.

Thursday, November 7, 2013

Cerita dia disebalik usia...

Malam ini emosi aku diusik lagi. Sejujurnya, kurang suka untuk aku catatkan di sini...tapi entah mengapa aku rasa terpanggil untuk 'menjejerkannya' di sini. Aku nak tanya...korang masih punya ibu? Ayah? Alhamdulillah, kalau masih punya kedua-duanya atau seorang daripadanya. Itu tandanya kita masih diberi peluang berbakti kepada mereka sebaik mungkin. Baiklah, di bawah ini ada tiga cerita berbeza, sudi kiranya korang membaca hingga ke akhir kisah. Thanx.

Cerita si pengemis:
Tahun 2009, aku dan dua lagi teman penulis Majalah Jelita, Nurul Hazirah (Azie), Salwa bersama jurugambar ditugaskan membuat pendedahan mengenai isu gelandangan dan pengemis. Mencari dan mengintip kegiatan mengemis di tengah kota metropolitan memang senang, tetapi mahu melunaskan tugasan itu bukan kerja mudah.

Kami tak boleh menjalankan tugasan itu secara terang-terangan. Setiap kali kami cuba mendekati mereka (pengemis), dengan pantas mereka mengelak. Mahu merakamkan kegiatan mereka, apatah lagi. Cara paling 'selamat' (oh ye lupa beritahu, kami semua perempuan ketika itu termasuk jurugambar) dengan menyamar (itu pun secara kebetulan).

...percaya atau tidak, kami melakukan intipan daripada Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur hingga ke Kampung Baru. Di sekitar Jalan Bukit Bintang, kami bertemu sepasangan pengemis (kedua-duanya perempuan) bertudung dan berbaju kurung, salah seorangnya OKU (buta). Memandangkan usaha awal untuk mendekati pengemis gagal, lalu kami terpaksa menggunakan cara lain.

Ketika itu kami singgah berehat sambil minum di sebuah kedai mamak (di tepi jalan dalam kawasan Jalan Bukit Bintang). Sedang minum, kami nampak kelibat pengemis wanita itu. Seorangnya memimpin, seorang lagi menghulur sebungkus kecil tisu muka. Mereka berjalan dari meja ke meja, ada yang memberi dan ada yang menunjukkan isyarat tangan 'tidak mahu'. Dengan menggunakan telefon bimbit, aku rakam kegiatan dua wanita itu (kalau guna kamera DSLR, sure mereka perasan dan lari).

Jujur aku katakan, merakam kegiatan mereka bukanlah sesuatu yang menyeronokan. Emosi aku terdera! Bergenang air mata aku tatkala kelibat mereka semakin hampir dengan meja kami dan aku dapat melihat dengan jelas wajah kedua-duanya.

Emosi aku semakin berbaur apabila melihat wajah pengemis buta itu, usianya mungkin sekitar Ma (mak aku). Bagi aku, sepatutnya wanita seusia itu pastinya lebih baik berada di rumah. Berehat bersama anak-anak dan cucu, tetapi dia...oh ye, ketika merakamkan kegiatan itu, jam menghampiri 10 malam.

Akhirnya, kedua-dua pengemis itu menghampiri meja kami. Cepat-cepat aku letak telefon bimbit di atas meja. Aku ambil peluang itu untuk mendapat info mengenai kegiatan mereka.

Rakaman kegiatan mengemis di sekitar Jalan Bukit Bintang, KL
Aku: "Masih kerja Kak, dah pukul 10 ni," (soal saya ketika wanita buta itu menghulurkan tisu.)

Pengemis buta:  "Belum cik, derma cik...seikhlasnya."

Aku: "Tinggal mana Kak,"

Pengemis buta:  "Kuala Selangor."

Aku: "Hish...jauhnya, naik apa sampai sini?"

Pengemis buta: "Ada van datang ambil, hantar. Terima kasih cik..."

Sebelum sempat aku menyoal lagi, wanita yang memimpinnya segera menarik tangan wanita buta itu dan dengan tergesa-gesa mereka meninggalkan meja kami. Sementara di kawasan Kampung Baru pula, kami bertemu pasangan pengemis (lelaki tua buta dan wanita), juga menjual tisu muka dari meja ke meja.

Sayangnya, wanita yang memimpin lelaki tua itu perasan kamera DSLR yang dipegang jurugambar...kantoi...dia tarik tangan lelaki tua itu dan lari jauh daripada kami. Cukup pantas mereka berjalan sambil berlari, hingga nyaris tersungkur lelaki tua itu. Demi keselamatan lelaki itu, aku buat keputusan berhenti daripada mengekori langkah mereka. Aku percaya, kalau terus ikut mereka semakin laju wanita itu lari dan tentunya memenatkan lelaki tua itu. Aku akur, biarlah mereka pergi. Lagipun, tugasan aku sudah ada bahan.

Cerita si penjual keropok:
Itu rentetan cerita mengenai pengemis yang saya temui sekitar lima tahun lalu dan malam ini pula, saya bertemu seorang wanita berusia lingkungan 50-an, berbaju kurung bunga besar dan tudung labuh. Dia merapati meja makan aku sambil menghulurkan sepaket keropok.

Penjual keropok: "Dik, beli keropok. Keropok salai pun ada, Dik."

Aku: "Buat sendiri ke Kak?"

Penjual keropok: "Tak, Makcik tolong jual je...belilah Dik, sedap buat makan depan tv."

Aku: "Hi...hi...hi...berapa harga ni Kak?"

Penjual keropok: "Paket besar ni, RM12...yang kecil sikit ni RM6."

Aku: "Saya beli dua yang paket kecil tu, pukul berapa nak balik ni Kak. Dah pukul 11.30 ni."

Penjual keropok: "Kena habiskan keropok ni dulu baru boleh balik, Dik. Kalau tak habis, esok lagi banyak   Makcik kena bawa jual."

Aku: "Tinggal mana, Kak?"

Penjual keropok: "Rawang, Dik. Terima kasih beli ye, Dik. Ringgan sikit plastik Makcik. Makcik ke meja lain Dik, nanti lambat habis keropok ni."

Aku memang selalu beli keropok, kerepek dan apa saja barang yang dijual orang-orang begini. Aku akui, hati aku memang macam kapas, senang sangat lenjun dengan 'episod-episod' jual-beli itu. Kalau tengok dapur atau meja makan di rumah, penuh dengan barang yang dibeli daripada mereka ini. Selalunya, aku bawa ke office makan dengan kawan-kawan sebab di rumah tiada orang nak habiskan.

Ok berbalik pada cerita pengemis dan penjual barang dari meja ke meja ini...emosi aku memang akan jadi berantakan. Kenapa? Aku memang tak tahan hati, bagi aku pada usia 50 ke atas, seorang lelaki dan wanita sepatutnya berada di rumah bersama keluarga.

Cerita Ma:
Dan tadi, aku ada menonton video penganiayaan warga emas di sebuah hospital (atau mungkin pusat jagaan). Luluh hati aku tatkala melihat pelakukan pelakunya, memang ada rasa nak bunuh orang!!!!


video
Apa perasaan korang kalau ayah dan mak diperlakukan begini?

Ketika itu saya teringat Ma. Bercakap mengenai Ma, Alhamdulillah beliau sihat adanya. Cuma degil bab penjagaan kesihatan. Tidak dinafikan aku beberapa kali 'menderhaka' kepada beliau yang sangat degil dan tetap mahu bekerja walaupun aku masih boleh memberi wang saku kepadanya (insyaAllah). Alasan Ma masih mahu bekerja walaupun umurnya sudah 57 tahun, sebab dia bosan tinggal di rumah. Lagipun katanya, kerja yang dibuat itu mudah saja...nyaris tak keluar peluh. Pendek kata sesuai usia dan tenaga tuanya, tak penat mana pun, daripada duduk rumah buang masa... badannya jadi lesu.

Tunggu anak-anak balik, memang membosankan. Paling aku risau, apabila Ma melayan emosinya, cakap sorang-sorang. Hish...memang risau. Jadi, dengan berat hati aku terpaksa biarkan beliau bekerja. Memang aku akui, kerja aku tidak menentu masa. Ada waktunya, setiap minggu aku boleh jenguk Ma dan kadangkala berminggu-minggu aku tak dapat tengok muka Ma. Memang rasa berdosa sangat, tapi apa boleh buat aku perlu bekerja dan Ma pun faham kesibukan aku. Tapi aku sedar, jauh di sudut hatinya mahu anak-anak kerap balik jenguk beliau.

Walaupun Ma ada kerja, ada duit sendiri...tetapi kebajikannya tetap di bawah tanggungan aku. Itu memang tanggungjawab aku sebagai anak, tak boleh lepas tangan. Duit beliau, biarlah beliau urus sesuka hatinya. Memang pun, setiap kali balik rumah ada saja barang baru dibelinya. Selalu juga aku bebelkan beliau, bukan apa tak suka tengok beliau membazir. Bukan beliau dengar pun, tapi makin menjadi-jadi. Akhirnya, aku biarkan. Ada juga sekali sekala dia merungut letih, bosan (maklumlah kerja senang sangat)...apabila aku beri jelingan penuh makna (maksudnya...tak ada orang paksa Ma kerja pun, penat boleh berhenti...apa susah...itulah maksud jelingan saya hehehehe) beliau akan berhenti mengomel.

Memang, aku lebih senang hati dan lega kalau Ma duduk di rumah. Pada usianya, tak sesuai lagi bekerja. Keluar pagi balik hampir malam, memang aku tak sanggup tengok. Sayangnya, itulah kepuasan bagi Ma. Puas dapat pegang duit sendiri, puas dapat belanja itu ini dengan duit sendiri dan itulah cara beliau mengisi masa. Cukup berbeza dengan kemahuan aku.

Aku: "Kenapa Ma nak kerja lagi, rumah dah ada...semua bil orang (saya) bayar...barang dapaur orang belikan. Mak nak kerja kenapa?"

Ma: "Bosan duduk kat rumah ni sorang-sorang, tunggu korang balik...huish...sakit jiwa."

Aku: "Ma, ini la masanya nak mengaji Quran, sembahyang tepat waktu...kalau kerja kan terkejar-kejar nak buat semua tu."

Ma: "InsyaAllah, Ma tak pernah tinggal sembahyang. Bila cuti, Ma mengaji. Duduk rumah ni sorang-sorang, penat...sakit badan."

Dialog itu sebenarnya acapkali berulang dan Ma tetap mahu bekerja dengan alasan-alasan sama. Hmmm...setiap hari, selesai solat aku berdoa agar Allah melindungi Ma, memberkati hidupnya dan meluaskan sumber rezeki kepadanya. Juga dikurniakan kebahagiaan dunia dan akhirat. Paling penting, Ma mahu duduk di rumah...mengulangkaji isi al-Quran dan memperbaiki solatnya mana yang perlu.

Dan jauh di sudut hati ini, aku bersyukur kerana Ma tak perlu mengemis untuk menyara hidupnya dan anak-anak diberi rasa tanggungjawab untuk menjaga kebajikannya. Selepas Abah pergi, Ma hanya ada kami. Sangat besar harapan aku, agar adik-beradik lain tetap menjaga kebajikan Ma sebaik mungkin. Juga tetap ikhlas mendoakan kesejahteraan arwah Abah di alam sana.

Aku berharap dengan sangat...adik-adik tak lupa asal-usul mereka. Tak lupa Ma itu sentiasa menjadi tanggungjawab mereka, tak lupa tanggungjawab mereka sebagai anak kerana semua itu akan dituntut dan dipertanggungjawabkan di depan Allah kelak.

Hurmmm...sekian aku berkisah nan panjang malam ini.

No comments: