Sebahagian lagi belum masak...unik betul bentuknya dan nampak mcm sedap (sayang masam)
 Jam 9.30 pagi, aku bergegas ke Taman Melawati. Singgah kedai bakery untuk beli bekalan gula aising, baking powder, esen vanila, bekas kek dan lain-lain (byk bebenor nak disenaraikan...). Alang-alang dah ke Melawati, terus masuk Pasar Tani. Wah...meriah dengan baju-baju pelbagai rona dan corak, teringin lak nak beli untuk pakai raya nanti. Sayang, bajet dah lari...ada RM30 je dalam tangan...so kena buat-buat tak nampak saja (tak nak p cucuk kat ATM, nanti nak raya x berduit lak).

Kat pasar tani ni, aku cuma cuci mata saja. Lagipun, bekalan lauk semuanya dah beli kat Chow Kit tadi. Puas cuci mata, singgah isi minyak kereta dan terus balik. Barang penuh ruang tempat duduk belakang...berplastik-plastik. Time naik tangga rumah, dah rupa 'acik-acik' balik umrah. Penuh tangan, kiri dan kanan....hahahaha...Anis...Anis ^_^

Itu je la aktiviti saya pagi tadi, malam sikit atau esok (ikut mood, kalau rajin mlm ni aku post kan kat sini) aku nak share satu cerita...tajuknya 'Lelaki baik tak mencabar?' Apa kisahnya, kena tunggulah ye....Now, saya nak sambung baking time. Ada lebih kurang 20 bekas 'Miss Red Velvet with Creamcheese' belum disiapkan.

Friday, July 26, 2013

Rahsia sujud di dalam solat...

Tahukah kita solat 5 KALI sehari iaitu 17 RAKAAT telah berlaku 34 kali SUJUD. Di dalamnya terdapat 1001 hikmah yang terkandung. Antaranya:-

Seorang ahli Sains saraf otak Amerika, Dr. Fidelma O’leary mendakwa bahawa beberapa saraf di otak manusia tidak boleh dialiri oleh darah dari jantung kerana posisi jantung yang berada di dada tidak cukup kuat untuk menampung pembawaannya ke otak manusia. Padahal otak amat memerlukan oksigen dan bekalan darah yang mencukupi supaya dapat berfungsi secara normal. 


Beliau mengkaji dari tempoh masa yang lama untuk mencari jawapan. Dikaji dengan lebih serius akhirnya dia perolehi jawapan bahawa darah akan mengalir setiap inci ke otak manusia secara sempurna ketika seseorang itu melakukan sujud seperti yang dilakukan oleh orang-orang Islam dalam solat. 

Bila perkara ini berlaku,maka otak dapat bekalan darah dan oksigen yang mencukupi lalu dapatlah menghindarkan pelbagai jenis penyakit seperti stress, migraine, stroke , menyegarkan otak serta menajamkan akal fikiran sekali gus menguatkan mentaliti kita (terutama ketika sujud waktu solat Subuh). Juga boleh membaiki posisi anak dalam kandungan rahim…dll.


Paling HEBAT lagi maka dia memeluk Islam…hebat tak kuasa SUJUD?

Sebenarnya:-
1. SUJUD PERTAMA tanda TAAT (PERINTAH ALLAH)
2. SUJUD KEDUA tanda SYUKUR (HAMBA KEPADA ALLAH)

Dalam khutbah Ramadhan Nabi s.a.w bersabda:,
Punggung-punggung kalian sudah berat menanggung dosa-dosa kalian. Ringankan lah beban kalian dengan memperbanyakkan sujud.

“Hendaklah kamu bersujud kepada Allah kerana sungguh tiada sekali engkau bersujud melainkan dengannya Allah mengangkat satu darjat dan menghapuskan satu dosa (kesalahan) darimu” ,(HR Muslim)

Firman Allah SWT yang bermaksud:-
” Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar” (Surah Al-Ankabut ayat:45)

Dari Sudut Tasawuf
Sujud adalah waktu di mana seorang hamba itu paling hampir dengan Penciptanya. Pergerakan sujud itu secara lahirnya telah menunjukkan “rasa menghina dirinya” seseorang hamba itu di depan Tuhannya di dalam keadaan menyerah diri, pasrah, berikrar dan mengaku bahawa“Ya Allah hanya Engkaulah Tuhan yang layak disembah, ditakuti, dicintai dan hanya pada-Mu sahajalah tempat berserah dan memohon pertolongan”.

Thursday, July 25, 2013

Wuhuuu...Hotnya 'Miss Red Velvet'...

Ini My Miss Red Velvet Cake with Creamcheese size mini ^_^
Alhamdulillah, Ramadan tahun ini memberi rezeki luar biasa kepada aku. Berbanding tahun sebelumnya, kali ini tempahan untuk 'Miss Red Velvet Cake with Creamcheese' sangat-sangat diluar jangkaan.

Apa tidaknya, permintaan untuk cake 'merah chenta' ini melebihi 40% daripada biasa. Kalau tahun lepas dan sebelumnya, aku tak cuak sangat memenuhi order-order untuk cake ini. Tetapi kali ini, aku jadi 'neves' semacam. Apa tidaknya, hampir setiap hari aku menerima order sekitar 3-5 bekas. Dihitung-hitung, sejak seminggu sebelum Ramadan lagi aku telah menerima tempahan hampir 173 biji (untuk size mini Miss Red Velvet Cake).

.Syukur dengan sangat, kerana limpahan rezeki daripadaNya. Benarlah rezeki itu pemberian Allah dgn penuh 'rahsia' & kenikmatan tiada taranya. Alhamdulillah, Miss Red Velvet with Creamcheese by Qalischa Homemade Recipes cukup hot sepanjang Ramadan ini. Bak kata seorang pelanggan tetap cake ini, "Sekali suap memang terkenang-kenang, kalau boleh hari-hari nak makan. Sahur pun mesti nak layan kek ni."

Terima kasihlah kepada semua pelanggan yang sudi memberi sokongan dan kata-kata semangat kepada aku. Uolls pun antara sumber kekuatan dan semangat untuk aku terus gigih mengasah kemahiran diri. Walaupun belajar sendiri, tanpa jemu...berkali-kali...malah sampai jari-jari hampir 'kerjung' menahan kepanasan oven, tapi Alhamdulillah sangat berbaloi. 

                                                   ***Syukur Ya Allah, dengan sangat***

Wednesday, July 24, 2013

Tahniah Hattan dan Arianie...

Gambar: Berita Harian
Benarlah, jodoh dan pertemuan itu rahsia Allah. Ikatan yang dulunya terlerai dengan lafaz talak, hari ini terjalin semula. Siapa sangka, selepas bertahun-tahun berpisah, akhirnya pasangan ini kembali bersatu dengan ikatan perkahwinan dan tentunya insan paling gembira adalah Adam (anak pasangan ini).

Mengambil berkat kemuliaan dan keberkatan Ramadan, Mohd Shukri Sahabuddin, 49, (Datuk Hattan) akhirnya memiliki Arianie Abidin,42, (Datin Arianie) kembali (untuk rekod, pasangan itu pernah berkahwin pada 17 Disember 1996 sebelum bercerai talak satu secara rasmi pada 10 Mac 2005 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, Selangor. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniai anak lelaki Adam Eiman, 15 tahun.

Penyanyi dari Seri Menanti, Negeri Sembilan itu juga pernah berkahwinkali kedua dengan Noorfarashikin Othman pada 11 November 2011, tetapi berpisah dua bulan kemudian).

Arianie berkata, kesungguhan Hattan memikat hatinya sejak sembilan tahun lalu akhirnya menyentuh hatinya. "Bak kata pepatah, kalau sudah jodoh tidak akan ke mana-mana dan saya berharap ia akan berkekalan sehingga akhir hayat kami," katanya. Manakala Hattan pula berkata, dia bersyukur kerana doanya untuk bersatu dengan Arianie termakbul. "Kegembiraan yang saya rasai ketika ini sukar saya nak dijelaskan dengan kata-kata. Syukur, doa saya selama bertahun-tahun akhirnya termakbul."


Gambar: Mstaronline
Pasangan ini sah menjadi suami isteri dengan dua kali lafaz dalam majlis pernikahan serba sederhana yang dihadiri kira-kira 200 tetamu yang berlangsung di Hotel Marriot Putrajaya di sini, hari ini.

Buat Hattan dan Arianie, tahniah dan selamat melayari bahtera perkahwinan. Doa aku, semoga berkatan Ramadan ini melimpahi kehidupan kalian sekeluarga. Selamat pengantin baru ^_^

Tuesday, July 23, 2013

Catatan hati...

Ghibah (mengumpat) adalah engkau membicarakan aib (yang dimiliki oleh saudaramu) yang Allah telah menutupnya (sehingga tidak diketahui oleh orang lain), dan menuduh (berdusta) adalah engkau membicarakan aib yang tidak dimiliki olehnya.

Apa perasaan uolls if terdengar orang yang kononnya 'kawan' MENGUMPAT hal diri Uolls? Marah, geram, rasa nak lumur mulut orang tu dengan SAMBAL BELACAN? Hehehe...itu yang aku rasa! Ye, aku hanya insan biasa yang adakalanya lemah dengan kekurangan diri. Ada waktu aku mampu sesabar-sabarnya, ada ketika kalah juga dengan tuntutan emosi.

Lebih 'TRAGIS' sesi mengumpat yang sangat rancak dan saling sampuk-menyampuk itu berlaku di dalam surau (situ bukan tempat kita 'jumpa' Allah dan 'cari' pahala ke?). Dalam marah, sedih, geram dan kecewa...aku terkedu. Serius, aku tak menyangka begitu sekali diperlakukan. Hebat sangat ke aku ni sampai nak diumpat dalam surau? 

Hey, aku orangnya biasa-biasa saja. Emosi aku pelbagai dan kelemahan aku yang paling nyata lagi jelas adalah TIDAK reti berlakon untuk menyembunyikan rasa hati. Misalnya, kalau aku sedih... sakit...byk sangat masalah atau gigih berfikir maka semua itu 'terpancar' di muka. Pun begitu, tak bermakna aku sesuka hati akan SEMBUR orang kerana kelemahan aku yang kedua adalah DIAM apabila otak KACAU atau terlalu MARAH (dengan sangat).

Sejak kecil lagi, aku MENDIDIK hati dan diri untuk tidak KURANG AJAR dengan sesiapa pun (hingga ramai orang suka TUDUH aku kaki kipas sebab tetap layan orang yang MENZALIMI perasaan dan diri aku dengan baik, malah boleh MEMUJI orang itu dengan BERSAHAJA).

Aku bersyukur sebab Allah selalu beri ILHAM dan PETUNJUK dalam pelbagai cara juga keadaan. Ada waktu tertentu, FIKIRAN orang pun aku boleh 'BACA'. Eh...saya bukan AHLI NUJUM, tetapi beberapa orang 'BIJAK' yang mengaku aku ni UNIK dan ISTIMEWA kerana ada KELEBIHAN itu malah kata mereka kalau aku RAJIN dan ada KESUNGGUHAN boleh jadi BOMOH... OH TIDAK!!!


Ok berbalik pada kisah ANYAM KETUPAT tadi, ye aku rasa macam nak rempuh masuk ke dalam bilik surau dan sound sekor2! Ye itu yang aku teringin sangat nak buat, tetapi malangnya itu cuma dalam imaginasi aku je. Hakikatnya, aku hanya mampu dengar dan muhasabah diri. Kaji dan proses apa yang mereka umpatkan dan akhirnya aku mulai MENJAUH daripada mereka.

Ye, kerana kelemahan aku yang ketiga adalah mudah KALAH dengan orang BAIK. Walaupun dia pernah menyakiti hati aku dengan pelbagai cara dan perbuatan, tetapi apabila buat baik cuma seinci tetapi aku selalu berbesar hati untuk membalasnya berinci-inci, malah lebih daripada itu. Aku menjauh bukan kerana BENCI, tetapi jauh HATI dan amat kecewa kerana segelintir mereka itu pernah merasai KEBAIKAN aku (yang mungkin tidaklah seberapa kepada mereka).

Apapun, mengambil keberkatan dan kemuliaan RAMADAN ini, aku akur...manusia tiada yang SEMPURNA. Mereka juga seperti aku, hanya insan BIASA, justeru adalah wajar untuk aku MENGABAIKAN perlakuan mereka dan kembali pada proses asal (biarlah kita tidak lagi saling berteman). Segelintirnya aku masih mampu bertegur sapa, ada sorang dua lagi yang aku rasa jauh hati sangat-sangat, maka aku tak mampu MENIPU diri. 

...Ya Allah, semoga Engkau mengampuniku...

Monday, July 22, 2013

Sentap & emo...

Mlm ni lepas selesai tarawih, terus pecut kecil kecil aku ke Taman Sri Rampai, Jln Genting Klang. Ada janji dengan member2 nak ‘tala’ durian puas-puas sebab sebelum puasa tu ari rancangan untuk ‘makan besar’ tergendala berikutan ada yang tidak sihat (‘diharamkan’ makan durian Uolls, so demi persahabatan kami tangguhkan… cewah!!!)

Sampai di gerai durian tepi jalan tu, kelibat Selipar Jepun, Babun, Minah Leper, Sotong, Sakun dan Tiffah dah kelihatan. Wah, dari jauh pun boleh dengar gelak besar mereka. Dan sampai2 je terus kena ‘basuh’ sebab lambat sampai…hehehe…!

Mari membasuh ‘kawan-kawan’...
Babun: Lu memang gitulah kan, suka lambat-lambat. Nak bernanah bontot gua tunggu.

Aku: (Senyum…tak sempat nak membalas, Selipar Jepun yang terkenal dengan mulut longkangnya dah menyampuk).

Selipar Jepun: Dah…dah…kami dah order mcm-mcm ni + durian 5 biji versi timbang. Yang jual 3 RM10 tu x marilah. Semua tu Lu kena settle eh.

Aku: Eh…wah…wah…ambil kesempatan ni. Gua bukan suka2 nak datang lambat, tok imam baca surah panjang so lambatlah  habis tarawihnya. Takde…takde…bayar sendiri.

Minah Leper: Ko ni mcm tak tahu budak berdua tu, suka paw orang. (…dia tarik kerusi dari meja sebelah dan suruh saya duduk).

                                                                       ..................... 
Jiwa ‘lelakiku’…
Minah Leper (sebab dia sangat slim) memang cool. Tiffah pulak, kalau siapa pandang muka dia sure jatuh cinta. Tapi, apabila dia gelak…rasanya tak cukup tanah nak lari. Ngeri Uolls. Sotong dan Sakun pulak mcm adik-beradik kembar. Semua nak share, tapi kami dah buat kaji selidik mereka berdua bukan ‘skandal yang sesuatu’. Menariknya depa ni, banyak betul stock gossip. Tiga mlm sembang pun tak susut stock gosipnya, ada mcm-mcm versi. Petik saja, menggelupur depa bercerita.

Sunday, July 21, 2013

Sambal Tumis Sotong Kembang with Daun Limau Purut...

Act, hari ni mcm tak ada mood sangat. Mungkin sebab mlm tadi balik lambat, so masih lalok & mengantuk. Lepas Asar, aku melangkah longlai masuk ke ruang dapur. Berat rasanya nak memulakan proses masak-memasak. Tapi kalau tak masak, nak berbuka apa pulak nanti.

Perlahan-lahan bukak peti sejuk, belek bekalan makanan yang boleh dimasak. Aku jumpa sotong kembang yang dibeli minggu lepas, keadaannya kerjung. Alahai...kena tunggu ais cair dulu baru boleh masak. Malasnyaaa..

Sementara tunggu sotong lembut (nasib dah potong siap2 tu ari, kalau tak satu hal jugak nak mengerjanya dalam keadaan kerjung tu dan lagi lama la proses memasak diperlukan).

Alhamdulillah, sambil2 berperang dengan mood malas dan lalok, siap jugak Sambal Tumis Sotong Kembang with Daun Limau Purut ni. Act, sebelum ni aku tak pernah bubuh daun limau purut. Kebetulan ada lebihan, so gunakanlah. Tapi serius, tak sia-sia masukkan daun limau sebab bau Sambal Tumis Sotong Kembang ni lagi naik. Paling penting, bau hanyir sotong hilang. Nak cuba? Tengok resipi yang aku share kat bawah. Sangat simple dan mudah. Macam biasa, bahan-bahannya aku main agak2 saja.
Rupa sambal sotong yang dah siap masak...
Resipi Sambal Tumis Sotong Kembang with Daun Limau Purut
Bahan:
Sotong kembang, dipotong kecil
Cili kering
Bawang merah
Bawang putih
Sedikit belacan (boleh skip kalau tak suka, terutama yg ada masalah resdung tu)
Minyak untuk menumis
Air asam jawa
Gula dan garam
Daun limau purut (boleh jugak cuba campak daun pandan, harus wangiiii)
2 sudu santan pekat (tak taruk pun ok jek ^_^)

Aroma daun limau purut ni memang luar biasa.
Cara membuatnya:
1. Rebus sotong (tak perlu masukkan air) sehingga air sotong kering.
2. Kisar cili kering, bawang merah, bawang putih dan belacan.
3. Tumis bahan kisar sehingga garing, kemudian masukkan air asam jawa, gula dan garam secukup rasa.
4. Bubuh sotong yang direbus tadi, kacau rata.
5. Masukkan daun limau purut dan santan. Didihkan seketika (dalam 2 minit) dan angkat. Siap. Selamat mencuba ye ^_^.

Nazim Othman with sweet line tvc...

Sehari dua ni, kalau Uolls perasan, ada Line tvc so sweet daripada pelakon dan model handsome (muka macam patung hidup tu) Nazim Othman. Aku suka tengok sebab ada kucing gebus yang sangat comel, nakal dan gedik's. Ayooo...kalau aku dapat sekor, sumpah tak cari lain dah ^_^

Ekspresi Nazim (yang sejak kebelakangan ni suka bergaya ala2 Kpop tu) menambah sweet Line TVC ni, setuju tak? Hehehe, jap2...kalau Uolls perasan sejak dua menjak ni bagaikan berlumba-lumba tvc application smartphone disiarkan. Meriah sangat! Dan, dek tvc ni sangat sweet aku pun teruja nak tempek di sini, so kita boleh 'layan' sama-sama tvc ni.


Line TVC yang rancak kat tv...
Sweet tak ekspresi 'Abg Nazim' kita neh?
Gebus n nakal gila kucing ni...

Saturday, July 20, 2013

Ikan Percik KL mari...

Puas lepaskan gian main game, Candy Crush (sekarang dok level 157) terus ke NSK beli bahan basah untuk lauk berbuka petang nanti. Dalam kepala masih blur, tak tahu nak masak apa. Rasa macam dah habis menu simple dalam kepala (hai baru berapa hari puasa nih... -_-)

Sambil-sambil jalan dalam pasar NSK, jenguk-jenguk ikan yang dok bersidai atas rak ikan. Hmmm...semuanya besar-besar, ikan apa nak beli ni. Blur!!! Lepas 'kutip' segala jenis sayur dan ulam, patah balik ke 'ikan area'. Spontan, tangan 'tangkap' beberapa ekor ikan mambong yang saiznya agak besar daripada biasa. Kemudian, sumbat sotong kembang 2 ekor dalam plastik (kot-kotlah rajin nak masak Sambal Sotong Kembang nanti 'kan).

Lepas beli stock butter, gula, susu cair (untuk buat kek coklat moist yang orang order) dan beras, terus balik rumah. Ingat nak pergi cuci kereta, tapi badan rasa melekit semacam dan perut pun memulas-mulas. So, baik gerak cepat sebelum berterabur tengah jalan (yakkkk...!!!).

Balik rumah, lepas rehat 30 jam terus masuk dapur uruskan bekalan basah. Siang ikan, potong sotong kembang siap-siap sebab nanti nak guna senang. Kemudian sambung main game (selagi tak lepas, tak puas hati...entah apa kena la hai).

Ssiap solat Asar terus masuk dapur, siapkan segala bahan untuk masak lauk berbuka. Dah dapat idea nak masak apa ikan mambong besar tu. Yup...sana nak jadikan 'beliau' ikan percik. Biasa kalau beli yang dah siap, rasanya agak manis dan kurang pedas (ikut selera saya la 'kan). So, saya nak buat sendiri ikut resipi #tibaisajajanjisedapbersihpedas. Ok, aku share resipi 'tibai' untuk Uolls yang teringin nak merajinkan diri macam aku ni (yang sesekali rajin ni kan). Check resipi kat bawah ni ye, sukatan ikut suka Uolls sebab aku main 'tibai' je ^_^.

Inilah rupa Ikan Percik Kuah Pedas..hasil bakar ikan atas kuali non-stick jek
Resipi Ikan Percik
Bahan:
Ikan mambong (tak pernah tgk ikan merah buat percik...hehehe)
Garam
Kunyit

Bahan kuah percik:
Bawang putih
Bawang merah
Halia
Lengkuas
Cili kering
Santan pekat
Serai
Gula melaka/gula kabung
Asam gelugor
Garam


Cara membuatnya:
1. Bersihkan ikan, kemudian lumur dengan garam dan kunyit.
2. Kisar bawang putih, bawang merah, cili kering dan halia, lengkuas hingga lumat.
3. Masak kuah: Campurkan santan bersama bahan kisar, serai, gula melaka, asam gelugor dan garam. Masak sehingga kuah menjadi pekat.
4. Bakar ikan sehingga masak. Apabila ikan telah masak, siram dengan sedikit kuah percik dan teruskan membakar. Ulang proses sama 2 kali.
5. Ketika nak dihidangkan, siram lagi dengan sedikit kuah percik.

Friday, July 19, 2013

Tahniah Abby Abadi & Farhan...

Alhamdulillah, tadi dapat perkhabaran Abby Abadi, 35, kembali berumahtangga dengan jejaka pilihannya. Syukur, setelah lima tahun memegang status ibu tunggal akhirnya dia bertemu teman hidup. Act, kalau Uolls ikuti perkembangannya dalam Instagram sure dah boleh agak 'kejadian' ini akan berlaku...hehehe.

Menurut sumber, Abby  bertemu jodoh dengan Muhammad Noor Farhan Che Bakar,24, (11 tahun lebih muda daripadanya). Selepas dua minggu berkenalan, pasangan ini bernikah pada 9 Julai lalu (sehari sebelum menjelangnya Ramadan).

Abby sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan aktor Norman Hakim pada 8 Januari 2002 dan bercerai pada 18 September 2008. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga orang anak (Mohamed Danish Hakim,10, Marissa Dania Hakim,8, dan Maria Danisha Hakim, 5).

Semoga jodoh dan perkahwinan Abby kali ini kekal bahagia hingga ke akhir hayat. Kita doakan yang terbaik mereka berdua, apa yang berlaku sebelum ini biarlah menjadi pengajaran dna panduan hidup pada masa depan. Buat Abby Abadi dan Farhan, tahniah aku ucapkan.

Inilah Farhan, pelengkap hidup Abby sekarang. Alhamdulillah, tahniah ye.
Perbezaan usia bukan halangan untuk pasangan ini hidup bersama.

*p/s:...hmmm pandai Memey simpan rahsia Abby, langsung tak tersebut pasal hal ni waktu buat photografi dengan dia Selasa lepas.



Thursday, July 18, 2013

Tuhan, jaga dia untukku...

...saat rindu bertenda di dada hati, pedih
mengenangmu nan jauh tak tergapai
dalam bisu ada rintih pilu berderai
hancur luluh segala suka ceria

...wahai Tuhan pemilik rindu
 syahdu rasa mengetuk dinding kalbu
tanpa ragu hati merintih segala sendu terzahir
hilang ghaib di mana-mana
segala rasa milik bersama

...wahai Tuhan yang maha Tahu
rasa nan tiada ragu masih bertenda di sini

...wahai kasih belaian jiwa
rasanya...merana
diam di situ tanpa kata, membengkakkan sakit kian dalam
mahu buang segala jerih yang membungkus jiwa
ubati segala sakit dengan wangi cinta

...lalu wahai Tuhan, jaga dia untuku

Wednesday, July 17, 2013

Maria JJCM 'superbest'...

Siapa tak kenal pengacara yang sangatlah 'banyak mulut' ni. Aku bertuah, sebab dalam sibuk-sibuknya dan berpuasa pulak, dia masih sudi memenuhi permintaan aku untuk buat sesi photoshoot. Seronok sangat dapat berjumpa dan bersembang, rasa macam cepat sangat masa berlalu.

Bab kerja, bagi aku, Maria Tunku Sabri (a.k.a Maria JJCM -Jalan-Jalan Cari Makan-) sangat memberi kerjasama baik...pendek kata 'tip top'. Tak banyak kerenah, walaupun dia selebriti terkenal. Sangat memahami tugas wartawan & jurugambar. Alhamdulillah, dia juga selesa dan suka dengan makeup artis yang aku bawak-Vee Muhamad.

Aku hope sangat, artis, selebriti atau pengacara lain juga ada PR macam Maria JJCM. Glamor dan popular bukan bermakna diri tu kena 'DIVA', ikut resam padi...makin berisi makin tunduk. 'Ular yang menyusur akar takkan hilang bisanya', bukanlah nak puji Maria JJCM ni lebih-lebih. Tetapi, dia memiliki pakej yang aku maksudkan. Tq Kak Maria sebab sangat mudah diurus dan bekerjasama dengan baik. Jumpa lagi nanti ye.
Maria JJCM hadiahkan bukunya kat aku...terima kasih kak, semoga Dia terus melimpahkan rezeki untuk akak.
Macam biasa sempat posing bagai...
Awek comel ni ratu hati Maria JJCM, so sweet kan. Aku suka rambutnya yang panjang mengurai.

Jurugambar (PP) dan Makeup Vee Muhamad dilokasi. Tq uolls
Inilah buku yang dihadiahkan kat aku dan Vee.
Vee Muhamad tekut mencantikkan Maria JJCM


Tuesday, July 16, 2013

Memey nan manis...

Setelah sekian lama, akhirnya dapat jugak aku date dengan 'dramatis kontroversi' ini (dululah, sekarang rasanya 'mood' dah ok2 saja ^_^). Jumpa biasa-biasa time event tu biasalah, tapi set date dan shooting dengan dia ni kali pertama.

Awalnya ada 'rada' ngeri jugak, maklumlah tak pernah bekerjasama. Cuma chit chat di dalam whatsapp je. Hari ni, hasrat tu tertunai. Awalnya nak gandingkan dia dengan Abby Abadi, sayangnya atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan maka kempunan la aku nak merealisasikannya.

Bercerita pasal Memey, dia memberi kerjasama baik sepanjang shooting. Walaupun dipertengah 'jalan' baby Darwisz (Mohamed Darwisz Hakim, 5 bln) meragam sikit, tapi Memey tetap fokus dengan tugasnya ( photoshoot with Majalah Jelita yang aku kendalikan pagi tadi di Butik ButtonMyButtons).

Jujurnya, dulu aku sempat rasa marah dengan apa yang terjadi antara dia (Memey), Norman dan Abby Abadi. Bagi aku ketika itu, dia terlalu muda untuk terbabit dalam pergolakkan yang sangat2 tidak manis. Apapun, rahsia hidup kita ini milik Allah SWT. Sekarang, syukurlah hubungan mereka bertiga kembali normal malah sangat sweet. Mereka bertiga bagaikan sebuah keluarga bahagia dalam 'konsep' dan 'kefahaman' mereka sendiri, begitu indah aturan Tuhan.

Ok sepanjang photoshoot dengan Memey ni, byk yang kami kongsikan. Ada juga rakaman video yang aku buat sendiri (ala rakam manja2 je) dan akan dimuatkan dalam website Majalah Jelita nanti (sabar ye). Oklah, now saya nak share sikit gambar yang aku sempat snap sepanjang sesi photoshoot ni. Enjoy ^_^

Hehehe...sempat posing jugak tu.
Di butik ButtonMyButtons

Cantikkan baju-baju di butik ButtonMyButtons ni
Makeup artis aku, Vee Muhamad bab berposing no 1 ok *_*

Kari Kambing vs sambal bilis 'berdengung'...

Kari Kambing untuk berbuka nanti
Act, aku tak pernah reti makan kambing dan tak berapa suka sebab mesti lalok habis kalau mkn (sebabnya tak tahu kenapa, sapa tahu boleh tolong jawab). Hari ni, entah 'hantu kambing' mana datang masuk dalam kepala tiba-tiba tergedik-gedik nak masak Kari Kambing.

Kebetulan stock daging kambing memang ada dalam peti beku (lebihan buat kambing goreng untuk anak murid saya kelmarin). Ada dua keping, act tak sesuai untuk masak gulai tapi sebab ada bahagian bertulang aku rasa bolehlah kot.

Masak kari ni tak ada la susah mana (kalau rajinlah), tapi biasanya aku bergulai bagai bila betul-betul rajin aje atau teringin nak makan. Alhamdulillah, Kari Kambing yang aku masak ni tak berbau, boleh makan dengan amannya (tanpa bau kambing yang melampau pada dagingnya). Petuanya, aku main belasah saja. Kebetulan bahan-bahannya secukup rasa, jadi sangat membantu. Ok aku share resipinya untuk rujukan bersama, siapa yang berminat bolehlah cuba ye. Selamat berbuka.

Monday, July 15, 2013

Kebiadapan 'blogger seks'...


Bermula Khamis lalu, pasangan blogger ni (malas nak sebut nama, jijik tahap dewa dengan perangai setan mereka nih. Lagipun Uolls sure dah tahu kan, sana sini keluar berita) telah memuat naik sekeping gambar mereka sedang menikmati bak kut teh ((sup tulang babi) dengan kepsyen (keterangan gambar)-Selamat Berbuka Puasa -dengan Bak kut Teh-wangi, enak dan menyelerakan' di laman Facebook mereka.

Tidak cukup dengan itu, mereka turut meletakkan logo halal pada gambar berkenaan.Sungguh BIADAP!!! Jelas sekali, tindakan itu menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia kerana sikap mereka yang tidak peka pada sensitiviti masyarakat Islam dan diberi amaran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Selepas kekecohan itu, mereka memadamkan posting yang mendapat kecam hebat dan memuat naik gambar terbaharu mereka sedang menikmati ketupat, rendang dan karipap. Bagaimanapun akaun Facebook mereka telah dipadamkan.

Mereka juga ada membuat permohonan maaf menerusi video berdurasi 1:22 minit pada Ahad di laman sosial YouTube. Dalam rakaman video berbahasa Melayu itu, pasangan ini berkata mereka tidak berniat menghina, mempersenda atau memperlekehkan Islam mahupun mencetuskan perbalahan kaum.

Kebiadapan mereka itu sangat jelas pasangan blogger ini tiada kesedaran sivik. Kelakuan mereka sangat-sangat kurang ajar dan  melampaui batas.Apatah lagi Malaysia adalah negara Islam, perbuatan ini memang tidak sewajarnya berlaku.

Menurut sumber berita, sekiranya dikenakan tindakan, pasangan blogger ini boleh didakwa atas kesalahan memaparkan gambar dan kata-kata yang menjelikkan di bawah Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. Jika sabit kesalahan pasangan terbabit boleh didenda sehingga RM50,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Ingat, walaupun kita melaungkan semangat 1Malaysia mewakili semua bangsa, mereka tidak boleh memperkotak-katikkan Islam sedangkan masing-masing ada agama yang perlu dihormati.Ini bukan satu perkara lucu yang boleh dibuat main-main dan mereka tidak sepatutnya menghina umat Islam terutama ketika sedang berpuasa. Hish...makin melampau manusia skrg.

Sunday, July 14, 2013

Aku percaya Kau sayang padaku...

(Ya Allah Ya Rabbi
Ya Allah Ya Rabbi
Ya Allah Ya Rabbi
Ya Allah)

Ya Allah jangan Kau coba aku
Melebihi batas mampu dan sanggupku
Ya Allah bila memang Kau coba
Aku percaya Kau sayang padaku

Ya Allah Ya Rabbi
Ya Allah Ya Rabbi
Ya Allah Ya Rabbi
Ya Allah

Ya Allah lindungilah diriku
Dari yang menjahati menzhalimiku
Ya Allah Kaulah Maha Segala
Engkaulah pelindung hidup dan matiku

Ya Allah Ya Rabbi
Ya Allah Ya Rabbi
Ya Allah Ya Rabbi
Ya Allah

Ya Allah Ya Rabbi
Ya Allah Ya Rabbi
Ya Allah Ya Rabbi
Ya Allah

Ya Allah jangan Kau coba aku
Melebihi batas mampu dan sanggupku

Saturday, July 13, 2013

Cerita 3 perempuan...

Cerita mereka pelbagai versi...
Perempuan 1:
"Stresslah, pagi-pagi buta dah kena bangun siapkan lauk sahur. Lepas tu kejut suami, anak-anak. Lepas tu sibuk nak siapkan anak-anak ke sekolah, aku pun huru-hara jugak bersiap nak ke pejabat. Kat pejabat bukannya duduk goyang kaki, kerja bertimbun,"

"Balik kerja nak kena singgah pasar, beli barang nak masak berbuka. Hish...penatlah macam ni, kau tak apalah bujang...anak pun tak ada. Jaga diri sendiri, senang hidup kau 'kan. Kalau aku ada pilihan, nak hidup macam kau. Beli aje lauk yang dah siap, tak payah susah-susah nak sahur bagai."

Perempuan 2:
"Laki aku tu memang melampau, sikit pun tak reti nak menolong bini. Aku ni, terkangkang-kangkang kat dapur siapkan makanan sahur. Mana nak kejut anak-anak yang liat nak bangun sahur, dia pun sama liat sekali. Ikut hati, nak aje aku jirus dengan air...padan muka!"

"Aku ingat, lepas kahwin hidup aku best. Tak sangka pulak dapat laki pemalas tahap dewa, air segelas pun suruh bini hulur depan muka...kalau boleh nak suruh bini sua dalam mulut dia. Penat kahwin ni, tak ada masa untuk diri sendiri. Memanglah aku tak bekerja, tapi sibuknya kalah korang yang bekerja. Tengoklah badan aku ni sekeping aje, bukan pasal tak cukup makan...tapi tak cukup rehat. Bukan macam kau, boleh rehat sampai lebam nak pulak time puasa macam ni."

Perempuan 3:
"Boringnya bersahur sorang-sorang. Time berbuka pun sama, borong macam-macam lauk kat bazar lepas tu jadi habuan tong sampah. Pergi tarawih pun sorang jugak, dengki betul tengok orang heret suami dan anak-anak. 'Kan best kalau aku macam korang, meriah hidup.

"Entah kenapalah jodoh aku ni lambat sangat, entah kat mana 'tulang rusuk' aku ni sembunyi tak muncul-muncul lagi? Kalau aku dah kahwin, ada anak macam korang sure meriah Ramadan aku. Mestilah seronokkan, sahur sama-sama, berbuka ramai-ramai lepas tu pergi tarawih. Huish...aku dapat bayangkan betapa bestnya hidup nanti."

                                                                       ***

Cerita kita memang tak sama, tetapi tetap harus bersyukur...
Ye, itu sekelumit keluh-kesah teman-teman aku tatkala bertemu. Pelbagai ragam rasa dan emosi, terkesima seketika mendengar dan minda gigih memproses segala macam luahan mereka. Lucunya, aku rasa mereka lupa akan sesuatu. Apa dia? Hmmm... tahu apa maknanya BERSYUKUR? Ya, bersyukur!

Berkalau-kalau ni kesukaan syaitan juga tanda kita tak redha dengan kurniaan Ilahi. Kenapa kita asyik 'belek' apa yang kita tak ada? Kenapa tak 'kemas' dan 'rapikan' apa yang kita ada. Kelek elok2 jangan sampai tercicir sana sini?

Oh ya, memang aku tak 'berada' dalam situasi mereka bertiga ketika ini (walaupun aku pernah ada pengalaman menjaga dan menguruskan 7 orang adik-beradik dengan kehidupan serba susah dan payah. Hey, aku basuh baju adik-adik...ma & abah guna air perigi. Makan dan minum juga buat kerja sekolah guna pelita ayam, cuma ada tv hitam putih yang menggunakan bateri. Sardin lauk dan telur dadar utama saban minggu, pergi sekolah tak ada duit belanja. Apabila dewasa, umur 33 tahun masih membujang...oh apa lagi aku tak rasa ye?), tetapi jujur aku katakan, aku sangat memahami.

Jadi wahai teman-temanku dan wanita sekelian, bersyukurlah dengan 'nikmat' yang Allah SWT beri kepada kita. Janganlah jadi hamba yang kufur nikmat-Nya, memang rumput di laman orang lain nampak hijau tapi yakinkah kita rumput itu benar-benar 'hijau'?

Bukanlah niat nak tunjuk bagus atau baik sangat, tetapi kita kena sedar... hidup ini punya waktu. Ada waktunya kita suka, esok mungkin kita menangis, lusa mungkin kita kembali ceria. Itulah kehidupan, lalu wajarlah semua itu kita hadapi atas nama kehidupan. Salam Ramadan semua ^_^

Thursday, July 11, 2013

Glam + ilmu...mereka 'luar biasa'

Aku kena berterima kasih dengan kecanggihan teknologi masa kini termasuk perkembangan dunia gajet yang memudahkan aku mendapat ilmu melalui 'klick' saja. Kesibukan kerja, kadangkala buat aku tiada masa nak membaca buku-buku ilmiah (kalau baca adakala tak fokus...selalu ke laut...tido la tu).

Sekarang dengan adanya bantuan Youtube, aku boleh akses maklumat dan bahan bermanfaat. Lebih mudah, jimat masa dan paling penting ada keinginan mahu menambah ilmu yang tak berapa nak ada dalam diri.

Aku juga berterima kasih kepada 'rakan2' yang baik hati upload video-video ilmu dan tentunya sangat bermanfaat (kalau kita nak cari manfaatnya). Misalnya, video-video ceramah agama dan motivasi daripada pendakwah juga penceramah tersohor negara. Ralit benar mendengar, hingga adakala lupa urusan lain seperti makan dan nak berjimba tanpa faedah ^_^

Biasanya, ketika berdating dengan Mr. Youtube aku akan 'sangkut' dengan ceramah-ceramah hebat daripada mereka ini (nanti lah kalau ada masa aku listkan gambar, sekadar beberapa nama mewakili apa yang aku suka).

Hasil tontonan percuma ini banyak yang aku dapat belajar, memperkemaskan apa yang longgar, mengisi apa yang kurang, tahu apa yang tidak tahu, mengelak apa yang tidak benar atas nama BELAJAR. Justeru, terima kasih buat semua yang terbabit dalam memberi manfaat kepada kehidupan orang lain. Dakwah dan motivasi mereka ini lebih berharga daripada wang ringgit. Insya-Allah.
Lupakan kisah silamnya...kutip ilmu yang nak diberi Akhil Hayy ni dengan lapang dada.
Cara dia berceramah memang tersendiri, berlagu dalam kata-kata yang membakar semangat ke arah perubahan lebih baik. Terima kasih Ustaz Haslin.
Senyuman manisnya, semanis bicara yang serba tertib. Prof Muhaya, makin lama bertambah seronok mengikutinya.
Fenomena luar biasa, orang kata 'bahasanya' kasar tapi bagi aku, UAI sangat terbuka. Haram tetap haram, dia tak takut berkata benar.
Muda, tapi mewah ilmu agama. Alhamdulillah Ustaz Don, pelapis pendakwah yang semakin disegani ramai.