Agak-agaknya, kenapa orang suka sangat bertanya soalan
seperti, “Umur tu dah banyak, bila lagi nak kahwin?”, “Dah dua tahun kahwin,
bila nak dapat anak ni?”, “ Seorang je, bila nak tambah lagi?”, “Dah bertahun
menjanda (duda), bila nak cari pengganti?”
Ha, pernah tak sekali seumur hidup ditanya satu
daripada soalan di atas? Mesti pernah, kan. Tak pernah? Wah, beruntungnya anda
sebab dikelilingi orang yabg sangat ‘memahami’.
Bagi yang pernah mengalaminya (termasuk saya), sure rasa
‘bengkek’ apatah lagi kalau sering ditanya soalan yang sama. Seolah-olah tiada
soalan lain yang boleh ditanya.
Bukanlah maksud saya tak boleh tanya langsung, tapi biarlah
berpada-pada. Tahu tak (orang yang bertanya), soalan-soalan itu sangat
mudah ‘menyentap emosi’ orang yang ditanya? Apatah lagi semua soalan itu tiada
dalam genggamannya, senang cakap ‘rahsia Allah’. Jadi, secara logiknya layakkah
kita nak bertanya sesuatu yang masih ‘berhijab’? Masih menjadi ‘rahsia Allah’?
Siapa kita?
Orang yang ditanya juga sama seperti anda, dia juga ‘tiada
jawapan’. Ada yang jenis cool, akan cuba menjawab sebaik mungkin agar tidak
menyinggung hati orang yang bertanya. Ada yang jenis sudah tak kuasa nak
menjawab, hanya mampu tersenyum sebagai jawapan. Tetapi masih juga jawapan ‘berbunyi’
yang ditagih si yang bertanya. Sadis, kan?
Aku masih ingat, beberapa tahun lalu ada dua tiga orang
teman bertanya bila lagi aku hendak jemput mereka makan nasi minyak. Setiap
kali jumpa, itulah soalan yang ditanya. Hingga suatu hari, aku jawab
begini… “Nanti waktu Zohor, aku tanya bila Dia nak bagi jodoh aku ye. Kesian kat
korang, dah lama nak makan nasi minyak aku ‘kan!”
Aku bukanlah jenis manusia yang tak boleh diajak
bergurau-senda. Cuma, kalau asyik ditanya soalan sama (yang sudah tentunya aku
sendiri tak ada jawapannya), lama-lama ‘hangin juga satu badan’!
Jadi, janganlah suka sangat bertanya soalan yang ‘menjadi
rahsia Allah’. Sebaiknya, doa yang baik-baik untuk orang itu….semoga dia
bertemu jodoh, dapat zuriat dan kebahagiaan. Mudah, bukan!
Ya, hidup ini mudah kalau kita mahu bersikap ‘sejuk’. Tak
perlu gigih sangat nak ‘menyibuk’. Kalau kita tertanya-tanya, yang empunya diri
tentu lebih lagi. Janganlah ditambah galau hatinya, sebagai tanda kita prihatin. Lagipun, tak ‘comellah’ kalau perangai tu ala-ala ‘Acik’ sangat,
‘kan!
Jadi, sudah-sudahlah bertanya itu dan ini.
Cukup-cukuplah berandai-andai, usah diteka tekikan kehidupan orang lain. Urus
hidup kita yang masih banyak bersisa, biar tak ralat kala dihisap kelak. Hidup
ini ‘mudah’, lalu kenapa kita mempersulit keadaan???
No comments:
Post a Comment