Kekalahan yang tidak dijangka berlaku saat2 akhir perlawanan-Gambar Utusan |
"Untuk itu saya meminta maaf kepada semua penyokong bola sepak negara kerana menghampakan anda semua dengan kekalahan ke atas Bahrain."
Demikian luahan pemain sayap skuad bawah 22 negara, Mohd. Fandi Othman selepas skuad negara kalah 2-3 kepada Bahrain pada perlawanan Kelayakan Olimpik kelmarin.
Mengakui masih sukar menerima kekalahan tersebut, Fandi berkata, kelekaan selepas mendahului 2-0 menjadi penyebab utama mereka dikejutkan dengan tiga gol pantas Bahrain.
Ia meleburkan impian pasukan negara untuk mencatat kemenangan pertama dalam saingan pusingan akhir kelayakan Sukan Olimpik London 2012.
"Selepas mendahului dengan kelebihan dua gol, kami sedikit leka dan mengambil sikap mudah tambahan lawan bermain dengan 10 orang.
"Sebaik sahaja lawan memperoleh gol pertama pada minit ke-80, mereka seolah-olah mendapat semangat baru.
"Sedangkan kami sebaliknya gagal bertahan dengan baik mempertahankan kedudukan.
"Perlawanan ini boleh dikatakan paling pahit dalam karier saya bergelar pemain bola sepak profesional.
"Diharapkan kekalahan semalam memberikan pengajaran paling berguna kepada saya dan rakan-rakan yang lain pada masa akan datang, " kata Fandi, yang beraksi dalam kecederaan hamstring sepanjang perlawanan.
Selain Fandi, seorang lagi tonggak tengah, Mohd. Irfan Fazail juga terpaksa menghabiskan baki permainan dalam keadaan cedera.
Cuba lagi Harimau Muda-Gambar Utusan |
Pertahanan negara, Mohd. Fadhli Shas juga meminta maaf kepada kepada penyokong, sambil mengakui dia sukar melelapkan mata apabila mengenangkan kembali detik 10 minit terakhir perlawanan.
"Saya tidak dapat tidur semalaman selepas perlawanan. Sukar hendak percaya dengan apa yang terjadi, tidak tahu bagaimana saya hendak memperjelaskan bagaimana situasi sebenar semalam.
"Segalanya berlaku dengan pantas, pemain hilang fokus dan kebanyakan antara kami mula keletihan di samping beberapa rakan sepasukan bermain dalam keadaan cedera, " katanya.
Walaupun sedar peluang Malaysia semakin tipis untuk melayakkan diri ke saingan Sukan Olimpik London, Fadhli tetap berharap mereka dapat menebus maruah yang tercalar pada perlawanan di Bahrain yang dijadualkan pada 5 Februari depan.
"Kami akan cuba lupakan kekalahan dengan Bahrain, kami mahu memulihkan kembali semangat dalam masa tiga bulan ini apabila akan ke Australia pada bulan depan," katanya.-UTUSAN
No comments:
Post a Comment