Sebelum tu, sorry ye post entry yang satu ni agak panjang daripada biasa. Bagi aku, perkongsian ni agak 'serius', jadi aku nak kita dapat manfaat bersama dan bukan sekadar berblogging kosong atau suka-suka. Ada waktu dan isunya, kena serius sikit termasul perihal yang nak aku kongsikan ni. Maaf kalau ada yang tak selesa, tak suka or menyampah nak membacanya...
Semalam,
sebak dan keras dada ni waktu tengok paparan gambar-gambar orang Melayu - Islam berwajah ceria memeluk, membelai dan memegang Anjing (tak perlu aku post kat sini gambar-gambar mereka yang ambil bahagian dalam kempen 'I want to touch a dog' / Saya mahu sentuh anjing, Uolls boleh Google, bersepah-sepah dengan pelbagai rupa...hurmmm). Allahu Akbar sampai tahap tu orang sekarang 'mengejar' logik akal dalam
mentafsir hukum Allah SWT.
Membuak-buak
bimbang di hati, selepas ni apa pulak jenis kempen yang dibuat untuk
'membolehkan' yang haram. Haiwan bernama Anjing ni bukan binatang yang baru
'muncul' setahun dua ni dalam dunia. Sudah berzaman-zaman wujudnya dan rasa aku,
sedari kecil kita sudah diberitahu hukum membabitkan bersentuhan dengan anjing
ni.
Nak
pegang-pengang anjing macam kucing? Nak belai - bela macam kucing? Allahu
Akbar, begitu sekali kita mengejar keinginan dan kemodenan gaya hidup! Serius aku marah, geram dan sedih kerana ramai yang 'jakun' dengan kempen macam ni. Ini aku namakan, orang 'tak tahu', tetapi nak menunjuk 'arif'!
Dari
semalam ke pagi ni, ramai teman dan kenalan saling berbincang pasal hal ni. Ni aku kongsikan pencerahan daripada Ustaz Azhar Idrus bab bersentuhan dan memegang anjing;
Di fan pages Ustaz Mohd Kazim Elias pun ada sedikit pencerahannya
pasal kempen 'I want to touch a dog'.
"Salam
sejahtera..Kempen Saya Mahu Sentuh Anjing.. Hurmm satu kempen utk mmbuang
stigma bg Org Muslim n khususnya org Melayu kononnya. Siap bwk dalil kisah org
masuk syurga krn bg minum kpd anjing lg.
Membela
anjing utk jg kebun utk jg keselamatan rumah utk mengesan barang jenayah
tidaklah dilarang malah harus didlm Islam.Tetapi nak dijadikan sbg binatang
peliharaan spt kucing ayam dll tidaklah boleh dipndg ringan krn ianya
melibatkan urusan ibadat seharian.
Mana
boleh saja2 bela, saja2 nak pegang. Sebab apa nak pegang? Isu apa?Nak jdkan
anjing sbg apa? Mula2 pegang pastu bela ,pastu masuk dlm rumah pastu?
Pastu?Binatang mughalazah ini mcm babi jugalah mugahalazahnya, lepas ni buat la
kempen pulak pegang babi dgn melawat ke pasar babi lepas tu melarat ke makan
babi pulak.Ini semua ada agenda halus utk meliberal n mempluralkan agama.
Tidaklah
salah pegang anjing, tp apa sebabnya sampai buat kempen?Nape x buat kempen ke
masjid ke? Kempen menerima hudud ke kempen menerima konsep Kalimah Allah yg
sebenarnya ke..Inilah jarum halus yg dicucuk kpd umat Islam agar menjadi
fahaman liberal n plural.. Nnt akan ada yg kata knp ustaz bising isu anjing knp
x bising isu memegang bukan mahram x bertudung dll, yg itu pun berkali2 dah
saya tegur n nasihat tp dlm bab kempen anjing ni, ianya satu gerakan yg cukup
halus utk menghalalkan sesuatu yg sudah diharamkan dan dimulakan dgn satu
kempen secara kecil2an yg akhirnya akan merubah n menidakkan hukum dan itulah
tujuan asalnya.
Berhati2lah
dgn kempen sebegini, lepas kempen arak mai anjing pulak lepas ni apa pulak?Jgn
lepas ni buat kempen babi pulak dgn alasan bahawa babi skrg dah bersih dah
diternak dlm aircond dah mengamalkan tahap kebersihan mematuhi piawaian
antarabngsa. Halusnya kempen anjing ini namun sayang ada segelintir umat Islam
yg tidak cukup halus mata hatinya utk meneliti."
Juga
ada pencerahan daripada Dr. MAZA.com (menerusi
fan pagesnya);
ANJING DAN ISU
MASYARAKAT MALAYSIA
Dalam
masyarakat yang rencam agama dan budaya, pelbagai perkara sensitive mudah
timbul. Di zaman teknologi maklumat, bermacam sudut pandang akan muncul.
Sememang inilah reality masyarakat ‘era baru’ kini yang mempunyai pelbagai
dimensi dan perspective baru yang tidak dimiliki oleh generasi yang hidup dalam
era yang lepas.
Ada
yang kata anjing binatang yang dimusuhi oleh Islam. Ada yang kata perbuatan
memegang anjing diharamkan oleh Islam. Ada pula yang kata apa salahnya kita
membela anjing macam orang lain. Macam-macam lagi yang ditimbulkan. Ada yang
berdasar fakta, ada berdasar emosi.
Ramai
yang meminta saya mencoretkan sesuatu tentang anjing pada pandangan muslim.
Dalam ruang yang terbatas ini, saya ingin sebutkan secara ringkas isu-isu
berikut;
Samakan
Dengan Anjing
Walaupun
manusia mempunyai pelbagai latar budaya dan agama, namun secara umumnya kesemua
masyarakat menganggap menyamakan mana-mana individu dan pihak dengan anjing
merupakan satu penghinaan. Sekalipun masyarakat Barat ramai yang menganggap ‘a
dog is a man’s best friend’ namun jika kita berkata ‘you are like a dog’ ia
merupakan satu penghinaan. Jika pun ada yang memahami dengan maksud kesetiaan
ataupun loyalty namun ia bermaksud kesetiaan yang membuta tuli.
Al-Quran
juga menjadikan anjing sebagai satu perumpamaan yang buruk bagi golongan ulama
penjilat dunia yang menjual prinsip kebenaran demi kepentingan diri. Firman
Allah: (maksudnya) “Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar
berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat Kami.
Kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti
oleh syaitan, maka dia dari kalangan yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki
nescaya Kami angkat kedudukannya dengan (berpegang) ayat-ayat itu, tetapi dia bermati-mati
cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah
seperti anjing, jika engkau menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya, dan jika
Engkau membiarkannya, ia juga menghulurkan lidahnya.
Demikianlah
bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Maka ceritakanlah
kisah-kisah itu supaya mereka berfikir (Surah al-’Araf: 175-176).
Jadi,
jika masyarakat muslim sensitive apabila mereka ataupun amalan mereka
dibandingkan dengan anjing, maka itu memang sepatutnya. Mereka yang membuat
apa-apa provokasi dalam hal yang seperti itu memang membuat onar dan ingin
menimbul permusuhan dengan masyarakat muslim tanpa sebab. Perbuatan itu
merosakkan keharmonian masyarakat di negara ini.
Islam
Benci Anjing?
Ada
orang bertanya pula, jadi apakah Islam membenci anjing dan melarang muslim
berbuat baik kepada binatang berkenaan?
Dalam
al-Quran Allah menceritakan tentang anjing yang mengiring para pemuda al-Kahfi
dan turut bersama mereka semasa berjuang menghadapi rejim yang zalim pada zaman
mereka. Firman Allah: (maksudnya) “dan engkau sangka mereka sedar, padahal
mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan
dan ke sebelah kiri; sedangkan anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya
dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling
melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa amat gerun takut
kepada mereka.” (Surah al-Kahfi, ayat 18).
Anjing
tersebut menjadi binatang yang bersahabat dengan para pejuang kebenaran. Anjing
itu lambang kemuliaan. Sesetengah riwayat yahudi menamakan anjing itu ‘qidmir’.
Sementara
dalam hadis pula, Nabi s.a.w bersabda: “Diampunkan dosa seorang pelacur yang
melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya
terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan
kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air
untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu” (Riwayat
al-Bukhari).
Betapa
seorang pelacur yang buruk sekalipun diampuni dosanya oleh Allah kerana dengan
ikhlas memberikan minum kepada seekor anjing. Bagaimana mungkin untuk kita
menganggap bahawa Islam tidak menilai sebagai satu perbuatan yang baik jika
muslim memberi makan dan minum kepada anjing?!! Jika ada orang muslim yang
memberi makan kepada anjing patutlah dipuji.
Bolehkah
muslim memiliki anjing?
Dalam
al-Quran, Allah menyebut: (maksudnya) “Mereka bertanya kepadamu (Wahai
Muhammad): "Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?" bagi
menjawabnya: "Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang baik-baik, dan (buruan
ang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk
berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta
melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah
kepada kamu, oleh itu makanlah dari apa yang mereka (binatang-binatang buruan)
itu tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika kamu
melepaskannya berburu); dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha
cepat hitungan hisabNya" (Surah al-Maidah, ayat 4)
Binatang
pemburu yang biasa digunakan ialah anjing. Kitab-kitab tafsir seperti Tafsir
Ibn Kathir dan selainnya akan menyebut anjing sebagai pemburu utama. Juga
perkataan mukallibin dalam ayat ini boleh bermaksud tuan-tuan empunya anjing
seperti yang disenarai oleh al-Imam Ibn al-Jauzi ( meninggal 597H) dalam Zad
al-Masir.
Ertinya,
muslim memiliki anjing buruan. Demikian dia boleh memiliki anjing yang
menemaninya berjalan atau menjaga keselamatan rumah seperti anjing Ashab
al-Kahfi yang disebutkan tadi.
Bolehkah
Muslim Menyentuh Anjing?
Ada
pula yang cuba menyatakan haram memegang anjing kerana najis. Kalau kerana ia
najis haram dipegang, maka haram juga seseorang menyentuh najis dirinya,
ataupun anaknya ataupun sesiapa di bawah jagaannya ketika membersihkannya.
Haramlah juga mereka yang berkerja yang membabitkan bahan-bahan bernajis
seperti mencuci tandas ataupun darah ataupun nanah dan lain-lain. Begitu juga
dengan doctor veterinar. Maka itu kesimpulan hukum yang cetek. Maka TIDAK HARAM
menyentuh anjing.
Najis
boleh disentuh tetapi hendaklah dibasuh apabila kita hendak beribadat ataupun
berurusan dengan masyarakat. Menyentuh anjing yang kering sepakat ulama tidak
najis. Menyentuh anjing basah khilaf pendapat dalam kalangan sarjana. Mazhab
Syafie agak tegas dalam hal ini. Namun, pendapat-pendapat mazhab lain lebih
luas dan mudah. Sebahagian fuqaha hanya membataskan najis anjing itu hanya
jilatannya kerana itu sahaja yang disebut dalam hadis : “Apabila anjing
menjilat bekas seseorang kamu, maka basuhlah sebanyak tujuh kali. Salah satunya
dengan tanah” (Riwayat al-Bukhari).
Mazhab
Malik bin Anas pula paling longgar dan luas berhubung dengan anjing.
Memelihara
Anjing Dalam Rumah?
Adapun
memelihara anjing dalam rumah tanpa sebab adalah tidak digalakkan oleh Islam.
Nabi s.a.w bersabda: “Sesiapa yang memelihara anjing kecuali anjing buruan
ataupun ternakan (menjaga ternakan) maka berkurangan pahalanya setiap hari
sebesar qirat (Bukit Uhud)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan
hadis ini, maka sekurang-kurangnya memelihara anjing tanpa sebab yang
disebutkan berada pada hukum makruh. Ada ulama yang mengharamkan. Namun hadis
di atas tidak menyebut dosa, tetapi pengurang pahala sahaja. Maka, hukum makruh
dipilih oleh sebahagian fuqaha. Hikmahnya, mungkin atas beberapa sebab yang
berkaitan kerohanian dan kemasyarakat.
Islam
menyuruh kita mengalukan tetamu. Bukan semua orang suka dengan anjing. Baunya
dan juga salakannya boleh menakutkan sesetengah orang. Sesiapa yang pernah
pergi ke rumah pemelihara anjing, atau menaiki kenderaan yang ada anjing dia
akan tahu baunya yang bukan semua orang dapat bertahan. Salakan anjing dan
bulu-bulu di sana-sini bagaikan tidak mengalu-alukan tetamu. Sedangkan Islam
agama kemasyarakatan dan hubungan baik antara jiran, saudara-mara dan sahabat
handai.
Dari
segi keselamatan dan kesihatan juga mempunyai kemerbahayaannya. Gigitan anjing,
najis serta jilatannya merbahaya. Banyak research yang telah dibuat tentang hal
ini. Apabila Islam cuba mengelakkan bahaya anjing yang dipelihara dalam rumah
dengan melarang penganutnya berbuat demikian, bukan itu bererti penindasan
terhadap anjing. Betapa banyak binatang yang manusia elakkan dari
menghampirinya kerana kemerbahayaannya. Itu semua bukan bererti penindasan atau
kekejaman!
Dalam
hadis tadi, Nabi s.a.w: “Apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka
basuhlah sebanyak tujuh kali. Salah satunya dengan tanah” (Riwayat al-Bukhari).
Untuk
mengelakkan jilatan anjing yang sentiasa menjelir lidah, yang dianggap najis
dari segi agama dan juga bahaya dari segi scientific maka Islam melarang untuk
kita memelihara anjing di dalam rumah tanpa alasan yang diizinkan.
Maka
ini ringkasan yang sempat saya coretkan petang ini berhubung dengan sisi
pandangan nas-nas Islam berkaitan dengan anjing.
No comments:
Post a Comment