.

Sunday, January 1, 2012

Ewah2 Yusry & Lisa...

...wah2 semakin dekat nk naik pelamin, semakin terbuka pasangan so sweet ni bercakap soal hati dan perasaan. Hehehe...wanita2 dan lelaki2 di luar sana jgn jeles ye...kedua2 selebriti hot ni mmg tgh hot dan sudah dicop!

...td, skodeng Utusan Online, ada cerita baru mengenai pasangan yg bakal jd raja sehari Februari 2012 ni. Ewah2...bukan main ye couple ni sembang dan bergambar mesra. Sememangnya, pengakuan terbuka pasangan ini lama dinanti ramai. Apabila sudah buka mulut, bukan saja buat pengakuan mereka mmg in love...malah pengumuman bakal jd pasangan suami isteri pada bulan romantik tahun ini.

...Alhamdulillah, Yusry dan Lisa didekatkan jodoh, semoga perkahwinan mereka kekal bahagia selamanya. Adoyai, x sabar tgk anak depa...sure cute khenn...maklumlah mak ayah pun so sweet sgt. Tahniah Lisa dan Yusry. 

...eh...dgr2 org kepoci pasal ex Yusry, siapa lg kalau bukan bekas ratu cantik Malaysia, Erra Fazira. Kononnya, rumah tangga Erra sedang bergolak ketika ini...oppsss...!!! Hmmm...Harap2 apa yg kita dgr2 tu hanya khabar angin saja. Ye lah, rumah tangga mana yg tak diduga...semoga Erra dan Emran tabah serta kuat semangat menempuh dugaan itu. Kita sama2 doakan yg terbaik untuk mereka hokeyyy!!! 

...sudah2 la tu bergosip ye cik bedah, cik limah dan abg uda...meh kita baca berita sweet mengenai pasangan so sweet ni...versi kutip kat Utusan Online ;-)

Yusry & Lisa semakin terbuka bercakap soal perasaan (Gambar Mstaronline)

BERLAYARLAH ke tujuh lautan sekali pun, kalau sudah dinamakan jodoh di depan mata, maka tidak ada sesiapa pun yang boleh menghalang ketentuan-Nya. Begitulah ibaratnya pencarian Yusry Abdul Halim, 37, dalam mencari suri di hati setelah lima tahun menjalani hidup tanpa sang kekasih penyeri jiwa.

Siapa sangka, jodoh Yusry sebenarnya adalah orang yang cukup dekat dan berkongsi industri yang sama.

Setahun mengulit cinta, Yusry tanpa ragu-ragu membuat keputusan untuk menyunting Lisa Surihani, 25, wanita yang punya tempat istimewa dalam hati lelaki ini.

Mengatur perjalanan beralaskan adat, Yusry datang bersama rombongannya pada 23 Disember lalu untuk merisik dan menyarungkan cincin tanda di jari si jantung hati.

Bimbang gadis idaman disambar orang barangkali, maka langkah dipanjang lekas dengan menetapkan 23 Februari sebagai tarikh perkahwinan mereka.

Kini kedua-duanya menunggu masa sahaja untuk diijabkabulkan sekali gus menamatkan segala teka-teki mengenai hubungan yang disorok selama ini.

Berkongsi rasa tentang cinta yang tercipta di antara mereka, cerita anak kedua daripada empat beradik berpengaruh ini, dia yakin Lisa adalah anugerah terbaik yang datang kepadanya ketika usianya kini sudah semakin menginjak ke angka 40.

Menyelami jiwa lelakinya, kata Yusry, dia tidak boleh berbohong kerana selama hidup menyendiri, jiwanya sunyi lantaran tiada teman hidup.

“Sebagai manusia, siapa yang mahu hidup bersendiri dan menghadapi dunia ini berseorangan.

“Sesiapa pun akan cakap perkara yang serupa. Datanglah wanita paling cantik di dunia sekali pun, kalau tak ada keserasian tidak boleh bersama.

“Saya percaya, kecantikan luar lama kelamaan akan pudar. Jadi lihatlah pada kecantikan dalaman. Bagi saya Lisa ada kedua-duanya dan itu yang membuatkan saya tertawan pada dia,” katanya.

Menganggap dirinya kini lebih matang, kata Yusry, dia lebih suka menyaksikan transformasi dirinya sekarang berbanding 12 tahun lalu.

“Terus terang, kalau sekarang ni saya berusia 25 tahun, mungkin saya bukan Yusry yang sekarang dari pelbagai sudut.


“Saya telah melalui bermacam perkara dalam hidup dan apa yang saya boleh janjikan pada Lisa adalah untuk menjaganya dan memastikan hubungan kami sentiasa baik.

“Apa jua suka duka selepas ini kami akan hadapi bersama, ”ujarnya.

Lisa bekalkan Yusry
Kedua-duanya memang sibuk menjalani karier masing-masing saban hari. Namun itu bukan alasan untuk Lisa tidak boleh berada dekat dengan kekasihnya walau sesibuk mana mereka di lokasi penggambaran.

Pancaindera ada terdengar khabar bahawa Lisa sebenarnya rajin memberi bekalan makanan buat Yusry jika teman lelakinya itu sibuk di lokasi.

Lalu, Pancaindera panjangkan soalan sama ada bekalan makanan yang diberikan dimasak sendiri oleh Lisa atau sekadar dibeli sahaja.

Tertawa kecil Yusry. Barangkali tidak menyangka hal yang sebegitu kecil pun berjaya dihidu oleh penulis yang tekun menanti jawapan yang bakal terbit daripada mulut duda idaman Malaya ini.

“Bukanlah selalu dia masak. Ada beberapa kali dan kebanyakannya cuma dibeli. Namun saya suka cara begitu.

“Itu salah satu cara Lisa menunjukkan keprihatinan dan rasa sayangnya pada saya. Saya suka ayam masak pedas yang dia masak,” katanya yang disifatkan oleh Lisa sebagai seorang yang cerewet bab makanan.

Selain kesabaran dan keperihatinan, kata Yusry, dia juga jatuh cinta dengan sikap Lisa yang positif selain serasi ketika berkomunikasi bersama.

Bagi Yusry, komunikasi adalah senjata paling penting jika mahu hubungan berlangsung dengan lancar selain aura keserasian.

“Selama setahun kami bersama, jarang sekali dapat tengok kami bergaduh. Tipulah kalau tak ada langsung salah faham, tetapi biasanya kami tak akan biar ia berlarutan lama.

“Biasanya kalau dibiarkan lama itulah yang akan menyebabkan masalah timbul dalam perhubungan.

“Macam saya dan Lisa, kami saling memahami dan ia berbalik kepada macam mana komunikasi dalam hubungan diaplikasikan,” katanya.

Dalam pada itu, ketika diminta untuk mengulas mengenai perkahwinan keduanya, jelas Yusry selagi boleh mahu mengelak.

“Tak perlulah nak kaitkan hal ini. Saya tak mahu komen apa-apa,” jelasnya terselit nada berhati-hati.
Yusry di mata Lisa

Memanggil buah hatinya dengan panggilan Sayang, Lisa sebagaimana Yusry turut saling mengagumi cara layanan teman lelakinya itu.

Menyifatkan Yusry seorang yang merendah diri, kata Lisa, ia merupakan sesuatu yang berada di luar jangkaannya di awal perkenalan.

Selama ini Lisa melihat Yusry sebagai satu nama besar dalam industri di sebalik kejayaannya dalam membina empayar KRU.

“Tak pernah menyangka bahawa dia adalah lelaki yang akan saya kahwini. Dia cukup merendah diri dan tak suka menunjuk-nunjuk.

“Dia berjaya, tetapi dia tak pernah mengkritik orang lain selain bijak menangani apa-apa situasi. Itu adalah beberapa ciri Yusry yang menyebabkan saya tertawan padanya,” ujar Lisa yang cukup manja dengan Yusry.

Merasakan status dan usia bukan halangan utama untuk dia memilih Yusry, kata pelakon filem I’m Not Single ini, ia tidak perlu dijadikan satu isu oleh mana-mana pihak.

“Apa yang penting, kami mempunyai tujuan yang sama, sudah bersedia dan serius. Yang lain-lain serahkan sahaja pada Yang Maha Esa,” ujarnya.

Lisa sebak
Mengenali si cantik ini, pantang sedikit dicuit mengenai arwah bapanya, air matanya deras terjurai.

Lisa juga seperti wanita lain, menginginkan kehadiran lengkap ahli keluarga dalam setiap ketika apalagi untuk bersama-sama meraikan hari bahagianya.

Apabila mengenangkan hal itu, kongsi Lisa, dia tidak dapat menyembunyikan perasaan rindunya pada arwah dan setiap kali memikirkannya, air matanya pasti akan tumpah.

“Semestinya saya mahukan arwah ada pada hari bahagia saya. Kalau ikutkan, semasa Yusry datang bersama keluarga membawa cincin tanda tempoh hari juga saya sudah cukup sedih.

“Dalam hati terdetik, alangkah baiknya jika arwah ada bersama menyaksikan detik indah saya.

“Malam itu, saya dan ibu menangis di atas katil mengenangkan dia,” katanya sambil mengesat air mata.

Bimbang solekan mampan di wajahnya rosak dek tangisan, Pancaindera mengaju pula pertanyaan mengenai impian perkahwinannya terutama dalam menggalas tugas sebagai isteri orang kelak.

Optimis bahawa dirinya bisa memikul tanggungjawab itu, kata Lisa, dia seperti mana wanita lain semestinya menginginkan yang terbaik dalam hubungan itu.

“Tanyalah mana-mana bakal pengantin, mereka tentunya mahukan kegembiraan, kebahagiaan dan restu semua pihak.

“Yang penting, kedua-dua kami mampu memastikan tanggungjawab itu dipikul dengan baik,” katanya.

Sempat mencuit Lisa, adakah dia sudah merasai debaran sebagai bakal pengantin, namun ini jawapan yang diberi.

“Saya dan Yusry rasa biasa sahaja. Mungkin sebab kami dah biasa menjadi tumpuan dalam keramaian, jadi gemuruh tu kurang sedikitlah.

“Tak tahulah kalau sudah dekat dengan tarikh majlis nanti,” katanya ketawa.

Sementara itu, sempat `merisik khabar’ dengan ibu Lisa, Siti Amirah Ahmad , sebagai seorang ibu, dia melahirkan rasa gembira mengenai jodoh dan hari bahagia anak perempuan seorangnya itu.

Bagaimanapun, sebagai ibu bakal pengantin perempuan, dia merasakan tidak manis untuk dirinya memberi kenyataan lanjut berbanding di pihak lelaki.

“Bukan apa, bimbang orang akan kata kita yang lebih-lebih. Lebih baik tunggu kenyataan daripada pihak lelaki dahulu. Itu lebih manis,” katanya.

No comments: