.

Tuesday, September 30, 2014

Anuar zain dan WHAM...

PAGI ni terkelam-kabut sikit sebab terbabas, lepas Subuh pi sambung tidur memang 'terbaik'lah kan. Jam 11.00 pagi ada assignment bersama Anuar Zain kat IJN (Institut Jantung Negara, Jalan Tun Razak KL). Huru-hara mandi dan bersiap. Makan memang tak sempat, tak apalah nanti sampai IJN boleh makan dulu kalau sempatlah.

Alhamdulillah, jam 10.40 pagi sampai di lokasi tugasan. Lega, ada masa lagi nak ambik nafas, relax sambil sarapan. Act, dah dua tiga kali ke sini pun still tak hafal lagi arah tujuan nak ke sesuatu bahagian. Masih tercari-cari letaknya kafe awam, dekat 5 minit mencari baru jumpa...arghhh!

Ingat nak makan nasi lemak, tapi tersalah kaunter dan malas nak beratur panjang kat kaunter sepatutnya jadi aku order aje apa yang ada. Pilihan aku untuk sarapan hari ni, Bakso. Simple, kang terkenyang sangat payah nak buat kerja. Silap2 mau berdengkur time PC (press conference).

Siap makan, terus bergegas ke dewan sidang media (press conference). Dah ramai rakan media lain mengambil tempat, ramai juga yang datang walaupun assignment waktu pagi (sebab biasanya assignment hiburan dibuat jam 2pm ke atas, memandangkan ia membabitkan orang2 korporat jadi dibuat waktu pagi...gamaknya la).

Jam 11.30 pagi, Anuar Zain muncul dengan smartnya diiringi CEO IJN dan doktor2 pakar IJN. Sama seperti kebiasaannya, Anuar dengan senyum manis dan ramahnya menyapa media. Dia memang polite dan humble, sebab itu dia disenangi ramai. Bak kata orang kuat IJN, Anuar ni ikon kasih sayang hehehe.



Sidang media pagi ni berkisar mengenai persembahan amalnya pada 5 Disember 2014 dan bertujuan untuk  mengutip dana bagi mengisi tabung pesakit jantung kanak-kanak. Persembahannya pada makan malam anjuran Pusat Jantung Kanak-kanak Kongenital (PCHC), Institut Jantung Negara (IJN) itu diadakan secara jualan tiket individu dan meja.

"Jika kita tidak boleh membantu dari segi kewangan, masih boleh bantu dari segi tenaga dan saya percaya ramai di luar sana berkemampuan untuk menghulur derma bagi membantu tabung Kumpulan Sokongan (Support Group) PCHC yang diwujudkan khusus untuk pesakit dan keluarga kongenital, " kata Anuar yang turut mengakui sebagai selebriti tanah air, dia juga ada tanggungjawab sosial untuk dilaksanakan dan menerusi persembahan amal itu nanti dia juga mengajak orang ramai hadir membantu usaha mengutip dana yang diperlukan. (...untuk berita selanjutnya Uolls boleh baca klik  sini).




Sebelum sesi interview bersama media, Anuar sempat buat lawatan singkat ke wad kanak-kanak pesakit jantung. Allahu Akbar, time ni rasa lemah je hati aku yang sangat 'kapas' ni. Tengok anak-anak kecil berselirat wayar di badan bukan satu pemandangan yang best, ok! Aku juga kagum dengan semangat ibu bapa mereka yang tetap tabah meskipun dilanda ujian hebat. MasyaAllah dan Anuar memang berjiwa penyayang. Lama betul dia peruntukkan masa untuk beramah mesra dengan pesakit dan keluarga. Nampak sungguh aura prihatinnya.

Habis PC, masuk office sekejap. Biasalah kena ketuk story dulu kang editor Inspirasi Magazine memetir Uolls, heheheh! Lagipun malas nak tangguh kerja, sementara ada mood baik proses bahannya cepat-cepat. Kalau dah hilang intro dalam kepala, lebam biji mata depan laptop pun tak siap walau sebaris ayat.

Malam ni ada meeting persatuan wartawan (WHAM), sebelum ke Sri Pacific Hotel, baik aku balik mandi and tukar baju. Dah bau kepam seharian bermandi peluh (dok dalam air cond pun berpeluh Uolls, peluh berfikir ekekeke!)

Jam 8pm aku dah terpacak depan pintu masuk hotel sambil menunggu kawan-kawan lain dan macam biasa, janji Melayu 8.30pm barulah bermula persidangan. Malam ni tujuan utama perjumpaan adalah untuk umumkan perletakan jawatan Presiden yang disandang Fauziah Rauf (penerbit majalah otai ni Uolls). Ahli WHAM sebulat suara melantik Along (Pengarang Hiburan Utusan Malaysia, Tengku Khalidah Tengku Bidin) menjadi Presiden WHAM yang baharu. (...untuk berita penuh boleh baca kat sini).



Bagi aku pemilihan Along sebagai presiden WHAM memang sesuai, orangnya pun berpengalaman dan lantang bersuara. Aku harap dengan kepimpinan baharu ni akan memantapkan WHAM. Beberapa nama lain juga disenaraikan untuk jawatan timbalan presiden (Abang Niezam, Mstar Online), Setiausaha (Kak Shikin, URTV) dan barisan AJK baharu. Aku? Hanya ahli biasa yang akan menyokong memperkukuhkan usaha memartabatkan kredibiliti WHAM.

Hurmmm...itulah antara rentetan tugasan aku hari ni. Penat dan letih, tetapi seronok. Sepanjang 17 tahun menjadi wartawan (yang menulis pelbagai sudut berita), tak pernah sekalipun ada rasa jemu dan jenuh bertandang di hati. Alhamdulillah, aku bangga menjadi seorang WARTAWAN!


Monday, September 29, 2014

Bila Fynn Jamal berkongsi pesan...

Perkongsian daripada Fynn Jamal...
ibu pesan pada aku pada hampir malam perkahwinan aku-- macammana payah pun hidup suami isteri satu hari nanti..tidur berasingan jangan walau sekali.
Marah macammana, bengang macammana-- ajar diri agar tidak biasa tidur tanpa salah satunya.
Rimas macammana, merajuk macammana-- tidur mesti satu selimut berdua.
Pastu bangun pagi tu buat2lah terlanggar tersangkut jari tersauk rangkul konon2 tak sengaja. hahaha.
Padahal. HAHAHAAH.
This is the man Allah amaanah me with. no marriage face no difficulties. giler apa lancar je hidup. mana ada.
But we can all try to make things easier for each other.
Buruk mana pasangan kita-- buruk kita entah macammana; kira untung dia sudi terima kita. kan?
Mari jadi perfect for each other, dan bukan kita nak yang perfect sahaja. kita pun bukan perfect mana.
thank you

#fynnJamal #kongsi #sharing

Saturday, September 27, 2014

About moving on...

Aku baca kat fb post, 1. الحزن الهم  (sedih & dukacita), 2. الجوع (kebulur - lapar) dan 3.السهر (tidak tidur malam) antara 'tabiat' yang merosakkan badan.

Malangnya, semua tu memang aku selalu buat. Cerita-cerita yang dah berpuluh, berbelah, bertahun, berbulan, berminggu & berhari-hari pun aku masih semakkan dalam kepala...dalam hati. Kadangkala, seharian aku boleh bazirkan masa dok memikir kenapa, mengapa, sebab apa sesuatu benda tu jadi kat aku (padahal benda tu dah berlalu berzaman-zaman).

Bab kebulur tu memang selalu sangatlah jadi kat aku terutama bila kemalasan tahap gaban. Aku boleh dok menghadap laptop dengan seharian tak makan (sayangnya tak kurus-kurus, aneh-aneh je 'kan). Time makan aku memang tak betul dan tak bertime, kalau datang meroyan memasak - makan...memang melayan. Tak jadi kerja dibuatnya, bila malas...roti kering pun jadi!

Tak tidur malam...aku tak tahu kenapa, tapi memang payah betul nak tidur. Jam 3-4 pagi mata masih segar bugar. Time tu jugak banyak idea datang menyerbu...tak payahlah gigih pujuk mata suruh tidur, tak makan saman!

So apa aku nak buat, any solution yang Uolls ada untuk aku? Serius, aku nak ubah tiga benda tu...tapi aku tak tahu dengan cara apa. Pernahlah jugak beli ubat tidur, tapi aku tak berani nak telan selalu kang jadi macam mayat berjalan pulak!

Macam-macam cara jugak aku cuba, pi bercuti, masuk spa...dengar music relaxing, luah perasaan kat blog ni...makan benda berzat (hey...badan aku cukup zat pasal tu tak kurus2 hahaha), solat sunat, baca buku...semuanya dah aku buat. Hasilnya, sama macam tak buat apa-apa. Kesannya, aku payah bangun pagi (lepas Subuh asyik nak tidur balik, payahlah rezeki aku nak masuk 'kan). Migraine tak baik-baik, berat badan tak seimbang dengan ketinggian = gemS la tu!

Act, keadaan ni tambah teruk sejak empat tahun kebelakangan ni. Sejak2 aku hilang beberapa orang BFF...terutama dua orang ni (Selipar Jepun dan si Z). Arwah Selipar Jepun pergi secara tiba-tiba, tak ada sakit...tak ada apa-apa, semuanya macam mimpi. Si Z pulak, kami mangsa keadaan. Keadaan yang 'tak mengizinkan' untuk kami terus bertemanan dan dia memilih menghilang walaupun seharusnya tak perlu. Apa-apa pun, itu hak dia dan aku kena hormat (apa lagi yang aku mampu, 'kan).

Aku dah hilang dua insan penting dalam hidup aku...yang pernah sanggup buat apa saja untuk kegembiraan aku atas nama kasih sayang dan persahabatan.  Allahu Akbar, Dia saja Maha Mengerti betapa sukarnya menghadapi 'kehilangan' mereka berdua.

Sejak kedua-duanya 'hilang' dari hidup aku, semuanya jadi serba tak kena. Kucar-kacir, tapi aku tahu...aku kena redha...ini semua ketentuanNya. Macam mana aku jaga elok-elok, kalau Dia tak 'setuju' tak jadi jugak 'kan. Nak redha...kena ambil masa dan aku (dengan sangat) tengah berkompromi dengan masa untuk merawat segalanya. InsyaAllah. Doakan aku ye, kawan-kawan.


Wednesday, September 24, 2014

Kalau aku kaya (Part 1)...

RASANYA bukan aku seorang je yang pernah/ selalu berangan, "kalau aku kaya". Betul tak? Huish tak ngaku, takpe simpan rahsia Uolls tu...aku tak kesah hehehe!

Act, aku paling suka berangan-angan. Macam-macam yang diangankan. Berangan bukan keluar modal pun 'kan, so 24 jam boleh berangan (kekdahnya kalau dah 24 jam berangan je kerjanya, bilakala nak jadi kenyataan? Lu pikirlah sendiri!).

Malam ni payah betul nak lelap mata, semua serba tak kena. Boring belek phone, keluar bilik ngadap tv...biji mata tetap segar bugar. Hmmm...nampak gaya ada harapan tido lambat, bangun pun lambat (nasib baik ABC - Allah bagi cuti...hehehe).

Memandangkan mata dan badan tak nak beralah, akhirnya aku on laptop dan taip entry ni hehehehe. Hurmmm...kita back to the story, pasal berangan "kalau aku kaya' tadi. Yup, aku paling suka berangan. daripada angan-angan tu aku terjemahkan menjadi 'idea' untuk kesinambungan hidup aku dan sangat penting dalam proses bekerja (berangan ni memang salah satu part penting dalam kerja seorang penulis...ekekekeke...ini pendapat peribadi aku tau, tak membabitkan mana-mana penulis lain bahahaha).

Apa yang aku angankan? Aku berangan jadi orang kaya la...kalau aku kaya...macam-macam nak buat, semua benda nak ada lengkap dalam hidup...hehehe. Antara sesuatu yang aku nak ada kalau aku kaya? Hemmm... (jap...tempek gambar, sedap sikit nak bercerita ada inspirasi hahaha).

Kalau aku kaya; ni 'la ruang dekorasi ruang tamu idaman aku. Simple, tak serabut tapi nampak elegan sangat. Kombinasi warna pun sejuk mata, kalau dapat paduan merah-putih or purple-putih pun gempak jugak.

Kalau aku kaya; ruang santai dambaan aku yang macam dalam gambar ni. Ala-ala open air dan menghadap laut yang terbentang luas...saujana mata memandang gitu. Bayangkan, pemandangan indah waktu matahari nak naik dan turun...perghhh...sumpah, aku in love dengan sunset dan sunrise, tengoklah hari-hari pun tak jemu.

 
Kalau aku kaya; macam ni lebih kurang ruang 'movie time' yang aku nak'kan ada dalam rumah. Semua orang yang aku sayang dok berkumpul dalam ruang ni, gelak sama-sama, menjejeh airmata sama-sama, jerit sama-sama...pendek kata pakat bersama. Tak payah gigih nak keluar masuk panggung, kumpul semua kita dalam ruang ni...sambil makan yang enak-enak versi home made. Perghh!

Kalau aku kaya; memandangkan aku kaya 'kan...so setiap dua bulan or sebulan sekali mesti ada 'acara' dinner kat tepi pantai macam dalam gambar tu dan memandangkan juga aku ni kaya...kan kan...kan...so, rumah aku mesti dekat pantai...jadi tak ada ler masalah nak buat sesi ni setiap hari pun kan...Syorga sangat kan...hahaha.

Secara keseluruhannya, macam ni 'lah kediaman impian aku kalau aku kaya. Rasanya, angan-angan aku kaya ni versi biasa je 'kan...kan...kan...Uolls punya sure lebih hebat. Silap-silap ada kapal terbang sebiji depan rumah ekekeke.

... dan aku tak malu mengaku, memang hari-hari aku doa minta kekayaan daripada Allah. Minta kaya bukan semata-mata nak hidup selesa macam yang aku bayangkan tu...tapi cukup bermakna kalau aku dapat peluang berbakti kepada orang lain dengan lebih baik lagi. Kalau aku kaya, tak ada masalah untuk aku tolong siapa saja yang memerlukan...tanpa perlu fikir panjang soal bajet aku sendiri cukup ke tak.

Aku selalu sedih hati, bila hanya mampu tolong ala kadar je sedangkan keinginan nak menolong lebih lagi tu sangat meronta-ronta. Sangat membahagiakan bila dapat buat orang lain senyum kelegaan, keluar dari kepayahan hidupnya.

Aku dah lalui, betapa susahnya nak meneruskan hidup dalam keadaan serba tak ada. Nak sekolah tinggi berkira-kira, nak makan secukupnya pun tak mampu apatah lagi tolong orang. Jadi, sejak aku pandai berdoa...aku asyik mohon Allah beri aku kekayaanNya. Walaupun belum diberiNya, aku percaya Dia ada cara tersendiri untuk buat aku mampu merealisasikan impian aku. InsyaAllah. Aamiin.

Tuesday, September 23, 2014

I love 'me time'...

BILA dah penat kerja, badan letih lenguh. Otak lemah nak hadam semua masalah... me time 'lah terapi paling best. Macam orang lain, aku pun ada cara sendiri nak rehatkan diri sambil kumpul tenaga baru untuk meneruskan hidup.

Ada tak kat sini yang suka pi pasar? Usha' ikan...sayur...buah segar...barang pelik-pelik yang payah nak jumpa kat pasar raya? Kalau ada kita memang geng! Bila dapat luangkan masa (yang selalu ke laut dalam tu) pi pasar basah, akulah orang paling bahagia dan gumbira. Biji mata terus jadi rambang tengok itu ini, kalau boleh semua benda aku nak sebat dan rembat masuk dalam bakul belanja. Mungkin Uolls yang muda belia or ada yang sebaya aku (agak-agak umur aku berapa? ekekeke...) pikir betapak 'Acik-aciknya' lifestyle aku 'kan. Tak kisahlah, janji aku happy ye dak...*Wink*!

Act, kalau Uolls tengok aku ni secara mata kasarnya, nampak macam sejenis perempuan pemalas. Iya, P.E.M.A.L.A.S! Memang pun, itu aku tak nafikan...termasuk selalu berada di zone kemalasan tahap dewa bab nak update blog ni. Ekekeke!

Hakikatnya, dapur dan pasar antara tempat aku tumpahkan segala galau di hati dan sangatlah bahaya bila aku pi pasar time tengah sentap dengan sesiapa, sure Uolls boleh bayangkan betapa ketatnya muka aku time tu wahahahaha! Juga sangat bahaya bila aku pi pasar or masuk dapur time happy, habis segala benda aku rembat beli dan habis segala jenis masakan aku buat!


Macam pagi ni, aku off day sebab semalam kerja sampai 4 pagi. Hari ni, awal-awal lagi aku dah keluar check stock kat Chow Kit. Segala jenis seafood aku angkut, daripada ikan sampai ke siput sedut. Dalam kepala macam-macam jenis masakan nak buat. Ekekeke!

Selesai beli barang basah, macam biasa merewang kat kedai periuk belanga. Cuci mata je, nak membeli tu lain kali kot. Lagipun, bajet semuanya dah tercurah kat barang dapur. Walaupun cuma cuci mata dah cukup seronok sambil berangan bila-bila masa ada bajet lebih boleh beli ikut suka mana yang berkenan.

Tak terasa tiga jam dalam perut Chow Kit, perut pun dah berock kapak bagai. Cepat-cepat aku pecut si comel balik rumah, bukan apa kalau perut kosong melebiji jam 12 tengah hari masaklah aku nak melayan 'angin masuk perut', puan seri migraine pun akan bertandang tanpa dijemput. Hurmmm... sejak2 usia kian beringkek-tingkek ni, macam-macam ragam dibuatnya. Kalau tak jaga betul-betul, memang tak boleh buat keje. Asyik nak hadap sakit je...jahanam hidup. Oh dammm, dah kertu aku ni hah!

Sampai rumah terus berkejar ke dapaur. Hari ni, aku pilih masak sotong dan ikan goreng. Sotong tu aku masak sambal tumis je versi campak sekor2 dalam kuali dengan limpahan cili kisar superduperspicy. bukan malas nak potong comel-comel ye, alasannya dalam perut sotong tu penuh telur. Kang kalau hiris bulat-bulat, menggeletis semua telur keluar. Oh tidak...sayang dowh! Jadinya, aku terjunkan je sotong tu sekor demi sekor dalam kuali.

Sambal Tumis sotong siapalah tak reti nak buatkan, rasanya semua pandai godek ikut cita rasa sendiri. Ada suka sambal melimpah, ada jugak versi sambalnya ala-ala je. Kalau ikut versi aku memang sesimple yang mungkinlah, biasalahkan...P.E.M.A.L.A.S!

Bahan-bahan dalam sambal tumis sotong ni cuma ada, cili kering 20 tangkai, bawang merah, bawang putih, air asam jawa, gula, garam dan sedikit sos cili (paling penting bab masak sambal tumis ni, minyak kena secukupnya, cili kena kasi masak betul-betul...bawang tu tumis kasi wangi betul...gula garam secukup rasa, kompem tak payah letak bahan perasa lain hehehe). Siap! Serius Uolls, makan dengan nasi panas-panas homakai...memang tak nampak bulan bintangnya. Syorga sangat!

Ma selalu pesan, kalau masak dengan jiwa, makanan akan rasa sangat sedap walaupun bahannya simple aje. Memandangkan aku tak berapa gemar makan kat luar dan selesa masak sendiri walaupun lauknya superbiasa...kenalah rajin stalker resipi kat mana-mana.

Act aku memang rajin kumpul macam-macam resipi, berlambak-lambak dalam folder resipi. Cumanya, nak mencuba buat sendiri tu je yang malas. Iya, sekali lagi malas menjadi alasan paling besar dalam hidup aku. Entah bilakala nak rajin tak tau. Oklah...nak sambung kerja, tengah ada mood nak mengarang ni baik pulun cepat-cepat. Kalau dah masuk zone mental block kang jahanam. Okbai!


Sunday, September 21, 2014

Kala aku mahu...

Aku mahu ke hutan, melepas resah suara hati
Aku mahu ke pantai, berteriak sekuat hati
Aku mahu ke langit, memeluk bintang hati
Kala aku mahu ikut hendaknya hati...

Friday, September 19, 2014

Bila empat beradik datang 'memetir'...

Sekejapan, isi rumah rasa amat sunyi tatkala deruman enjin hilang dari pendengaran. Iya, dah balik empat beradik yang bertandang 3 hari 2 malam di rumah. Punyalah susah payah nak angkut mereka datang, tiga hari rasa macam tiga jam je.

Amni, Amzar, Amri dan Amiran, kalau datang rumah 'Umminya' memanglah riuh seisi alam. Memetir sana sini....jenuh nak tegur. Tiga hari jugak time makan aku tak betul, sibuk menguruskan keperluan depa. Mkn pagi, tengahari, petang, malam dan tengah malam. Penat, tapi seronok. Itulah keseronokan yang orang bujang mcm aku tak selalu dapat rasa. Hanya time cuti sekolah, itu pun kalau depa tak busy.

Ambil depa hari Rabu pagi, seharian biarkan mereka melepak kat rumah je. Makan tidur, main games. Apa lagi nak buat kalau dah duduk rumah bertingkat-tingkat. Anak ajak berjalan aku ngeri, maklumlah sekarang banyak sangat kes culik budak...budak hilang. Ngeri oi!

Aku tahu depa bosan, berkurung dalam rumah. Tak apalah janji depa selamat, biar bosan daripada kalau jadi apa-apa aku menyesal tak sudah. Lagipun bukan senang nak jaga empat orang sekali gus kat kawasan awam. Sekelip mata je apa-apa boleh jadi!

Khamis, aku plan nak bawak depa pergi Taman Tasik Titiwangsa. Sayangnya, depa kat bangun pukul 12.30 tengah hari. Mandi...makan...memetir sana sini dah pukul 2. Kat kawasan rumah ni pulak, kalau balik lambat tak ada parking. Jenuh pulak, kang. So, sekali lagi...depa layan movie kat youtube. Dari Upin Ipin...God Of The War...melalut sampai ke lagu kanak-kanak. Hahaha...kesian depa.

Malamnya, aku nekad bawak depa keluar saja sambil makan malam. Pukul 7pm depa dah bersemangat bersiap (sempat lagi aku buat lawak, main nyorok-nyorok konon dah tinggalkan depa).

Amri: Ummi...Ummi...?

Amiran: Ummi mana, takde da?

Amri: Ummi mandi kot...Ummi...Ummi

Amzar: Ummi dah keluar tak, tinggal kita da!

Aku dah tergelak2 belakang pintu bilik stor. Dekat 15 minit aku kepanasan tunggu depa cari aku dalam bilik tu, hampeh. Pakat dok gegar panggil...Ummiiii!

Akhirnya aku yang angkat bendera putih, muncul dengan muka sengih puas hati dapat merungsingkan depa. Bukan main ceria lagi muka Amri dan Amiran...hahahaha!

Tempat makan pilihan kami, restoran Upin Ipin. Aku pun tak tahu apa menu yang best, tapi sajalah beli jiwa depa. Upin Ipin memang kartun kegemaran depa, kurang-kurang ada kenangan best untuk depa.
Dalam restoran ni (Upin Ipin) menunya biasa-biasa je la...nak kata sedap tu atas cita rasa masing-masing. Memandangkan niat aku nak 'meraikan' anak-anak buah, so abaikan cita rasa peribadi aku. Macam biasa, aku biarkan depa pilih apa nak makan. Budak-budak tengok gambar semua sedap, semua nak sampai rambang biji mata. Huhuhu!

Amzar
Amri
Amiran
Dua jam jugaklah melayan perut masing-masing sambil nonton kartun Upin Ipin, itu yang melekakan depa sampai makanan pun tak habis. Hurmmm...on the way balik, singgah pulak beli jajan. Perut dah kenyang, tangan penuh jajan...balik rumah sambung memetir. Pukul 2.30 pagi baru senyap sunyi, huish gila depa ni dah pagi baru nak tido!

Hari ni, angkut depa p Giant sambil nak beli barang basah untuk masak tengah hari. Amri dan Amiran macam biasa usha' mainan. Aku abaikan...tak nak biasakan. Asal datang rumah ummi mesti 'rembat' mainan. Esok-esok kalau aku tak mampu, kesian sebab dah terbiasa. Biarlah depa nangis, kalau ajar mintak dapat...mintak dapat...esok-esok datang jumpa mak sedara sebab dapat 'habuan' je. Aku nak depa jumpa aku sebab kasih sayang...rindu dan nak bermanja, bukan mainan. Sesekali no problem....bukan satu kemestian nanti mak ayah depa gak yang susah. Aku pun tak nak 'pegang' depa dengan kebendaan. Paham tak maksud aku ni? Tak paham? Abaikan!

Balik membeli itu dan ini, masak makanan untuk depa. Simple je pun, pilihan Amni...Ayam Goreng dengan kicap manis Jalen. Itu je, senang gila. Amri, Amzar dan Amiran...ikut je la tak banyak hal. Senang 'kan jaga depa. Hehehe!

Itulah cerita sekitar tiga hari ni, tengah menaip ni...act aku rasa nak jerit kuat-kuat. Aku rindu depa...aku rindu suara-suara yang memetir gedik depa. Semuanya dah balik, entah bila ada masa nak datang lain (walaupun bukannya jauh sangat pun...tapi masing-masing ada jadual hidup 'kan).

Aku selalu harap, depa taklah cepat besar. Aku masih tak puas nak bermanja dengan depa, kalau dah besar esok belum tentu depa nak dipeluk. diajak bergurau dan bermanja...'kan! Hurmmm...aku yang selalu kesunyian macam ni 'lah. Bila orang datang rumah, riuhlah sekejap. Bila depa balik, bercakaplah dengan blog ni hah! Oklah...aku nak p layan air mata sat...Adios!


Wednesday, September 17, 2014

Lelaki baik tak mencabar...?

Ni cerita Isnin lepas, aku ambil masa beberapa hari untuk memproses 'isi' sembang kami. Terlalu 'serius' topik yang disembangkan, jadi aku kena fikir apa yang perlu sebelum ditempek ke sini. Selepas puas memprosesnya, nah kongsi di sini. Mana tahu, ada yang sudi memberi sedikit 'pencerahan' untuk manfaat bersama.

Beberapa hari lepas, selepas asar aku bertemu Surina (bukan nama sebenar). Kami tidaklah close sangat, tetapi agak lama juga kami berteman mesra. Dia ceria orangnya, bergaya dan punya kerjaya yang mantap malah masih single.

Awal pertemuan, sembang kami biasa-biasa saja. Kebanyakannya berkisah mengenai perkembangan terkini masing-masing dan gossip (ini biasa apabila teman-teman jumpa saya, padahal aku lifestyle writer...bukan gossip writer ^_^).

Sembang kami makin rancak apabila menyentuh soal perjalanan hidup...cinta...jodoh...perkahwinan. Surina walaupun punya seraut wajahnya nan menawan, tetapi sampai sekarang belum bertemu lelaki idaman. Bukan tak laku, cukup ramai lelaki yang mahu mendampinginya termasuk seorang jejaka ini. Namanya Hakimi (bukan juga nama sebenar).

Selain bekerjaya, jejaka tinggi lampai itu cukup baik dan setia. Cerita Surina, mereka menjalinkan hubungan hampir setahun setengah. Walaupun tak pernah declare sebagai couple yang tengah in love, tetapi masing-masing faham apa yang mereka rasa.

Sayangnya, hari demi hari, Surina rasa tidak gembira dengan hubungan itu. Baginya, Hakimi terlalu 'baik'. Aik...baik pun tak gembira ke? Ye, itu reaksi aku apabila mendengar luahan hati. Kata anak jati Kedah ini, dia ada sebab mengapa sukar menerima lelaki sebaik Hakimi. Hurmmm...

Surina: I tak kata dia (Hakimi) tu baik sangat macam malaikat, tapi kategori lelaki baiklah. Solat tak tinggal, jaga batas bergaul, sopan dan prihatin. Entahlah, aku rasa macam tak mencabar.

Aku: Ko nak mencabar macam mana? 

Surina: Terus-terang aku cakap, lelaki baik macam Hakimi tak mencabar hati aku. Dia tak pandai cemburu, tak tahu goda perasaan wanita aku dan paling tension apabila dia tak pernah sekalipun cakap rindu kat aku.

Aku: Habis, ko nak sejenis lelaki yang macam mana? Hari-hari goda ko sampai ko cair, sampai ko tak nampak mana baik dan buruk? (...sengaja aku memancing marah di hatinya)

Surina: Ko percaya tak kalau aku cakap, sepanjang kami couple dia tak pernah pegang tangan aku. nampak lelaki lain jeling2 nakal kat aku pun dia boleh buat bodoh je. Paling tak dia cuma cakap, "bukan lelaki tu sentuh awak pun". Hanginlah aku, esok-esok kalau kahwin macam tu jugak...bosanlah! Beku...kerjung macam tu, hilang nikmat hidup tau!
Aku nak dia selalu prihatin kat aku. Aku ni cantik, tapi dia macam tak heran je kat aku. Macam tak kisah kalau lelaki lain ngorat aku. Kadang aku saja tunjuk kat dia surat2 cinta yang aku dapat daripada secret admire, hampeh...dia senyum je!

Aku: Eloklah tu, dia berfikiran terbuka dan tak suka nak kongkong hidup ko.

Surina: Ko rasa macam tu? Aku tak boleh, Nis. Aku lemas, rimas. Aku rasa macam dia tak hargai kewujudan aku dalam hidup dia. Semuanya tak kisah, semuanya tak apa!

Aku: Cubalah berbincang dengan dia, beritahu dia apa yang ko nak dan tak nak.

Surina: Dah, banyak kali aku cakap. Dia macam tu jugak, beku dan kerjung. Bertahun aku tunggu dia berubah, tapi sama jugak. Kalau dah kawin nanti, macam mana hidup aku? Bosan...menggelupur harapkan perhatian daripada laki sendiri! 

Aku: Kalau dah macam tu, ko carilah lelaki lain yang sesuai cita rasa ko. 

Surina: Hurmmm...susah nak dapat lelaki sebaik Hakimi.

Aku: Pulak! Aneh-anehlah ko ni...

Surina: Aku nak lelaki yang baik, tetapi bukanlah jenis tak ada 'nafsu'. Terus-terang aku cakap, sepanjang aku kenal dia, dia macam tak bernafsu kat aku. Pakailah seksi, sendat padat macam mana pun, dia tetap tengo aku ni macam tiang lampu bergerak.

Aku: Setiap manusia ada kekurangan dan kelebihannya. Kalau dia 'bernafsu' kang, ko jugak yang parah. Dia simpan semua tu lepas kahwin la tu. Ko patut bersyukur, dia jaga kesucian hubungan korang. Lelaki lain belum tentu 'sabar' dengan godaan perempuan cantik macam ko.

Surina: Kalaulah dia nak berubah sikit, 'kan bagus.

Aku: Contohnya?

Surina: Iya, aku nak dia lebih 'bersemangat' tengok aku. Barulah mencabar!


* Kata orang bijak pandai, kalau dapat orang yang baik di sisi kita...jangan pulak gigih mencari yang lebih baik. Takut-takut nanti, kamu dapat yang terlebih 'sempurna' sampai tak tercapai akalmu. Dunia sekarang, bukan mudah mendapat pasangan hidup sesempurna idaman kita. Kalau dapat yang baik, bersyukurlah kerana hidup berpasangan sebagai suami isteri kelak adalah untuk saling melengkapi. Kalau sudah cukup sempurna, apa keperluan kamu/dia di sisi?

Tuesday, September 16, 2014

Desir rindu...

Semalam yang berlalu, tak terpintas hari ini
Perlahan-lahan mencari jejak yang tertinggalkan
Dengan harap, masih ada bersisa biar sekelumit
Sayang sekali...amat sayang tak terjejak...

Aku belum terlupa itu, detik hilangnya kabus dari pandangan
Saat lenyapnya desir angin di celah-celah dengarku
Membawa rindu tak bersambut
Mendakap kasih nan sepi...

Hati dan fikirku bertingkah-tingkah
Saling menyalah dan membenarkan
Tiada lagi tertinggal sekelumit kasih jua rindu
Berselubung di hati mungkin tinggal jejak benci nan sangat!

Monday, September 15, 2014

'Nikmat' yang tersembunyi...

Seorang gadis yg terlalu cantik hendak bernikah tapi dia tak nak couple-couple nih, tambahan lagi dia mahukan seorg suami yg 'ultra warak'. so dia pun buat hebahan yg dia sudi menerima sesiapa saja yg ingin menikahinya dgn syarat:

1) lelaki tu kena puasa sepanjang tahun
2) lelaki itu kena khatam al Quran setiap hari
3) lelaki itu kena beribadah sepanjang malam setiap hari.

Tak ada seorang pun laki sanggup nak terima ketiga2 syarat tu kecuali seorg jejaka yang sederhana perwatakan dan penampilannya. Akhirnya bernikahlah si jelita itu dgn lelaki tersebut.
Sepanjang perkahwinan mereka, perempuan tu perhatikan jejaka tu.

"Eh...tak puasa pulak laki aku hari ni. Mcmana nak puasa setahun?"

"Hmm..aku tak nampak pun dia baca Quran hari ni..."

"Tak nampak pun laki aku bangun malam pagi ni. Dia tak solat malam ke?"

Selepas sebulan akhirnya permpuan tu tak tahan dah. Dia anggap jejaka tu menipu dia. Dia pun memohon cerai kat mahkamah sambil menyatakan alasan "ditipu oleh suaminya"

"Masa nak nikah dulu dia setuju syarat2 yg saya letak. Dah kawin langsung tidak tunaikan. Penipu!" Rungut si pempuan pada hakim.
Hakim pun tanya kpd jejaka tu, "kamu ingat apa syarat2 nikah yg isteri kamu letakkan?"

"Ingat, yang arif. Puasa sepanjang tahun, solat malam non stop setiap hari, khatam Quran setiap hari.." Jawab jejaka muda dengan nada lembut.

Hakim bertanya lagi. "Habis tu kamu tak buat ?"

pemuda tu selamba jawab, "buat."

Hakim menjerkah, "Isteri kamu kata kamu tak buat. Mcm mana ni?"

Pemuda itu tak mau mengalah. "Sungguh saya buat yang arif. Takkan saya nak tulis report card nak bagi tahu saya buat apa hari ni? Nanti riak pulak !!!"

Hakim tidak puas hati, "baik. Hari ni kamu puasa tak?"
"Tak."

Hakim terus potong ayat, "Hah! Kamu tidak puasa hari ni, habis mcm mana kamu kata kamu puasa sepanjang tahun?"

Pemuda itu selamba menjawab,
"Rasulullah telah bersabda sekiranya seorg itu menunaikan puasa Ramadhan sebulan dan kemudiannya menyambung dgn puasa sunat syawal 6 hari, maka seolah2 dia telah berpuasa sepanjang tahun. Saya puasa Ramadhan dan puasa 6 setiap tahun, jadi saya seolah2 berpuasa sepanjang tahun."

Hakim tu tersentak. "Habis tu mcm mana kamu khatam Al Quran setiap hari? Saya nak baca 3 muka surat sehari pun susah nak cari masa.

Pemuda itu terus menjawab, "saya baca Surah Al Ikhlas 3 kali setiap kali saya sebelum tidur. Rasulullah bersabda sesiapa yg membaca surah Al Ikhlas 3 kali maka seolah2nya dia telah membaca keseluruhan Al Quran." sambil buat senyuman lebar kpd hakim.

Hakim itu makin tergamam. "Solat malam pulak, bagaimana kamu buat?"
Pemuda itu sekali lagi senyum.

"Saya solat Isyak dan solat Subuh berjemaah. Rasulullah bersabda, barangsiapa yg berjemaah pada waktu Isyak dan Subuh maka seolah2nya dia telah beribadah sepanjang malam"
dia terus menyambung,

"Islam itu indah, yang arif. Tetapi kita selalu mengukur kewarakan dan kealiman seseorg itu berdasarkan banyaknya amalan seseorang itu yg dizahirkan sedangkan Allah mementingkan kualiti berbanding kuantiti.

Kita cuma diberikan Allah 24 jam sehari semalam, maka pandai2lah kita bahagikan masa selaku manusia yg menghidupkan dunia serta mencari akhirat. Bukankah mencapai kejayaan di dunia juga merupakan ibadah, dan apa gunanya jika melakukan ibadah tanpa istiqamah, semua itu hanya sia-sia.

Hakim terangguk2 lalu memerintahkan si isteri bangun. "Awak sepatutnya beruntung. Awak telah dinikahi oleh seorg lelaki yg bukan sahaja amat warak tetapi amat berilmu.

Dengan ini saya isytiharkan kes ini dibatalkan..."
Si suami tersenyum puas..

Saturday, September 13, 2014

Mi Goreng ala 'Mamak Melayu'...

Grand tak namanya, hahaha. Kesahnya, sejenis perangai yang tak reti bersabar bila dah teringin sesuatu terutama membabitkan makanan. Petang tadi, balik dari BTPR (Bandar Tasik Puteri, Rawang), singgah satu gerai.

Tengah melilau tengok gambar makanan yang ditayang sekitar gerai, kecur liur pulak terpandang sepinggan Mi Goreng yang kelihatan sangat enak sekali. Perghhh...terus rasa lapar, dengan terujanya aku gamit si pelayan.

Aku: "Dik, Mi Goreng 1 dan cendol blended 1."

Si pelayan: "Goreng-gorengnya tak ada, Kak. Ada soto, laksa, nasi ayam sama mi kari."

Hurmmm...gitulah bila teringin, nan ado!!! Akhirnya, redha. Order cendol semata-mata.

Sebelum sampai rumah, melencong ke pasar malam Taman Melawati. Beli sebungkus Mi kuning, fish cake, sawi. Dalam kepala dah menari-nari sekuali Mi Goreng macam kat gerai singgah tadi. Hahaha!

Sampai rumah, terus lari ke dapur singsing lengan baju (bukan singsing lengan ye, ater cacat pulak kalau Qome pakat2 singsing lengan. Tapi, kalau baju lenggan pendek usah ler gigih p singsing...ater masuk pulak bulu ketiak Qome dalam kuali...ekekekeke!)

Style Mi Goreng aku taklah berapa nak mamak sangat, kira ala2 'Mamak Melayu' gitew! Pung...pang...pung...pang...siap dah sekuali Mi Goreng ala 'Mamak Melayu'. Masak sendiri pun kecur liur...hehehe (suka hati akulah nak puji masakan sendiri...Uolls masak nanti pujilah diri sendiri bertingket-tingket...aku tak kesah...bahahaha!)

Ok, macam biasa aku berkesudian share resipi Mi Goreng bujang style. Buatlah sepinggan, serius tak rugi wa cakap lu. Cukup pedas, manis dan  lemak. Kiranya, just nice 'lah.

Resipi Mi Goreng ala 'Mamak Melayu'
Bahan:
1 bungkus mi kuning, cuci dan tuskan airnya
3 ketul tahu kering, dipotong-potong
3 keping fish cake, dihiris
Sedikit sayur sawi, kalau suka
1 biji tomato, dibelah enam
Sebiji telur

Rencah:
2 camca besar cili kisar
1 camca besar bawang merah & bawang putih (dikisar/tumbuk)
3 camca besar sos cili
2 camca besar sos tomato
1 camca besar sos tiram
4 camca besar kicap lemak manis
Sedikit air

Cara membuatnya:
1. Tumis bahan kisar sehingga garing.
2. Masukkan sos cili, sos tomato, sos tiram dan kicap. Kacau rata dan masak sehingga mendidih.
3. Bubuh mi kuning, fish cake, tauhu kering, sawi dan tomato. Bubuh sedikit air dan gaul sebati.
4. Akhir sekali, masukkan sebiji telur dan gaul sebati. Masak sehingga sedikit kering, padamkan api.

*p/s: Aku memang tak letak garam, sebab semua sos dan kicap dah beri rasa secukupnya. Kalau tak cukup masin, boleh tambah garam...untuk aku just nice je.

Thursday, September 11, 2014

Runtuhnya tembok jati diri...



Kita, kadang kala terlalu optimis dengan keinginan kita hingga lupa matlamat sebenar juga kesannya pada masa mendatang. Kita seronok mencipta kebanggaan, hingga lupa suatu waktu kelak 'kebanggaan' itu membunuh jati diri.

Banyak perkara yang aku fikirkan beberapa minggu ni, sangat banyak. Sampai semak otak! kalaulah boleh, aku nak freeze sekejap sel-sel otak ni...jadi aku boleh 'berehat' daripada berfikir macam-macam. Hurmmm...

Tadi, tengah belek-belek fb, jumpa artikel ni. Seronok baca sebab ada kebenarannya. Iya kadang kala kita tak terfikirkan. Aku sharing kat sini untuk manfaat kita bersama. bak kata orang bijak pandai (yang tak kedekut ilmu), ada ilmu kongsi-kongsi...jangan simpan sorang-sorang...RUGI!!!


Gambar: Google
Tembok China vs jati diri...
Ketika orang China mahu hidup dalam keadaan aman, mereka membina tembok besar, dengan anggapan tiada siapa mampu memanjatnya kerana terlalu tinggi, namun hakikatnya dalam 100 tahun pertama saja mereka diserang sebanyak tiga kali, setiap kali musuh mereka nak serang mereka tak perlu robohkan atau panjat tembok besar. Mereka hanya perlu rasuah para pengawal dan masuk melalui pintu.

Masyarakat China ketika itu sibuk membina tembok dan lupa nak membina jati diri pengawal mereka.
 
Membina jati diri manusia lebih utama dari segala binaan lain dan inilah yang kita perlukan untuk anak-anak dan pelajar-pelajar kita pada hari ini.

Seorang orientalis berkata: kalau nak runtuhkan sebuah tamadun atau masyarakat maka ada tiga cara;
1. Runtuhkan ikatan kekeluargaan.
2. Runtuhkan sistem pendidikan.
3. Jatuhkan idola-idola masyarakat yang berwibawa.

Untuk meruntuhkan ikatan kekeluargaan ketepikan peranan IBU dalam keluarga. Biarkan para wanita rasa diri mereka tak sempurna bila mereka digelar suri rumah.

Untuk meruntuhkan sistem pendidikan berikan tekanan kepada para GURU. Jangan berikan mereka kedudukan dalam masyarakat, hilangkan rasa hormat terhadap mereka di kalangan para pelajar.

Untuk menjatuhkan idola-idola masyarakat yang berwibawa, jatuhkan kedudukan para ulama, sehingga masyarakat sekeliling tidak menghormati mereka.

MAKA APABILA PERANAN IBU HILANG, PERANAN GURU DIPERLEKEHKAN DAN PARA ULAMA TIDAK MENJADI SUMBER RUJUKAN DAN IDOLA MASYARAKAT, MAKA SIAPAKAH YANG AKAN MENGAJAR MASYARAKAT ITU ERTI KEHIDUPAN YANG HAKIKI?
                                                         ~sharing is caring with love~

Wednesday, September 10, 2014

Gila-gila si heroin Rindu Awak 200%...

Kenal tak siapa? Nak baca sikit pasal dia...
Balik2 pasal makanan, emosi...boring kan...nah, kita tukar topik lagi. Ni nak cerita balik kenangan awal tahun, time shooting selebriti bulan ini with Ayda Jebat...heroin drama Rindu Awak 200%. Time shooting tu, belumlah lagi muncul dramanya. Kenapa aku sibuk nak cerita pasal artis sorang ni? Nak tumpang populariti ke? Hello...hahahaha!

Act, ada cerita lucu sebelum shooting. Kejadian berlaku di butik Azza (Elite) di Bangunan Mara, Jln TAR, KL. Waktu tu, tengah shooting dengan Azza. Dah habis kerja, lepak dan sembang-sembang kosonglah dengan bekas anggota kumpulan Elite tu. Seronok sembang, muncul sorang gadis...kecil molek...makeup simple...dengan selamba duduk di sofa butik.

Azza menyapa dia dengan membahasakan dirinya, Angah. Dua kali saya toleh...eh...Wawa Zainal, tapi mana tudung? Aku diam dan biarkan je Azza leka bersembang dengan gadis yang dipanggil Angah tu. Kemudiannya Azza beritahu..."Alang, ni Kak Anis frm Jelita. Dia datang interview Angah...", "Eh Uolls kalau ada slot lagi, bolehlah interview adik kita ni. Dia berlakon jugak...dulu masuk AF."

Hah! Sejak bila Wawa Zainal masuk AF? Rupa-rupanya, bukan Wawa tetapi Ayda Jebat. Serius, sekali imbas mukanya ada iras Wawa. Cara senyum...cuma agak 'aktif' dan 'gila-gila'. Kata Azza, memang ramai yang 'ingat' si Ayda tu Wawa...so, bukan aku sorang je la yang 'salah' pandang 'kan kan kan!

Seminggu kemudian, baru aku sempat call dia (Ayda). Bukan main ceria dia bila aku panggil datang shoot di studio Jelita. Perjanjian kami, dia bawak persalinan sendiri (baju shooting) dan aku sediakan makeup artist. Dia tak banyak songeh...semua ok. So, setlah semua dengan sekali petik hahaha.

Hari yang dijanjikan (lebih kurang dua minggu selepas set date), dia muncul awal 1 jam. Makeup artist aku...Cik Yip pun belum sampai lagi. Sebab janjinya jam 3pm, hari Jumaat pulak tu. So, kami minum2 &  sembang santai sekali gus sesi interview.

Aku tak pasti orang lain, tapi memang ramai jugak kata dia ada iras Wawa Zainal, so itu juga antara topik sembang kami.

Hasil shooting kami...
Setengah hari bersama pelakon genit ni, kesimpulannya aku menyenangi cara dia bawa diri. Tak sombong, ramah, cepat mesra, senang beri kerjasama dan sembang pun main 'lepas' je. Pendek kata, dia memang sempoi. Pose pun kemain handalnya.

Lepas shooting, kami selalu jugak contact walaupun waktu tu dia shooting drama di Korea. Rajin juga dia whatsapp gambar di sana (aku lupa shooting drama apa...tapi dia tampil bertudung dlm drama tu...)

Dek sibuk, masing-masing jarang contact...just saling like2 gambar di IG je. Lepas muncul dalam drama bersiri Ride, dia semakin sibuk dan aku sendiri huru-hara dengan projek baru. Eh tau2 dia muncul jadi heroin Zul Arifin dalam drama Rindu Awak 200%.

Mulanya aku tak perasaan, sampai teman sepejabat beritahu..."Nis,adik ko tengah hot sekarang...jadi heroin, ramai followers drama tu!" Aku terpinga-pinga, maklumlah jarang 'tunggu tibi'. Rupa-rupanya 'adik' yang dimaksudkan, Ayda Jebat. Alhamdulillah...aku tumpang gembira...tumpang bangga tengok peningkatan dan kemajuannya. Lain-lain, aku tak nak tumpang hehehe!

Itu secebis kisah perkenalan kami. Singkat tetapi bermakna (sebab aku memang suka orang yang ceria...'lepas laku' dan tak banyak songeh terutama waktu bekerja). Mungkin sekarang dia semakin sibuk, followers pun semakin ramai nak dilayan...so tak cukup masa untuk saling berhubung. Tak kisah pun, itu perkara biasa dalam kerjaya aku sebagai writer/wartawan. Mereka datang dan pergi... kalau masih sudi berhubung...masih ingat, Alhamdulillah. Ada ruang dan waktu boleh bekerjasama lagi... be professional je.

15 jam tanpa Internet...

Serius, bosan dan tension tahap cipan sembelit (macam mana rupanya, uolls p ' culik sekor cipan, kasilah dia makan apa-apa yang boleh mendatangkan sembelit...tgklah puas2 bahahaha...) !

Bagi orang yang bekerja menggunakan line Internet macam aku ni, bila 'terputus' Internet memang la hazab! Satu kerja pun tak boleh kasi selesai, semua sangkut. Tak boleh check or send email, update story dalam web portal Inspirasi Magazine, bayar bil (alasan, awal2 bulan dah selesai semua bil) update blog (hehehehe), belek fb (*wink*), berInstagram dan semua urusan yang memerlukan Internet. Hadoiii...!

Kenapa tak ada line, tak bayar bil ke? Ha...bagus soalan tu. Gila tak bayar, mestilah bayar. Entah, aku pun tak tahu kenapa dengan tiba-tiba 'terputus' Internet. Call sana, tendang sini...tunggu sana, jawab sinun...tau2 dah petang dan jawapan paling best..."Cik, sila tunggu dalam tempoh 24 jam untuk kami buat semakan." Halaaaa...Hampeh betul!

So, apa saya buat? Jenuh baca novel, masuk dapur masak. Lepas makan, belek2 gambar dalam folder kat laptop ('kan nak belek gambar best2 dalam IG tak boleh...error!), belek pokok2 yang aku gigih tanam dalam pasu (Alhamdulillah...segar bugar pokok kunyit, daun kesom, daun pandan dan pokok cili kita, Wak...weeeehuuu) dan selepas itu...*PENGSAN*

Bangun dari kepengsanan yang disengajakan, try test line Internet. Nan adoo juo!!!

Jam 9 malam, tiba-tiba...bunyi notification whatsapp. Hah! Macam kenal je bunyi...Iya ada bunyi! Kejar telefon (yang sengaja campak - ala - manja- jek- pun- bawah sofa kikiki) mcm baru menang peraduan gores & menang. Huish, kalau Uolls boleh tengok la adegan tu...Sumpah lawak!

Selepas 15 jam dalam 'penyeksaan', akhirnya...lihatlah dunia betapa bahagiannya aku selepas line Internet ada balik. Hahaha...kalau tak, sure tido awal malam neh hehehehe!

*Apalah...pasal tak ada line Internet pun nak cerita dalam blog! (Biarlah...cuba Uolls kena, sure rasa nak cerita kat seluruh dunia punya hahahhaa)




Sunday, September 7, 2014

Homemade Mini Tortilla Pizza's

My homemade Mini Tortilla Pizza's yang superspicy & crispy
Malam ni teringin nak makan yang ringan-ringan je, no nasi or nasi air. Ikut tekak memang melayan je, nasi dengan sambal telur hancur pun boleh habis sampai 2 pinggan. Pastu orang sound 'gemS', sentap! Hahaha...!

Sambil layan tv, teringat ada beli 3 pek pepperoni dan tortilla wrap. Jadinya, dapatlah idea nak masak-masak. Ikut hati, memang malas. Apatah lagi penat mengerjakan rumah kat Rawang semalam masih banyak berbaki dalam badan. Hurmmm...kalau tak masa siapa pulak yang gigih benar nak datang tolong memasak 'kan kan kan!

Dengan malas dan longlainya, melangkah ke dapur. Keluarkan semua benda penting untuk mengerjakan si Mini Tortilla Pizza's. Macam biasa, kena superspicy dan crispy, baru yumyummmm...!

Kalau uolls nak try, boleh. Senang sangat membuatnya, tak sampai setengah jam dah boleh ngap. Bahan-bahannya pun senang nak dapat dan resipi ni sama dengan mini tortilla pizza's yang aku post dalam entry sebelum ni cuma versi guna sosej sebab tak ada stock pepperoni.


Makanan kecik comel ni boleh dijadikan hidangan utk minum petang / mkn malam. Simple & sedap. Nah resipinya...

Bahan:
3 keping tortilla wrap, dipotong bulat mengikut acuan muffin
1 biji tomato, dipotong dadu
Sos pizza/ sos tomato secukupnya

Sedikit lada hitam kisar
1 mangkuk keju parut
Pepperoni secukupnya

Cara membuatnya:
1. Panaskan ketuhar 10 minit. Sementara itu, susun kepingan tortilla di dalam acuan muffin.
2. Oleskan sos pizza atau sos tomato pada kepingan tortilla dan tabur sedikit lada hitam.
3. Masukkan satu camca teh tomato yang dipotong dadu.
4. Bubuh keju parut dan akhir sekali letak serta susun pepperoni di atasnya.
5. Bakar 15 minit atau sehingga kepingan tortilla bertukar warna keperangan.