.

Saturday, November 23, 2013

Bahaya Cafergot untuk 'si migraine'...


Budak kecik ni kawan baik saya apabila migraine
Secara peribadi, sakit kepala memang menyeksakan. Paling pantang, kalau bangun bangun dapat sakit kepala. Bukan sakit ala-ala manja, tapi tahap nak kena hantuk kepala ke dinding.

Sejak bertahun-tahun, aku ‘menderita’ menanggung migraine. Tak boleh silap sikit, ‘berdesup’ datangnya. Serius sangat mengganggu kehidupan terutama urusan kerja saya yang memang tak menentu.
Pernah beberapa kali warded gara-gara migraine melampau
Paling tension, tengah gigih menahan sakit emosi terganggu dengan persekitaran yang tidak bersahabat. Sungguh, kalaulah membunuh tu tak berdosa memang teringin sangat nak bunuh orang time tu hahahaha.

Memandangkan ponstan tidak lagi berfungsi untuk migraine saya dan kebetulan ketika dirawat di Hospital Ampang Puteri, saya diperkenalkan dengan ubat kecil comel bernama Cafergot. Pil berwarna kuning ini memang ‘hebat’ jugalah untuk kepala aku apabila diserang migraine. Pendek kata memang serasi ubat ni dengan tahap kesakitan aku.

Kalau tidak silap perkiraan, ini tahun kedua aku‘bersama’ ubat ini setiap kali migraine teruk. Tapi taklah selalu aku telan, sebab aku tahu apa juga jenis ubat tahan sakit pasti ada kesannya pada tubuh. Jadi, selagi migraine tu saya boleh tahan…boleh layan, saya cuba bertahan. Malangnya, jarang dapat bertahan terutama kalau diserang pada hari bekerja dan kena bekerja. Macam mana nak kerja kalau kepala sakit, kan.

Tadi, ketika membelek-belek wall facebook, aku terbaca tajuk ini ‘Kesan Jangka Panjang Cafergot' distatus fb Dr. Zubaidi. Segera aku menerjah blognya dan dengan debar kencang di dada aku baca teliti tulisannya mengenai ubat ini. Ya Allah…ngerinya rasa selepas membaca. Aku pandang botol berisi Cafergot yang kebetulan ada di atas meja komputer. Hurmmm…!

Bagi manfaat bersama, aku sharekan di sini penerangan Dr. Zubaidi mengenai Cafergot dan kesannya. Semoga membantu. Oh, ya…Uolls boleh melayari blog Dr. Zubaidi untuk mendapat maklumat mengenai kesihatan dan lain-lain. Blognya sangat menarik dan ilmu serta penerangannya mudah difahami.
 Kesan Jangka Panjang Cafergot
"Doktor, saya selalu membeli cafergot di farmasi untuk sakit kepala. Ubat tahan sakit yang lain tidak berkesan untuk saya sebab saya dah cuba bermacam-macam jenis. Agaknya ada tak kesan sampingan mengambil cafergot dalam jangka masa yang lama? Saya sudah menggunakannya selama 6 tahun.”

Saya menerima e-mail itu dengan rasa bantahan. Sudah 6 tahun menggunakan Cafergot, baru tanyakan kesan sampingan. Masa ambil ubat ini dulu tidak ada doktor yang menerangkannya atau selama ini memang dia membelinya dari farmasi tanpa perskripsi? Detik hati saya. Say a menarik nafas panjang. Bersangka baiklah.Tentu lebih baik dia bertanya sekarang daripada terus memakan ubat itu dan menerima kemudharatan.

Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Hindarilah prasangka, kerana prasangka itu berita yang paling bohong. Jangan saling mencari-cari keburukan orang. Jangan saling mengorek rahsia orang dan saling menyaingi. Jangan saling mendengki, jangan saling marah dan jangan saling tak acuh. Tetapi jadilah kamu semua bersaudara sebagai hama-hamba Allah.” (Sahih Muslim)

Insya Allah, saya akan menjawabnya. Semoga Allah mencampakkan keikhlasan dalam diri saya. Cafergot adalah ubat yang sinonim dengan pesakit migraine. Tidak semua sakit kepala disebabkan oleh migraine dan tidak semua sakit kepala akan sembuh dengan memakan Cafergot.

Cafergot hanya sesuai untuk sakit kepala yang disebabkan oleh migraine kerana ia amat berkesan untuk sakit kepala yang dikategorikan sebagai ‘vascular headache’. Oleh itu, Cafergot haruslah dimakan segera apabila pesakit mula merasa ‘lain macam’ akibat /aura/ sakit kepalanya.

Pesakit migraine yang kronik biasanya mudah merasakan keadaan dirinya bakal diserang migraine. Cafergot mengandungi 1 mg ergotamine tartrate, dan 100 mg caffeine. Bahan ergotamine adalah bahan yang utama dalam merawat migraine. Mingraine disebabkan oleh saluran darah di kulit kepala dan dalam otak yang mengembang.

Cafergot berfungsi menyebabkan saluran darah mengecut seterusnya melegakan sakit kepala. Caffeine akan membantu penyerapan ergotamine dengan pantas. Caffeine juga menyebabkan saluran darah mengecut.

Cafergot harus diambil dengan perskripsi doktor. Ini kerana dibimbangi ia akan menyebabkan beberapa kesan sampingan yang membimbangkan. Selalunya kesan sampingan yang teruk berlaku apabila pesakit mengambil dos ubat berlebihan kerana tidak tahan dengan sakit kepala. Mereka mengharapkan dengan mengambil dos yang berlebihan, sakit kepala akan segera sembuh.

Oleh kerana cafergot menyebabkan saluran darah mengecut, pengambilan dosnya yang terlalu tinggi akan menyebabkan rasa sakit dada (/angina pectoris/), degupan jantung yang laju dan peningkatan tekanan darah. Oleh itu bagi pesakit pernah mengalami serangan sakit jantung (heart attack), atau mempunyai penyakit tekanan darah yang tinggi, pengambilan cafergot amat merbahaya.

Cafergot juga boleh menyebabkan rasa loya dan muntah. Dalam buku Pearson NurseDrug Guide 2010 oleh Dr Billie Ann Wilson, Ph.D., dan Dr Margaret Shannon, Ph.D., menulis bahawa 10% dari pesakit yang mengambil Cafergot mengalami kesan ini.

Jika loya dan muntahnya terlalu kuat, haruslah berjumpa doktor untuk diberikan ubat yang melegakan rasa loya dan muntah. Pesakit mungkin mengalami rasa lemah badan dan tidak bertenaga, tetapi ia jarang berlaku. Jika berasa lemah, pesakit harus berbaring selama 2-3 jam, sehingga rasa lemah itu beransur hilang.
Jangan over dos
Pengunaan cafergot yang kerap dan dalam jangkamasa yang lama boleh meyebabkan ‘ergotism syndrome’ iaitu pesakit akan berasa kepenatan yang berpanjangan (chronic fatigue) dan kemurungan. Selain itu pesakit mengalami rasa loya dan muntah, jantung berdebar-debar dan otot-otot kaki dan tangan menjadi sakit. Jika pengambilan ubat cafergot ini berkaitan dengan sakit pada otot kaki dan tangan, ia adalah sestu yang serius.

Fenomena ini dinamakan ‘claudication’. Kesan pengecutan saluran darah oleh ergotamine akan menyebabkan pengaliran darah ke tisu menjadi terjejas. Selain menyebabkan rasa sakit pada otot kaki dan tangan, claudication juga boleh menyebabkan rasa kebas dan boleh menyebabkan gangrene.

Jadi saya menasihatkan pesakit migraine agar berhati-hati dengan pengambilan Cafergot dan segera memberitahu doktor yang merawat jika terdapat gejala-gejala sebegitu.

No comments: