.

Tuesday, June 25, 2013

Zaman 'tak pakai baju' dah berakhir...

Lupa nak berkongsi cerita mengenai seorang artis wanita yang kini telah pun berhijab. Berbanding imejnya dulu, sejuk mata memandangnya sekarang. Sejak dia berhijab, aku perhatikan pelakuan dan tutur bicaranya berubah sesuai penampilan dirinya sekarang.

Minggu lalu, aku sempat bertemu artis ini dalam sebuah majlis yang turut membabitkan beberapa VIP dan artis popular. Walaupun kini berhijab, dia masih menjadi 'pusat perhatian'. Serius, artis ini semakin menyerlah berbanding sebelumnya. Pendek kata semakin berseri dan diperkatakan. Ya, aku harus mengakui itu, apatah lagi dia bijak bawa diri. Tidak nampak canggung, aura hijrahnya cukup luar biasa.

Dicelah-celah ramainya rakan media sibuk menemubual artis pilihan mereka, aku juga tak mahu ketinggalan. Lama juga menunggu giliran untuk menemubual artis seorang ini, akhirnya dapat juga bertemu empat mata.

Tatkala ditanya mengenai hijrah dirinya, artis muda ini tersenyum penuh makna. Katanya, "Saya bersyukur dengan kerana diberi ruang dan peluang untuk berubah. Sungguh, ini semua diluar jangkaan saya. Hijrah ini kurniaan paling istimewa daripada Allah SWT kepada saya. Secara jujurnya, saya sangat selesa dengan perubahan ini. Apa-apa juga pandangan orang, saya terima dengan lapang dada. Paling penting, nawaitu saya,"

"Terus-terang, kalau diungkit semula kehidupan saya yang lalu...sungguh saya malu. Malu saya sebut hal yang lepas, apatah lagi apabila tengok gambar-gambar saya dulu tetapi itulah harga yang perlu saya bayar. Bak kata orang, pengalaman adalah guru paling baik. Jadi, saya belajar daripada kesilapan lalu. Syukur, saya diberi hidayah untuk keluar dari 'zaman jahiliah'. Bagi saya, zaman 'tak pakai baju' dah berakhir."

Alhamdulillah, kata artis cantik manis ni  lagi, rezekinya semakin bertambah sejak berhijab. Paling penting, masyarakat lebih menghormatinya. Baguslah begitu, aku tumpang gembira. Semoga dia terus diberi kekuatan dan ketabahan untuk mengharungi hari-hari mendatang. Doa sama juga buat rakan artis lain yang kini telah pun berhijrah seperti Memey Suhaiza, Noryn, Fiza (Elite), Abby Abadi, Datuk Siti Nurhaliza, Aliyah dan lain-lain (sekadar menyebut beberapa nama).

Bekas anggota Elite juga dramatis cantik, Fiza juga sudah berhijab. Penampilannya lebih manis.

No comments: