Ikan duri |
Hari ni pagi-pagi saya sudah bangun merayap ke pasar tani Taman Melawati (hampir saban minggu aku ke sini hehehe). Niat aku nak cari ikan duri selepas melihat seorang teman post gambar 'Asam Pedas Ikan Duri' (di dalam Instagram) yang dimakan di Melaka. Nampak sangat menyelerakan, hingga terkenang-kenang dibuatnya. Sayangnya...Aduh, tak ada daya aku nak makan asam pedas ikan duri sampai ke Melaka.
Tiba di pasar tani, aku singgah dari satu gerai ke satu gerai yang menjual ikan. Malangnya, ikan duri yang dicari tak nampak bayang (oh ye aku kenal sikit-sikit rupa ikan duri hasil Google -an di Internet). Huish...hangin satu badan apabila benda yang dicari tak ada (hamboi mcm orang mengidap pulak...mcm je...).
Tak puas hati, aku buat pusingan kedua. Memang tak ada, hingga ke gerai terakhir aku nampak selonggok ikan. Ada misai dan bentuknya akan-akan ikan duri tapi bersaiz kecil. Aku belek dengan tekun, tapi masih waswas. Lalu aku tanya si penjual ikan yang kebetulan memandang aku yang dalam mood keliru.
Aku: Dik, ni ikan apa ye?
Si penjual ikan: Ikan sembilang, kak.
Aku: Ikan sembilang...
Si penjual: Iya, ikan sembilang. Saya kira murah-murah je ni, kak. RM9 sekilo.
Aku: Ikan ni boleh masak apa?
Si penjual ikan: Errr...
(Seorang makcik mencelah perbualan kami)...:
Makcik: Boleh bakar, masak lemak...masak asam pedas pun boleh tu.
Aku: Asam pedas? Sedap ke, Cik (Makcik)?
Makcik: Sedap jugak, isinya pejal dan tak berlemak sangat...lebih sedap kalau masak Asam Pedas Tumis, bukan direbus.
Ikan sembilang |
Lepas beli stock telur untuk tempahan kek dan sehelai anak tudung, aku terus bergegas balik. Tak sabar nak mengerjakan ikan sembilang buat kali pertama. Sampai di rumah, baru perasan ikan sembilang masih ada nyawa lagi...tapi kurang aktif so boleh dipegang untuk dibersihkan.
Memandangkan ikannya tak berapa besar, aku cuma kerat pada dua bahagian. Takut kalau kerat kecil-kecil nanti hancur pulak isinya. Siap bersihkan ikan, aku blend rencah untuk masak Asam Pedas. Rencahnya simple je, check resipi di bawah ye.
Resipi Asam Pedas Tumis Ikan Sembilang
Bahan:
4 ekor ikan sembilang, kerat 2
Air secukupnya
Air asam jawa, secukupnya
Gula dan garam secukup rasa
Daun kesum secukupnya
Minyak secukupnya
Bahan kisar:
15-20 tangkai cili kering
5 biji bawang merah
1 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
Sedikit kunyit hidup
4-5 biji lada hitam/ cili padi
Cara membuatnya:
1. Tumis bahan kisar hingga garing (aku letak sikit daun kesum waktu menumis ni, hehehe aje tak letak pun boleh).
2. Masukkan air asam jawa, masak hingga mendidih.
3. Bubuh air dan biarkan mendidih, kemudian masukkan ikan dan bahan perasa secukupnya.
4. Masukkan daun kesum dan biarkan mendidih sehingga ikan masak sepenuhnya.
Senangkan! Cukup senang dan sedap Uolls (aku makan dengan nasi lembik yang baru masak, perghhh rasa macam makan nasi air pulak). Err...tapi masakan macam ni tak sesuai makan hari-hari. Pertama; selera makan bertambah-tambah. Kedua, pedas dan ketiga nanti gian nak makan selalu hahahaha...jahanam diet (sebab tu aku selalu buat acara 'makan besar' hujung minggu saja, hari lain makan kecil-kecilan hehehe). Kepada yang teringin, terliur sila la cuba ye. Memang meletup-letup dalam perut hahahaha.
No comments:
Post a Comment