.

Sunday, October 13, 2013

Gulai Kerutuk Daging Kambing yoooo...


Sebelum ni aku tak pernah cuba sekalipun masak gulai Kerutuk. Jangan kata masak, rasanya pun aku tak tahu macam mana. Hingga suatu hari aku tumpang menginap di rumah seorang teman di Kota Bharu (ketika itu menghadiri majlis perkahwinan kawan) awal tahun 2013.

Kebetulan aku datang hari raya keempat, jadi mood raya masih meriah. Emak kawan aku yang membahasakan dirinya Mak Ngah cukup rajin memasak. Macam-macam makanan dihidangkan, sampai ketat perut dibuatnya.

“Makanlah Anis, lauk kampung macam ni ‘lah. Ni Gulai Itik Serati, gulai kerutuk. Pernah makan?” tanya Mak Ngah dengan loghat Kelantan yang agak pekat, nasib baik ada tukang ‘alih bahasa’ hehehe.

Aku senyum dan geleng kepala, Ma (mak saya) walaupun berasal dari Pantai Timur tak pernah masak gulai Kerutuk. Dari kecil sampai dah besar, Ma biasanya hidangkan Gulai Lemak Kuning, Kari Ayam, Sambal Tumis Ayam, Kurma Ayam, atau Ikan Bakar. Gulai Kerutuk memang tak ada dalam list menu keluarga kami. So, memang aku tak pernah rasa la kan.

“Sedap gulai kerutuk ni, rugi tak rasa. Kalau ada daging kambing kat pasar esok, kita buat gulai kerutuk kambing pulak. Anis boleh belajar, balik KL boleh try masak. Rempah kerutuk boleh beli atas pasar (Pasar Siti Khatijah),” ramah Mak Ngah bercerita, membuat aku tidak kekok.

Serius, memang sedap gulai kerutuk itik serati yang Mak Ngah masak. Rasanya lain macam, tak sama macam kari. Paling penting, tak manis macam kebanyakan masakan Kelantan yang lain (saya tak reti makan gulai atau sambal manis, atau ap-apa saja makanan yang manis kecuali kuih, buah atau air hehehe).

…seperti yang dijanjikan, esok harinya Mak Ngah tunjukkan saya cara memasak Gulai Kerutuk Daging Kambing. Oh, rupa-rupanya mudah aje cara membuatnya. Paling penting kata Mak Ngah, rempahnya asli dan kerisik mesti ditumbuk dengan lesung batu (ayooo…dah lama tak guna lesung batu). Kalau blender hilang rasa sedapnya.

So hari ni, aku rajin nak ‘recall’ semula cara memasak Gulai Kerutuk Daging Kambing ni. Sayangnya, daging kambing di KL kebanyakannya jenis sejuk beku. So mungkin rasa segarnya tak sama seperti di kampung, tapi apa nak buat bedal sajalah ‘kan. Kalau Uolls nak cuba, boleh tengok resipi di bawah. Atau Uolls ada cara lain, boleh share dengan aku…terima kasih.

Langkah demi langkah, ada yang terskip...boleh tengok di bahagian cara membuat ye.
Nak kasi sedap, kena guna cara lama
  video
Resipi Kerutuk Daging Kambing
Daging kambing secukupnya (lagi sedap kalau ada tulang sikit), dibasuh dengan sedikit gandum dan perahan lemon untuk hilangkan bau hamis
Minyak secukupnya
Rempah kerutuk, bancuh dengan sedikit air menjadi pes
Bawang merah, dimayang
Serai, dititik
Gula Melaka
Garam dan gula
Santan secukupnya
Kerisik

Bahan kisar:
Bawang putih,
Halia
Lengkuas
Cili kering

Cara membuatnya:
1, Tumis bawang merah sehingga perang keperangan.
2. Masukkan bahan kisar dan masak sehingga garing.
3. Bubuh pes rempah kerutuk dan serai. Masak hingga pecah minyak.
4. Masukkan daging kambing dan gaul rata.  Masak sehingga daging empuk sebelum masukkan santan pekat. 
5. Bubuh garam, gula, gula melaka dan kerisik.  Masak lagi agar kuah menjadi sedikit pekat.

No comments: