Smalam, ada urusan di Serdang. Kebetulan ke sana, aku singgah Pasar Borong Selangor. Sebenarnya nak beli udang, dah lama teringin nak makan Sambal Tumis Udang Petai. Kelmarin, waktu ke pasar raya NSK di Sri Rampai tak jadi beli udang. Harganya mahal, sekilo RM30. Terkejut beruk, rasanya baru beberapa minggu lepas aku beli sekilo udang dengan harga RM19 (paling mahal pun RM21 sekilo).
Mungkin sebab musim tengkujuh, jadi harga udang mencanak naik. Sumber gambar: Google |
Taklah suka sangat makan ulam petai ni, saja nak buat rencah rasa dalam sambal aje. Sumber gambar: Google |
Jadi, besar harapan aku harga udang lebih murah dijual di Pasar Borong Selangor. Malangnya, sangkaan aku meleset sama sekali. Harga udang lebih mahal, dijual pada harga RM34 untuk saiz M dan RM42 untuk saiz L. Dek teringin sangat, aku beli jugak setengah kilo udang saiz S yang dijual pada harga RM22 sekilo (geramnya, tak boleh pilih sendiri. Penjualnya -yang rata-ratanya orang Nepal - main 'sodok' dan timbang).
Ini rupa ikan patin. Sumber gambar: Google |
Alang-alang dah masuk pasar borong, maka saya pun memborong sakanlah. Beli macam-macam jenis ikan termasuk patin, kembung dan tongkol. Harga ikan agak murah, kali pertama beli ikan patin (selalunya makan jenis pancing sendiri) memang rasa macam nak lompat ke bintang. Seekor ikan patin dengan berat sekilo lebih hanya berharga RM4.80 dan tokey kedai bagi diskaun RM0.80. Haruslah seronok gila, 'kan!
Balik dari Serdang, terus masuk dapur. Memang penat, tapi perut lapar. So, mahu tak mahu kenalah masak. Tak ada siapa nak disuruh masak, kenalah masak sendiri ye!
Memandangkan ada stock durian segar yang dibeli kelmarin (beli kat pasar malam aje), jadi aku bikin Gulai Patin Tempoyak. Perut lapar, jadi kena pilih resipi yang simple aje. Campak sana, campak sini...tadaaa ^_^ ...siaplah!
Errr...Sambal Tumis Udang Petai? Kita KIV dululah ye, tengah hari ni kita balun gulai patin. Nak cuba buat gulai mudah meriah, sedap ni? Tengok aje resipi kat bawah, semua bahan tentunya sedia ada di dalam peti sejuk uolls, 'kan.
Inilah rupa kejadian Gulai Patin Tempoyak, sangat simple tapi sedap. Cewahhh...puji diri sendirilah, siapa lagi nak memuji kita, kan! |
Bahan:
Ikan Patin secukupnya
Segenggam cili padi kampung, kurangkan kalau tak tahan pedas
Kunyit hidup secukupnya (kalau guna kunyit serbuk, kurang 'mari' rasanya)
Tempoyak atau isi durian segar
Asam keping, kalau perlu aje
Serai, kalau suka
Daun kesom
Air secukupnya
Garam dan gula secukupnya
Rasanya yang masam, manis dan pedas memang bikin terkenang-kenang. |
1. Tumbuk kunyit dan cili padi, kemudian gaul bersama tempoyak (atau isi durian segar).
2. Lumur ikan patin dengan bahan tumbuk tadi, perap 5-10 minit.
3. Didihkan air, masukkan serai, garam, gula dan asam keping (kalau perlu).
4. Selepas air mendidih, masukkan ikan patin. Biarkan mendidih sehingga ikan masak. Akhir sekali masukkan daun kesom. Ingat, jangan kacau sangat, nanti isi ikan hancur.
No comments:
Post a Comment