Pernah rasa hidup serba susah satu pengalaman amat
berharga buat aku. Tiada sesen duit dalam tangan berhari-hari. Makan nasi
berkuahkan air rebusan ikan rebus, bersayur pucuk ubi atau pucuk betik bukan
perkara luar biasa dalam hidup aku dan keluarga pada ketika itu.
Dengan adik-beradik yang ramai (tujuh orang), bukan senang
menampung kehidupan namun sedaya upaya arwah Abah tak pernah biarkan kami
berlapar. Ma pula cukup kreatif mencipta pelbagai jenis makanan. Dulu, Ma
sangat rajin buat kuih untuk minum petang. Aku masih ingat, Ma rajin buat Apam
Pisang, Kuih Ketayap, Lempeng, Kuih Lapis dan macam-macam lagi.
Cara aku buat ikan selayang rebus untuk digoreng |
Kalau rezeki tak seberapa, kami makan apa-apa yang ada.
Paling aku ingat, Ma suka buat stock ikan Selayang (ada orang panggil ikan
sardin) yang direbus kemudian digoreng garing. Selalu juga kami adik-beradik
layan ikan rebus goreng ni berhari-hari sebab musim hujan dan susah nak keluar
ke pasar.
Selalunya, kerja pergi pasar basah Ma serahkan kat aku. Ma
akan sebut ikan apa yang dia nak suruh beli dan aku tulis lintang pukang sebab
Ma akan cakap macam mana rupa ikan tu hehehe…seingat aku, aku start ke pasar
umur 10 tahun. Biasanya Ma suruh beli ikan kembung, selayang atau ikan mata uji
rashid (ikan mata besar). Jenis ikan ni memang murah waktu tu, sekilo baru RM3
(kalau tak silap aku la). Tapi, jarang sekali Ma suruh beli sampai sekilo.
Biasanya Ma suruh beli 5-7 ekor saja, kemudian beli seikat sayur sawi berharga
RM0.50.
Kami sekeluarga jarang sangat makan nasi berlauk ayam atau
daging, mahal. Adik lelaki aku ada empat orang, tak cukup kalau beli ½ ekor
untuk dua kali makan. Tapi, kalau Abah balik (Abah dulu kerja Mandor untuk
pembinaan bangunan, sekolah atau perparitan) memang seronok. Abah akan beli
ayam, daging, sotong dan macam-macam lagi. Wah…time tu memang kami balun
cukup-cukup. Hehehe…!
Hari ni, waktu usia semakin meningkat. Ingatan aku pada
kehidupan dulu bertambah kuat, bagaikan terdengar-dengar suara Ma yang memetir
marahkan kami apabila ulang makan (sebab lapar, tak ada kudap-kudapan). Atau
cuba-cuba nak ratah lauk (sebab lauk itu akan dimakan malam nanti).
Sebagai kakak, aku dan Kak Ain selalu kena beralah dengan
adik-adik. Kadangkala, kami makan nasi tanpa lauk. Aku masih ingat, lepas
penat mencuci baju dan pinggan mangkuk aku terus capai pinggan nak makan nasi.
Hari itu, Ma masak Sambal Sardin (ala ikan sardin dalam tin besar tu) lauk kegemaran kami adik-beradik. Dengan
penuh semangatnya, aku menyenduk nasi dalam periuk. Kemudian waktu nak buka
tutup periuk Sambal Sardin, suara Ma memetir, “Makan tu ingat orang belakang
sikit! Malam ni nak makan lagi, nanti adik-adik takde lauk!”
Pilunya hati aku ketika itu hanya Tuhan saja yang tahu.
Lepas kena tegur, aku nyaris tak makan nasi. Kemudian Kak Ain datang, gosok
belakang aku. Time tu dah berjurai airmata (sedih la sangatkan hahaha…). Dia
sendukkan aku sambal sardin (tanpa ikannya) dan jirus atas nasi (dulu kami masak Sambal Sardin mesti kuahnya setengah periuk dan itu je satu lauk untuk dimakan sampai malam -dua kali makan). Tengah hari
itu kami berdua makan nasi tanpa lauk, hanya berkuahkan sambal semata-mata
(waktu itu kalau tak silap, umur aku 11-12 tahun kot).
Sumber gambar: Google |
Tadi, waktu membeli barang keperluan dapur di NSK Sri
Rampai (KL) aku nampak selonggok besar ikan selayang berharga RM6.90
sekilo. Murah! Biasanya, paling murah RM10. Aku pilih yang cantik-cantik, segar bugar
hampir penuh plastik, sampai seorang kakak di sebelah menegur, “Banyaknya,
sedap ke ikan tu dik?” Aku pandang muka kakak tu, dalam hati berkata…
huish… takkan tak pernah makan ikan selayang ni?
“Sedap kak, goreng kasi garing rasanya lebih sedap dari
ayam.” Selamba aku menjawab.
Bagi saya, ikan selayang ni memang membangkitkan kenangan silam. Ikan Selayang Rebus Goreng pula cukup menggamit nostalgia. Uolls pernah
cuba buat Ikan Selayang yang direbus kemudian digoreng garing?
Caranya mudah saja, bersihkan ikan selayang tu elok-elok,
masukkan dalam periuk (kalau ikannya banyak, susun ikan berselang seli dengan
garam dan asam gelugor. Maksudnya, baris pertama ikan…tabur garam dan letak
asam gelugor, kemudian letak ikan di atasnya…ulang proses sama kalau ikannya lebih
daripada 2 lapis.). Letak air sikit je (ada orang letak banyak sampai
tenggelam ikannya, tak perlu ye nanti time nak goreng habis meletup-letup sebab
ikannya berair). Letak air tu agak-agak basah je, kemudian rebus sampai ikan
masak.
Ikan rebus ni lebih sedap dibiarkan semalaman, kemudian
baru digoreng. Kalau ikut versi aku, aku panaskan minyak (sampai betul-betul
panas) baru masukkan ikan. Goreng sampai garing, angkat. Tumis bawang besar (dimayang
) dan cili padi sampai layu, kemudian tabur atas ikan goreng tadi. Makan
panas-panas bersama nasi putih (letak la kicap Jalen sikit hehehe). Sedap tak? Cuba...try...test tengok...serius rasanya....perghhh…macam
nak hantuk kepala ke dinding tahap kesedapannya! Hahaha!
3 comments:
kenangan menggamit.teharu baca.
Anna Ruslina, kenangan sangat berharga. Buat bekalan sampai bila2, kan.
Menitik air mata saya baca kisah ni.. Dah senang sekarang jgn lupa berbakti kepada ibu bapa...
Post a Comment