.

Thursday, April 17, 2014

Ikhlaskan kasih sayangmu...




Hidup ini terlalu sukar untuk difahami dan dimengerti. Terlalu banyak rahsia dan hikmah yang terkandung sepanjang perjalanan hidup ini dan sebagai manusia biasa, tiada siapa terlepas daripada menempuh pelbagai onak dan duri.

Sama seperti perjalan hidup seorang teman, hampir aku tak percaya seorang yang aku nampak cekal, sabar dan ramah, rupa-rupanya dilanda galau berpanjangan. Benarlah kata orang, soal hati memang sukar dimengerti. Bertahun bertahan, ada waktunya kalah juga dengan tuntutan emosi.

Jumaat lalu, si teman datang bertamu. Baru beberapa patah berkata-kata, airmatanya berjurai-jurai. Sesak dada melihat keadaannya. Jauh berbeza daripada apa yang dizahirkan sebelum ini. Lama kami bersembang, soal hati dan ketentuan Allah. Bukan senang memujuk emosinya yang  parah, apatah lagi harapannya terlalu tinggi. Meminta dia meredhai semua takdir Ilahi, tak semudah membalikkan telapak tangan.

Si teman: "Aku tahu, dekat empat tahun dan dia pun sudah banyak berubah. Mungkin juga sudah    lupa siapa aku yang pernah wujud dalam hati dia, tetapi aku tak mampu. Rasa ralat semakin membengkak hari ke sehari. Setiap waktu aku mohon, supaya Dia hilangkan perasaan aku padanya, tetapi semakin aku rindu dia! Sakit, kau tahu! Sakit sangat!

Aku: "Soal hati ni perlukan masa, kau sendiri tak tahu macam mana dia bertahan untuk melalui semua yang terjadi 'kan? Mungkin dia lebih parah daripada yang kau lalui, kita tak tahu 'kan? Sabarlah, biar masa merawat semua kesakitan itu."

Si teman: "Banyak kali aku cuba, aku cuba tak mahu memikirkan apa-apa pasal kami. Aku tahu, kehidupan kami sudah jauh berbeza. Dia juga sudah banyak berubah, mungkin kesan daripada perbuatan aku. Aku tak minta semua ni jadi pada hubungan kami, aku tak minta. Semuanya berlaku sekelip mata dan aku tak tak berkesempatan nak jelaskan keadaan sebenar pada dia. Lebih membuat aku sakit hati, ada orang lain sibuk jadi tukang sampai. Aku tak sempat beritahu dia sendiri keadaan sebenar, dah ada yang gatal mulut bercerita. Aku geram, marah!"

Aku: "Itu memang lumrah manusia, sikap lebih sudu daripada kuah tu perkara biasa. Kau marah pun tak guna, benda dah jadi."

Si teman: "Kalaulah aku tahu siapa yang gatal mulut tu, aku memang nak bunuh dia. Cara dia dah musnahkan silaturahim kami. Aku memang nak beritahu dia sendiri, bukan ada orang lain beritahu dia sebab cerita yang betul tak 'kan sampai kat dia."

Aku: "Hmmm... memanglah sakit apabila kita dapat berita mengejut daripada pihak lain, bukan dari mulut tuan punya badan. Apa-apa pun, kau kena redha. Benda dah berlaku, alu percaya waktu akan memulihkan hubungan korang."

Si teman: "Aku rasa tak mungkin, call aku pun dia tak jawab, sms tak berbalas. Bila nampak kelibat aku dia lari, aku sedih tau tak! Aku sedih kena harung semua ni sorang. Kalaulah dia nak memahami, nak dengar penjelasan aku..alangkah baiknya."

Aku: "Bersangka baiklah pada dia. Kalau kau sakit, tentu dia lebih sakit. Aku percaya, dia terlalu sayang kau dan bukan senang dia nak terima semua ni. Biarkanlah dia, jangan berharap lebih-lebih daripada dia. Biar masa memulihkan keadaan, beri dia peluang bina hidup baru tanpa kau. Siapa pun pilihan dia, kau jangan ambil kisah. Biarkan dia, biarkan dia cari bahagia. Dia berhak bahagia sekalipun tanpa kau."

Si teman: "Walaupun aku sendiri tak bahagia? Sepanjang hubungan kami, memang aku idamkan hidup bersama dia sampai akhir hayat kami. Sayangnya, Allah takdirkan yang lain untuk aku. Allah beri aku ujian yang besar sampai aku tak mampu elak dan ini hasilnya."

Aku: "Ikhlaskan semua tu. Doakan kebahagiaan masing-masing. Ingat pesan aku sebelum ni, "Rasa mahu memiliki itu bukti ketamakan yang nyata." Kau kena percaya, setiap ujian itu ada hikmahnya. Sabarlah, bersangka baik dengan Allah. Syukuri kehidupan kau sekarang, kalau kau terus macam ni kau sedang berlaku tak adil kepada orang lain. Soal hati kau pada dia, biar Allah yang merawatnya. Jangan jemu minta pada Dia, supaya kau lebih tenang dan bahagia. Doakan juga kebahagiaan dia, ketenangan dia."

Doa aku, moga-moga Allah mempermudahkan urusan hatinya. Aku mengenali kedua-duanya, aku percaya mereka sama-sama sakit. Bezanya, mungkin ada yang terlebih sakit dan ada masih mampu bertahan.

Aku  juga tumpang terkilan dengan si pembawa mulut, mungkin kalau dia tidak sibuk-sibuk masuk campur urusan peribadi orang lain keadaan lebih baik. Kalau aku jadi si penerima berita (daripada si tukang sampai), memang sakit hati. Kita rasa dikhianati, dizalimi, dipermainankan dan rasa kecewa tentunya lebih parah berbanding si empunya diri bercerita sendiri (diplomasinya tentu lebih tersusun).

Jadi, pesan aku kalau kita ada dengar apa-apa berita mengenai orang lain (terutama yang membabitkan urusan peribadi) janganlah cepat teruja nak jadi tukang sampai. Jangan rasa bangga sangat dapat jadi orang pertama atau orang penting yang menyampaikan berita panas. Tindakan dan keterujaan itu mungkin memberi kesan buruk kepada orang lain. Kena fikir sematang-matangnya, bercakap jangan main hembus saja!

Buat kedua-dua teman aku ni, harapnya jalinan silaturahim mereka masih dapat diselamatkan. Selepas berpisah tak semestinya harus bermusuh. Rasa kasih dan sayang yang Allah tiupkan dalam hati kalian sebelum ini untuk dihargai, bukan dibuang apabila tak boleh bersama. Ikhlaskan takdirmu, insyaAllah gugur segala dendam dan benci. Aamiin.

Monday, April 14, 2014

Alkisah seorang kurang bermotivasi….

Aku nak kongsi 1 cerita ni dengan Uolls, baca dan fahami betul-betul ye, ada pengajaran berguna daripada perkongsian ni.

Mohd Khairol seorang yang kurang bermotivasi dalam melaksanakan kerja-kerjanya baik di mana saja. Khairol ingin menyelesaikan masalah ini lalu berjumpa dengan Tok Guru Rani.

“Ustaz, ada banyak perkara yang saya ingin buat, tapi tak da motivasi untuk bergerak,” adu Khairol.

“Nak buat, buat terus,” jawab Rani.

“Tak faham. Saya tak ada motivasi nak buat, itulah masalahnya ustaz,” jawab Khairol.

“Ok. Khairol jawab ini. Antara ayam dengan telur, siapa datang ke dunia ini dulu?” tanya Rani.

“Telur,” jawab Khairol.

“Dari mana telur datang?” jawab Rani. Melihat Khairol tidak dapat bercakap apa-apa...Rani mula berceramah…

“Sebenarnya kita tidak tahu mana datangnya ayam yang melahirkan telur yang pertama? Dan kita mungkin tak akan tahu.

"Tapi soalan seterusnya ialah motivasi. Siapa datang dulu, motivasi atau tindakan?” tanya Rani.

“Motivasi dulu,” jawab Khairol.

“Tak boleh ke kita buat dulu, baru timbul momentum dan motivasi untuk buat lagi,” Rani tanya kembali.

“Dan orang yang tunggu motivasi datang dulu, selalunya akan gagal untuk menyelesaikan apa-apa. Sementara orang yang mengambil tindakan dulu sebelum menjana motivasi boleh melakukan lebih banyak perkara,” terang Rani.

Khairol semakin terpegun dengan kata-lata Rani dan tidak berkata apa-apa.

“Kita tak nyanyi sebab kita gembira, tapi kita gembira kerana kita bernyanyi,” tambah Rani.

Selepas mendengar penjelasan daripada Rani, perangai Khairol berubah dengan mengambil tindakan dulu terhadap semua perkara walaupun tiada motivasi.

Jangan sangsi untuk bertindak sekiranya kamu terasa itu adalah sesuatu yang perlu untuk dilakukan.

Motivasi melakukannya akan menyusul sepertimana momentum. Jika kamu duduk tunggu motivasi datang dahulu, setiap 5 minit yang dibazirkan menunggu momentum menyebabkan perkara tersebut lewat 5 minit untuk diselesaikan dan menjauhkan kamu lagi dari sasaran kamu.

Senyum...


*p/s: sharing frm fb Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man (Official)

Saturday, April 12, 2014

Hanya memuji...


Dia cantik manis, baik dan peramah. Aku selalu suka apabila dapat bekerjasama dengannya, orangnya tak banyak kerenah serta berbudi bahasa. Pendek kata, dia antara golongan selebriti yang mudah didampingi.

Sorry, bunyi macam tgh 'kipas orang ke'? Hahaha...  aku memang tak kisah dan suka puji orang kalau memang layak dibuat begitu. Aku pernah beberapa kali dgn selambanya puji perempuan cantik (padahal aku sendiri perempuan...hahaha).

Misalnya, beberapa bulan lepas saya jumpa seorang perempuan cantik (pada pandangan mata aku 'la) di dalam LRT. Tanpa secalit makeup yang diconteng pada mukanya, dia kelihatan sangat manis dan menawan. Membuat aku tak boleh lari daripada curi-curi pandang ke arahnya yang kebetulan duduk di kerusi bertentangan. Aku nak hadiahkan senyuman kepadanya, tetapi dia hanya menundukkan pandangan...leka dengan telefon di tangannya. Hurmmm...

Alhamdulillah, rezeki. Kami turun di stesen sama, stesen Taman Melati. Cepat-cepat aku berjalan menyainginya. Laju betul langkahnya walaupun berbaju kurung dan bertudung bawal labuh menutupi bahu serta separuh bahagian perutnya.

Sampai di kawasan menunggu teksi dan kenderaan jemputan, matanya melilau memerhati setiap kereta yang melintas di depan kami. Lalu, aku bersuara...

Aku: "Assalamualaikum, adik maaf ye." (dengan senyum aku menyapanya).
Dia: (Dengan muka tercenggang-cenggang, tapi nampak ramah).
Aku: "Adik ni cantiklah, serius suka tengok. Hehehe....ok bye (aku terus berlari ke arah moto si teman yang datang menjemput)."
Dia: (Kelihatan senyum malu-malu tatkala aku berpaling melambainya, aduh manis sekali!)

Sekelumit kisah, jangan marah. Ok kita kembali kepada cerita awal tadi. Sebenarnya aku seronok dan sangat gembira dengan penghijrahan pelakon dan model komersial, Bella Dally ni. Iya, sejak Selasa (9 April 2014) lalu, Bella tampil berhijab sepenuhnya. Syukur, tiba hidayah Allah kepadanya untuk menjalani kehidupan lebih baik.

Kredit foto: Instagram/Bella Dally
Memang ramai yang terkejut, saya tak terkecuali, tetapi apabila Allah berkehendak tiada yang mustahil 'kan. Lebih membanggakan, Bella turut memadam semua gambar yang menampakkan rambutnya di laman sosial termasuk Instagram. Tahniah Bella.

Kata Bella, dia melakukan perubahan secara berperingkat dan mengharapkan sokongan semua pihak terutama peminatnya. Ya, sama-sama kita doakan usaha Bella untuk mencari redha Allah dipermudahkanNya dan terus istiqomah. InsyaAllah.

Kredit foto: Instagram/Bella Dally

Friday, April 11, 2014

Rahsia solat 5 waktu sehari semalam



Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam. Fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi.

Waktu Subuh
Pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh. Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi. Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki.
 

Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) – dalam erti kata lain jaga daripada tidur. 

Di sini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat diawal waktu. Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

Waktu Zuhur
Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (isyraq & dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak?

Waktu Asar
Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu ). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita. Nak subur? Sila segerakan solat Asar anda!

Waktu Maghrib
Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

Waktu Isyak
Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta di mana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan.
 

Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.

Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh...


*p/s: sharing frm facebook.

Thursday, April 3, 2014

22 rahsia nikmati BAHAGIA...



Aku suka membaca tulisan ini (disalin semula daripada blog milik khairulabdullah.com). Perkongsian yang bermanfaat dan boleh dijadikan panduan untuk hidup lebih baik. Terima kasih Khairul Abdullah kerana telah mengolah  semula di dalam bahasa Melayu.

Sebenarnya banyak lagi perkongsian menarik termasuk resipi enak yang ada di dalam blog Khairul dan aku memang sudah lama menjadi silent readernya hehehe. Oklah, selamat membaca ^_^

Kredit foto: Google
Terdapat 2 jenis orang di dalam dunia ini : mereka yang memilih untuk bahagia dan mereka yang tdak memilihnya. Berlawanan dengan pandangan ramai – kebahagian bukanlah datangnya dari kekayaan, populariti, harta-benda dan sebagainya – ianya datang dari diri individu itu sendiri. Orang paling kaya didunia mungkin berserabut pemikirannya dan seorang yang tidak punya apa-apa bahagia dengan setiap langkah dan detik di dalam hidupnya. Orang yang bahagia bergembira kerana mereka memilih untuk membahagiakan diri mereka. Mereka sentiasa positif di dalam melihat kehidupan dari segenap aspek dan sentiasa tenang dengan diri mereka sendiri.

Persoalannya – bagaimanakah mereka melakukannya?
Jawapannya adalah mudah. Orang yang bahagia mempunyai tabiat yang menambahbaik kehidupan mereka. Mereka melakukan sesuatu dengan berbeza. Tanyalah kepada setiap orang yang bahagia – jawapannya adalah sama, iaitu :-

1. Jangan simpan dendam.
Orang yang bahagia faham yang perbuatan memaafkan (forgive and forget) adalah lebih baik dari menyimpan dendam kesumat. Dendam mempunyai pelbagai impak negatif kepada kebahagiaan termasuklah memberikan tekanan dan stress yang melampau. Kenapa perlu memberikan “kuasa” kepada orang yang berbuat salah kepada kita untuk terus menekan dan menghantui kita? Sekiranya anda memaafkan – fikiran akan menjadi tenang dan anda akan bertenaga untuk menikmati pelbagai perkara yang baik dan menarik di dalam hidup ini.

2. Layanlah dengan penuh kebaikan.
Tahukah anda dengan melayan setiap orang lain dengan penuh kebaikan membuatkan anda lebih gembira dan bahagia? Ia telah terbukti secara saintifik dimana setiap kali anda melakukan perkara (kebaikan) yang tidak mementingkan diri sendiri – otak akan mengeluarkan ‘Serotonin”  iaitu sejenis hormon yang melegakan tekanan dan menaikkan semangat. Bukan itu sahaja, dengan melayan orang lain dengan penuh hormat dan kasih sayang anda akan turut dihormati dan ini akan mengeratkan lagi perhubungan sesama rakan, saudara dan juga orang lain.

Kredit foto: Google
3. Lihatlah masalah sebagai cabaran
Orang yang bahagia sentiasa melihat masalah sebagai satu cabaran – bukannya sebagai situasi penghalang, payah ataupun sukar. Sekiranya dilihat sebagai satu cabaran – masalah akan bertukar menjadi peluang untuk cuba meyelesaikannya dan sebagai satu tugas yang perlu disiapkan. Jadi, setiap kali berhadapan dengan masalah – anggaplah ia sebagai satu cabaran.

4. Bersyukurlah dengan apa yang ada.
Orang yang bahagia sentiasa bersyukur dengan apa yang mereka ada. Pepatah mengatakan ” Orang yang bahagia tidak mempunyai semua yang terbaik tetapi mereka menggunakan apa yang mereka ada dengan sebaik-baiknya”. Anda akan lebih berasa gembira sekiranya anda bersyukur dengan apa yang ada daripada terus mengeluh dengan apa yang anda tidak ada.

5. Bercita-cita tinggi
Orang yang bercita-cita tinggi (dream big) selalunya akan berjaya mencapai cita-citanya itu daripada orang yang tidak bercita-cita langsung. Sekiranya anda bercita-cita tinggi, otak serta pemikiran anda akan menetapkan fokus bagi mencapai cita-cita tersebut.

6. Jangan membesarkan perkara yang kecil
Orang yang bahagia tidak peduli dengan perkara kecil yang remeh-temeh. Mereka akan bertanya kepada diri sendiri ‘Adakah perkara ini akan menjadi hal dalam tempoh sebulan atau setahun akan datang?” Bagi mereka, hidup ini adalah singkat untuk dibebankan dengan perkara yang kecil. Mereka gembira menjalani hidup dengan mengenepikan perkara kecil yang remeh.

7. Bercakap baik tentang orang lain
Menjadi baik atau berbuat baik adalah lebih bahagia dari menjadi atau berbuat jahat. Sama juga dengan berkata benda yang baik adalah lebih bahagia serta mulia dari berkata benda yang jahat – apatah lagi mengenai diri orang lain. Walaupun ber”gossip” itu seronok – namun bercakap tentang keburukan seseorang akan membuatkan diri anda menjadi geram dan kadangkala rasa bersalah akan muncul. Bercakap atau bercerita kebaikan seseorang akan membuatkan anda berfikiran lebih positif dan tidak menilai diri orang lain.

8.  Jangan memberi alasan
Benjamin Franklin pernah berkata yang “Seseorang yang pandai memberi alasan selalunya tidak pandai di dalam apa jua perkara lain”. Orang yang suka memberi alasan adalah orang yang tidak berguna. Orang yang bahagia tidak memberikan alasan atau menyalahkan orang lain sekiranya mereka gagal.  Mereka sentiasa menyalahkan diri sendiri dan akan cuba membuat yang lebih baik di masa hadapan.

9. Lupakan kisah silam
Orang bahagia tidak memikirkan atau mengenang kisah-kisah silam. Mereka sentiasa menjalankan kehidupan yang terbaik untuk hari ini dan merancang yang terbaik untuk hari esok. Memikirkan secara keterlaluan perkara yang sudah lepas serta perkara yang akan berlaku di masa hadapan sering membuatkan diri menjadi runsing dan tertekan. Jalanilah da nikmatilah hidup pada hari ini dengan sebaiknya seolah tiada hari esok.

10. Bangunlah pada waktu yang sama setiap pagi
Tidakkah anda perasan yang orang yang bahagia dan berjaya selalunya orang yang bangun awal pagi. Bangun pada masa yang sama setiap pagi akan menetapkan ritma sirkulasi tubuh badan. Hasilnya – produktiviti diri akan meningkat dan membuatkan anda sentiasa fokus. Dan ingat..pintu rezeki sentiasa terbuka di awal pagi.

11. Elakkan perbandingan sosial
Setiap orang bekerja dan berfungsi pada kadar diri mereka masing-masing – ada yang laju, ada yang perlahan dan ada yang sederhana. Ada yang sudah berjaya, adaya yang belum berjaya dan ada yang masih sedang mencuba. Sekiranya anda merasakan diri anda berjaya dan lebih bagus dari orang lain – anda akan mempunyai sifat takbur. Manakala sekiranya anda merasakan anda lemah dan gagal dan orang lain lebih baik serta bagus dari anda – maka anda akan merasa terlalu rendah diri pula. Jadi usahlah dibandingkan diri anda dengan orang lain. Anda akan lebih bahagia dan gembira jika anda menumpukan perhatian terhadap usaha serta pencapaian anda dan memuji kejayaan orang lain. Dan ingat..perbandingan sosial ini juga adalah antara penyebab perasaan hasad dengki.

12. Pilih kawan yang sesuai
Amat penting bagi anda untuk dikelilingi oleh rakan-rakan yang optimistik dan sentiasa berfikiran positif. Rakan yang optimistik akan sentiasa mendorong anda untuk mencapai cita-cita anda manakala rakan yang pesimis pula akan sentiasa menghadirkan rintangan serta masalah terhadap cita-cita anda. Lagi banyak tenaga positif di persekitaran anda maka anda akan merasa bertamabah lega, senang dan bahagia.

13. Jangan meminta izin atau kebenaran orang lain
Orang yang bahagia dan berjaya tidak peduli dengan cakap-cakap orang. Mereka tidak perlu meminta kebenaran dari orang lain untuk berbuat sesuatu yang membahagiakan mereka. Anda perlu tahu yang adalah mustahil untuk memuaskan hati semua pihak. Namun, perlu dengar pendapat mereka dan keputusannya andalah yang buat sendiri tanpa memohon kebenaran mereka. Namun begitu, seorang isteri haruslah meminta izin suami untuk melakukan sesuatu yang melibatkan tanggungjawab anda sebagai seorang isteri.

14. Lebihkan mendengar dari bercakap
Kurangkan bercakap dan lebihkan mendengar – kerana dengan mendengar akan membuat fikiran anda lebih terbuka terhadap pendapat, kebijaksanaan maupun kebodohan orang lain. Lebih peka anda mendengar – lebih tertumpu serta tajam pemikiran anda.

15. Eratkan hubungan sosial.
Orang yang bersendirian (penyendiri) adalah orang yang sengsara dan bermasaalah. Orang yang bahagia dan gembira tahu bahawa hubungan sosial yang sihat dan erat adalah sangat penting. Jadi selalulah berhubung dengan saudara, rakan-rakan, jiran serta orang yang penting di dalam hidup anda.

16. Meditasi.
Meditasi adalah perbuatan duduk berdiam diri dan mengosongkan pemikiran – bagi merehatkan minda. Bagi kita orang Islam, solat adalah meditasi yang terbaik. Solat 5 waktu mampu merehatkan minda serta membersihkan jiwa dari segala sifat yang tidak diperlukan di dalam diri. Orang yang bahagia tahu dimana mereka perlu merehatkan minda dan menenagkan jiwa ketika berhadapan dengan dengan rintangan, halangan, dugaan serta perasaan amarah.

17. Pilih makanan yang terbaik.
Jangan makan dengan kerap makanan ringan yang tidak elok dan tidak berkhasiat. Makanan ringan membuatkan anda menjadi lembap – anda tidak akan gembira sekiranya badan dan pemikiran anda lembap. Setiap makanan yang dimakan akan memberi kesan terhadap pengeluaran hormon-hormon yang menentukan, tenaga,  perasaan, sifat serta mood anda. Jadi sentiasa makan makanan yang berkhasiat bagi menjamin kesihatan mental dan juga fizikal.

18. Kerap bersenam
Kajian menunjukkan senaman menaikkan tahap kegembiraan seseorang dengan lebih baik. Bersenam juga akan meningkatkan tahap kendiri dan membuatkan anda lebih yakin dengan diri anda serta memberikan rasa pencapaian yang lebih tinggi.

19. Hidup bersederhana.
Orang bahagia sentiasa ringkas di dalam kehidupan seharian. Rumah mereka tidak terlalu padat dengan perabot dan aksesori yang merimaskan yang akhirnya akan memeningkan kepala mereka. Kajian menunjukkan orang yang tinggal di rumah kecil, dengan perabot yang ringkas, berkereta sederhana dan tidak mempunyai banyak harta adalah lebih bahagia.

20. Bercakap benar
Menipu membuat anda stress, menghakis sifat atau jati-diri serta membuatkan anda tidak disukai. Menjadi seorang yang jujur membuatkan anda lebih terasa bebas, mental anda lebih stabil dan juga perhubungan sosial anda akan sentiasa baik. Jasi, sentiasalah bercakap benar dan bersifat jujur.

21. Kebolehan mengawal diri.
Orang yang bahagia mempunyai kebolehan untuk menentukan haluan atau arah tuju beliau sendiri. Mereka tidak membenarkan orang lain mengawal diri serta kehidupan mereka. Kebolehan menjalani serta mengawal hidup sendiri meningkatkan lagi tahap jati-diri (self-esteemed).

22. Terimalah seadanya
Sekiranya anda boleh menerima yang hidup ini serta diri anda secara fizikalnya adalah tidak sama dari seorang individu kepada individu yang lain – anda akan merasa lebih tenang dan aman. Janganlah dibandingkan hidup anda dengan orang lain – betapa cantiknya orang itu dan anda tidak, betapa tingginya dia dan anda rendah dan sebagainya lagi.  Anda perlu fokus kepada perkara yang di dalam kawalan anda dari memikirkan ciptaan tuhan yang tidak boleh anda ubah.

Kredit : Chiara Fucarino
——————————————————————————————————-
Artikel ini dikirim oleh seorang rakan saya semalam dan asalnya adalah di dalam bahasa inggeris, namun saya telah olahkan semula di dalam bahasa melayu. Terima kasih Eliza.

Marilah kita bersama-sama menjadi insan yang bahagia. Ameeen.



Nota kaki: Minta halal ye Khairul Abdullah (khairulabdullah.com) kerana tumpang sharing di sini. Harapnya bermanfaat kepada lebih ramai orang yang ingin menikmati BAHAGIA ^_^

Tuesday, April 1, 2014

Peluk jiwaku ketat-ketat...


InsyaAllah, aku tgh usaha. Memang perit, sakit otak pedih jiwa saya harung jugak. Dlm tu, aku jumpa mcm2 jenis 'muka', 'hati' & 'perangai'. Aku layankan aje sebab aku yakin/percaya, Allah tetap bersama aku tak kira apa keadaan. Dia selalu 'pandang' &  'pujuk' emosi aku dengan 'cara' tersendiri.

Jadi, walau ada yg gigih buat hati aku terjerut, aku tahankan aje. Masih bertabah, sebab aku yakin/percaya bukan senang nak raih nikmat Allah. Biar aku sorang2, aku selalu ingat Dia ada. Peluk erat jiwa aku, biar selalu 'besar', 'kental' & 'tabah'. InsyaAllah. #pesanutkdirisendiri #muhasabahdiri