.

Sunday, September 15, 2013

Soo Wincci yakin pengorbanan berbaloi...

Soo Wincci 'mewah' impian
Tidak kekok mendampingi dan bekerjasama dengan selebriti cantik ini. Tutur katanya sopan, bahasanya lembut menggambarkan dia seorang yang cukup merendah diri malah fasih berbahasa Melayu tanpa pelat yang ketara seperti mana artiss bukan Melayu lain.

Ini membuat dia begitu istimewa di mata ramai peminatnya. Mula dikenali menerusi program Masterchef Selebriti, Soo Wincci kini gigih mengorak langkah untuk memperkenalkan nama dan bakatnya ke pasaran Taiwan. Walaupun semakin hari semakin dikenali, namun itu tidak sekali-kali menjadikan dirinya lupa diri memandangkan dia masih mempunyai agenda lain untuk capai.

Justeru, dia tidak kisah walaupun harus bermula dari bawah, baginya setiap kepayahan yang ditempuhi ada cerita, pengajaran dan pengalaman berharga dalam hidupnya. Dia yakin, kepayahan dan pengorbanannya itu berbaloi pada masa depan.

"Saya mahu mencapai sebanyak mungkin kejayaan dalam hidup ini termasuk kerjaya seni dan pelajaran. Saya juga terharu dan berterima kasih kerana bakat serta kerja keras selama ini semakin diterima baik. Kesan paling ketara selepas program Master Chef Selebriti, saya nampak peminat terutama dikalangan Melayu semakin dekat dengan saya. Mereka banyak memberi kata semangat dan sokongan kepada saya, jadi saya berjanji pada diri untuk buat yang terbaik demi membalas jasa baik mereka menyokong saya,"ujar Wincci yang kini sibuk menghabiskan PhD di salah sebuah universiti swasta.
Mahu tawan Taiwan
Sasar 1juta penonton Youtube
Walaupun sibuk berulang-alik ke Taiwan dan pengajiannya, tiada apa yang mampu menghalang bekas Ratu Cantik Dunia 2008 ini daripada mencapai impiannya. Justeru, selepas mendapat sambutan menggalakkan menerusi single pertamanya, penyanyi dan pelakon bertaraf antarabangsa ini terus fokus dan mengorak langkah mempromosikan single keduanya, Musim Asmara.

Demi merealisasikan misinya itu, Soo Wincci sanggup melaburkan wangnya sebanyak RM50 ribu untuk menghasilkan sebuah klip video yang berkualiti tinggi setaraf klip video penyanyi antarabangsa. Lagu itu bakal dimuatkan dalam album mininya yang bakal berada di pasaran pada penghujung tahun ini.

"Ini  MTV paling mahal saya di Malaysia. Kosnya tinggi kerana penghasilan video ini menggunakan kamera setanding penggambaran filem. Hasilnya, sinematografi dalam video ini sangat menarik. Selain itu, produksi kali ni boleh panggil sebagai produksi 1Malaysia. Pengarahnya Abhilash Chandra berbangsa India, saya (Cina) dan hero saya iaitu Akim, berbangsa Melayu.

"Memang kosnya agak mahal, tapi saya sanggup melakukannya kerana video ini juga sebagai hadiah kepada peminat yang sentiasa menyokong saya. Saya juga berharap sasaran di Youtube nanti boleh mencecah seramai 1 juta tontonan dan diharap dapat memasuki program klip video popular MTV Asia."


Wajah Akim mirip bekas kekasih
Kata Wincci, Musim Asmara yang menampilkan penyanyi Akim Ahmad sebagai hero kerana penyanyi itu mirip bekas kekasih lamanya sekali gus ciri-ciri yang dimiliki lelaki menepati cita rasanya.

"Saya dah lama dengar lagu Akim juga imejnya. Dia pakej. Sebelum ini kami hanya bertegur sapa ketika bertemu dibeberapa acara hiburan. Sepanjang penggambaran, tidak sukar mencari keserasian cuma pada awalnya apabila pengarah meminta kami berpandangan sesama sendiri, kami tak dapat menahan gelak. Kemudian saya katakan padanya, anggaplah saya sebagai kekasih untuk satu hari (sewaktu penggambaran)."
Wincci akui dapat banyak pendedahan melalui program Master Chef Selebriti
'Medan' memasak yang mengujakan Wincci
Seronok memasak
WALAUPUN sibuk memberi tumpuan pada bidang nyanyian dan lakonan, Wincci tidak pernah melupakan bidang masakan yang cukup dicintainya malah memasak ibarat terapi buatnya.

"Saya suka memasak dan sampai sekarang apabila ada waktu terluang, saya buat kek atau makanan lain malah di Taiwan pun saya sanggup sewa dapur untuk memasak. Tempat tinggal saya tak ada dapur, jadi kena sewa untuk memasak kemudian diberi kepada rakanyang ada di sana. Mulanya mereka pelik sebab saya suka buat kek yang besar sebab budaya di sana mereka  makan dalam kuantiti kecil," katanya turut mengakui masih solo dan  belum mempunyai teman lelaki kerana kesibukannya menguruskan kerjaya seni.

* Jom layan teaser video klip Musim Asmara

No comments: