.

Wednesday, October 9, 2013

Masakan Kampung mengujakan Chef Nik...

Uolls kenal Chef Nik? Atau mungkin pernah menikmati makanan enak di Restoran Piknik? Apa kaitan antara Chef Nik dan Piknik? Mari aku ceritakan serba sedikit mengenai perkaitan dua perkara ini.

Nik Michael Imran Nik Ezar, 23, atau kini dikenali sebagai Chef Nik dibesarkan dengan penuh kasih sayang ayahnya melalui kenikmatan makanan dan masakan. Ayahnya sentiasa menjadi sumber inspirasi untuk terus maju dalam bidang masakan

Dia sangat meminati masakan negara Perancis seperti Pot au feu , Cassoulet dan Ratatouille. Selain menggemari masakan Itali seperti Pizza, Pasta dan Risotto yang sentiasa menjadi ikutan juga rujukannya.

Dia amat mengagumi kesungguhan dan keghairahan chef selebriti, Jamie Oliver. Lebih-lebih lagi melihat usaha Jamie membudayakan masakan sihat di sebuah bandar di Amerika Syarikat dengan mengajar 1000 penduduk di sana untuk memasak secara sihat.

Impiannya tidak hanya untuk diri sendiri. Dia cukup gembira tatkala hasrat membuka restoran  tercapai dan lebih menggembirakannya apabila dapat membawa ayahnya menyertai usahanya itu. Bagi Nik, tidak mungkin dia dapat mengecapi kejayaan hari ini tanpa semangat dan kasih sayang yang dicurahkan ayahnya itu.

Mengujakan
Menyentuh mengenai dunia masakan, bagi jejaka berdarah kacukan, Australia dan Melayu ini, dia sentiasa berasa teruja apabila mahu menyediakan masakan untuk dinikmati orang ramai. Tiada perkataan puas hati, sebaliknya sentiasa berusaha menghasilkan hidangan terbaik. Justeru, restoran Picknik dengan rekaan kontemporari moden yang beroperasi di pusat beli-belah Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur bukan saja sebagai sumber pendapatan malah membuktikan minatnya yang mendalam kepada dunia masakan selain mahu orang ramai menikmati hasil air tangannya.

Dibuka awal tahun 2013, pembukaan restoran ini  memberi pengalaman harian yang sangat menggembirakannya. Bukan saja berpeluang memasak pelbagai menu pilihannya, bahkan mempelbagaikan cita rasa di dapur Picknik. Lebih menyentuh rasa apabila pelanggannya memberi sokongan penuh pada usaha dan bakatnya.

“Sungguh mengujakan apabila dapat memasak untuk rakan dan pelanggan. Berbanding di rumah, memasak di dapur Piknik memberi semangat luar biasa. Di sini, orang ramai bukan saja dapat menikmati air tangan saya malah boleh memberi cadangan atau pandangan mereka. Saya seorang yang bersikap terbuka, teguran dan pendapat orang lain penting untuk menghasilkan masakan yang lebih baik,” kata Nik Michael yang semakin meningkat naik namanya.

Kata Nik, minatnya dalam bidang memasak berputik sejak berusia sembilan tahun dan bapanya, Datuk Nik Ezar Nik Bolia yang juga seorang chef adalah inspirasinya dalam dunia masakan.

"Ayah suka mengadakan jamuan makan bersama keluarga, sekurang-kurangnya dua kali sebulan. Waktu dia sibuk di dapaur, saya pun datang menyibuk. Selain bantu ayah memasak, saya belajar banyak ilmu serta teknik memasak. Saya kagum melihat kemahirannya ketika di dapur, dia memasak dengan jiwa dan kasih sayang," ujar pengacara rancangan Hello Bro Tolong Masak Astro Ria dan Dapur Panas (gandingan bersama Neelofa) di TV3 ini, ramah.

Chef Nik sewaktu menyertai MasterChef musim pertama
Nik belajar secara berperingkat-peringkat daripada bapanya dan banyak membuat rujukan melalui buku-buku, internet dan lain-lain. Bekas peserta MasterChef musim pertama ini juga sering mengikuti pelbagai kursus pendek berkaitan memasak memberitahu, dia mahu belajar falsafah makanan dan tampil dengan suatu penyelidikan mengenai masakan autentik Melayu.

“Agak mudah bagi saya untuk menyediakan masakan ala barat, tapi tidak untuk masakan Melayu (lauk kampung). Kita juga kekurangan buku panduan yang lengkap mengenai kaedah memasak masakan kampung, jadi ini memberi ilham kepada saya untuk mengangkat martabat masakan Melayu. Selain itu, hasil penyelidikan ini mungkin dapat membantu penggemar masakan dan generasi akan datang mengenali serta mendalami masakan kampung,” katanya yang gemar makan nasi putih bersama telur dadar dan sambal belacan. Bagi Nik, masakan ala kampung sangat mengujakan.

Walaupun masih muda, tapi matang orangnya

Info Nik:
Nama : Nick Michael Imran Nik Ezar
Nama Komersial : Nik Michael
Tarikh Lahir : 19 September 1989
Umur : 23 Tahun
Tinggi : 5'11
Berat : 82 kg
Kerjaya : Tukang Masak. Pakar Kulinari, Penilai Kulinari, Pengacara dan Model

No comments: