.

Saturday, July 13, 2013

Cerita 3 perempuan...

Cerita mereka pelbagai versi...
Perempuan 1:
"Stresslah, pagi-pagi buta dah kena bangun siapkan lauk sahur. Lepas tu kejut suami, anak-anak. Lepas tu sibuk nak siapkan anak-anak ke sekolah, aku pun huru-hara jugak bersiap nak ke pejabat. Kat pejabat bukannya duduk goyang kaki, kerja bertimbun,"

"Balik kerja nak kena singgah pasar, beli barang nak masak berbuka. Hish...penatlah macam ni, kau tak apalah bujang...anak pun tak ada. Jaga diri sendiri, senang hidup kau 'kan. Kalau aku ada pilihan, nak hidup macam kau. Beli aje lauk yang dah siap, tak payah susah-susah nak sahur bagai."

Perempuan 2:
"Laki aku tu memang melampau, sikit pun tak reti nak menolong bini. Aku ni, terkangkang-kangkang kat dapur siapkan makanan sahur. Mana nak kejut anak-anak yang liat nak bangun sahur, dia pun sama liat sekali. Ikut hati, nak aje aku jirus dengan air...padan muka!"

"Aku ingat, lepas kahwin hidup aku best. Tak sangka pulak dapat laki pemalas tahap dewa, air segelas pun suruh bini hulur depan muka...kalau boleh nak suruh bini sua dalam mulut dia. Penat kahwin ni, tak ada masa untuk diri sendiri. Memanglah aku tak bekerja, tapi sibuknya kalah korang yang bekerja. Tengoklah badan aku ni sekeping aje, bukan pasal tak cukup makan...tapi tak cukup rehat. Bukan macam kau, boleh rehat sampai lebam nak pulak time puasa macam ni."

Perempuan 3:
"Boringnya bersahur sorang-sorang. Time berbuka pun sama, borong macam-macam lauk kat bazar lepas tu jadi habuan tong sampah. Pergi tarawih pun sorang jugak, dengki betul tengok orang heret suami dan anak-anak. 'Kan best kalau aku macam korang, meriah hidup.

"Entah kenapalah jodoh aku ni lambat sangat, entah kat mana 'tulang rusuk' aku ni sembunyi tak muncul-muncul lagi? Kalau aku dah kahwin, ada anak macam korang sure meriah Ramadan aku. Mestilah seronokkan, sahur sama-sama, berbuka ramai-ramai lepas tu pergi tarawih. Huish...aku dapat bayangkan betapa bestnya hidup nanti."

                                                                       ***

Cerita kita memang tak sama, tetapi tetap harus bersyukur...
Ye, itu sekelumit keluh-kesah teman-teman aku tatkala bertemu. Pelbagai ragam rasa dan emosi, terkesima seketika mendengar dan minda gigih memproses segala macam luahan mereka. Lucunya, aku rasa mereka lupa akan sesuatu. Apa dia? Hmmm... tahu apa maknanya BERSYUKUR? Ya, bersyukur!

Berkalau-kalau ni kesukaan syaitan juga tanda kita tak redha dengan kurniaan Ilahi. Kenapa kita asyik 'belek' apa yang kita tak ada? Kenapa tak 'kemas' dan 'rapikan' apa yang kita ada. Kelek elok2 jangan sampai tercicir sana sini?

Oh ya, memang aku tak 'berada' dalam situasi mereka bertiga ketika ini (walaupun aku pernah ada pengalaman menjaga dan menguruskan 7 orang adik-beradik dengan kehidupan serba susah dan payah. Hey, aku basuh baju adik-adik...ma & abah guna air perigi. Makan dan minum juga buat kerja sekolah guna pelita ayam, cuma ada tv hitam putih yang menggunakan bateri. Sardin lauk dan telur dadar utama saban minggu, pergi sekolah tak ada duit belanja. Apabila dewasa, umur 33 tahun masih membujang...oh apa lagi aku tak rasa ye?), tetapi jujur aku katakan, aku sangat memahami.

Jadi wahai teman-temanku dan wanita sekelian, bersyukurlah dengan 'nikmat' yang Allah SWT beri kepada kita. Janganlah jadi hamba yang kufur nikmat-Nya, memang rumput di laman orang lain nampak hijau tapi yakinkah kita rumput itu benar-benar 'hijau'?

Bukanlah niat nak tunjuk bagus atau baik sangat, tetapi kita kena sedar... hidup ini punya waktu. Ada waktunya kita suka, esok mungkin kita menangis, lusa mungkin kita kembali ceria. Itulah kehidupan, lalu wajarlah semua itu kita hadapi atas nama kehidupan. Salam Ramadan semua ^_^

No comments: