.

Monday, November 18, 2013

Ahmad Ammar Ahmad Azam, syahidnya pejuang muda berjiwa besar...




Ya Allah, sungguh terpukul batin aku tatkala menyaksikan video di atas (malam tadi ketika mahu mengulit mata). Rasa malu, kecewa, kesal, pedih, rugi…ah semua rasa berbaur menjadi satu, sukar untuk aku luahkan melalui kata-kata. Menggigil kalbu aku melihat setiap paparan di dalam video ini, hanya Dia saja Maha Mengetahuinya.

Kesannya, aku gigih mencari empunya diri di dalam video di atas. Berbekalkan nama penuhnya, Ahmad Ammar bin Ahmad Azam Ab Rahman, aku menemui beberapa informasi mengenainya. Penemuan yang membuat hati aku terkesima, Ya Allah betapa hebatnya pejuang muda berjiwa besar ini.

Dalam pencarian aku, aku temui juga informasi di bawah ini. Kata-kata Presiden ABIM, HAJI AMIDI ABD MANAN, yang didapati daripada blog milik chedinsphere.blogspot.com . Walaupun informasinya tidaklah begitu lengkap, namun cukup untuk menjelaskan siapa Ahmad Ammar Ahmad Azam Ab Rahman (boleh rujuk petikan tulisan Haji Amidi di bawah).

Salam.
Warga besar PKPIM-ABIM-WADAH dan rangkaiannya mengucapkan takziah atas kembalinya ke rahmatullah, sahabat kita Saudara Ahmad Ammar bin Ahmad Azam Ab Rahman, anak kepada Tuan Hj Ahmad Azam Ab Rahman (mantan Presiden ABIM dan Timbalan Presiden WADAH).

Ammar ialah seorang ahli dan pimpinan ABIM yang aktif. Beliau meninggal di Istanbul (yang berada di sana kerana mengikuti pengajian peringkat ijazah). Anak lelaki tunggal Tuan Hj Ahmad Azam ini telah kembali ke rahmatullah akibat kemalangan jalan raya di Istanbul.

Semoga ALLAH mencucuri rahmat kepada roh Allahyarham dan dikurniakan ketabahan dan keredhaan kepada Tuan Ahmad Azam sekeluarga. Seluruh warga PKPIM-ABIM-WADAH amat merasai kehilangan beliau yang merupakan permata bagi perjuangan Islamiah ini. Allahyarham adalah bintang yang berpotensi untuk bersinar pada masa akan datang.

Ammar merupakan pelajar terbaik SPM 2010, Maktab Tentera Diraja (MTD-RMC) dan sedang melanjutkan pengajiannya di Turki dalam bidang Sejarah. Anak yang dipersiapkan oleh kedua ibu bapanya untuk menjadi mujahid dakwah telah dipanggil Penciptanya pada 2 November 2013. Hanya kepada ALLAH kita berserah segalanya dan mudah-mudahan ALLAH merahmati dan memberi ganjaran setimpal kepada kedua-dua ibu bapanya yang ‘menyerahkan’ kembali anakanda mereka dengan penuh redha. Aamiin.

Ahmad Ammar seorang anak muda yang baik. Jarang dapat ditemui anak muda sepertinya. Tekun dan berdisiplin, taat dan bercita-cita tinggi. Tidak banyak bersuara di depan ramai. Pandai menempatkan diri di tengah khalayak dan paling menyentuh perasaan ialah apabila mengingatkan perilakunya yang penuh sopan serta sikap hormatnya kepada yang lebih dewasa. Semoga Allahyarham menjadi penuntun ibu bapanya ke syurga.

Allahyarham Ahmad Ammar, bersemadilah engkau di sana. ALLAH menyayangimu. Sungguh, hidupmu bersama perjuangan, matimu pula ketika dalam perjuangan, ditakdirkan ALLAH, jasadmu juga bersama para pejuang-pejuang agama ALLAH yang mati mereka juga di dalam perjuangan.

Hidup dikelilingi orang-orang soleh, mati pula bersemadi jasadnya dikelilingi jasad orang-orang soleh. Takdir ALLAH buat hamba-NYA yang terpilih. Hanya ALLAH yang lebih mengetahui akan hikmah sesuatu peristiwa.

Di Istanbul, Eyub merupakan tempat letaknya Maqam Abu Ayyub al-Ansori, sahabat Nabi yang mulia. Merupakan sebahagian daripada pahlawan Islam daripada angkatan pertama tentera kaum muslimin di dalam cubaan menakluk Kota Konstantinopel.

Buat anak-anak muda di luar sana, sempena tahun baru hijrah ini, jika tidak dapat berazam jadi orang soleh, sekurang-kurangnya. berazamlah untuk dekat dengan orang-orang soleh. In sya ALLAH, akhir hayat kita akan diiringi oleh orang-orang soleh, didoakan ruh kita oleh orang-orang soleh. In sya ALLAH, semoga kita juga akan ditempatkan dalam kalangan orang-orang soleh.
 

Di bumi yang asing, pemergiannya dihadiri ramai. Beliau telah dikebumikan di sekitar maqam sahabat Rasulullah SAW, Abu Ayub Al-Ansari. Selamat bertemu Maha Pencipta saudaraku Allahyarham Ahmad Ammar.

Jenazah Allahyarham Ahmad Ammar bin Ahmad Azam disolat dan dikebumikan di Masjid Ayub Sultan, Istanbul Di sana juga terdapat maqam sahabat Rasulullah S.A.W yakni Abu Ayub Al-Ansari R.A.

Awal Muharram di Turki, Ammar disemadikan di Eyub Sultan disaksikan ramai pelajar Risalah an Nur di ketuai Hoca Said Nuri, pemimpin utama Hayrat Vakfi. Hoça Said Nuri
(ada sumber menulis 'Hoja Said Nuri'), pemimpin spiritual gerakan Heyrat Vakfi turun untuk bersama Tuan Haji Ahmad Azam Ab Rahman dan isteri, Puan Hajjah Nur Azlina berserta anak-anak muridnya dalam majlis pengebumian Allahyarham Ahmad Ammar.

Perkuburan Eyub Sultan tempat Ammar disemadikan menghadap Laut Golden Horn. Tanah perkuburan yang menempatkan lebih 60 orang para sahabat Nabi SAW, awliya, panglima Uthmaniyyah dan orang ternama.

Takdir ALLAH, Dato Bandar Eyub memberi pengecualian rakyat Malaysia pertama ini. Subhanallah. Peristiwa bersejarah ini pasti mempunyai signifikan sejarah buat hubungan dua hala bangsa Melayu-Turki dan Islam untuk menjadi lebih sakti. Tidak lupa juga jasa hubungan dua hala ABIM dan Hayrat İnsani Yardım. (*seperti dipetik daripada tulisan HAJI AMIDI ABD MANAN, Presiden ABIM menerusi blog chedinsphere.blogspot.com.)
 
Perginya Ammar satu kehilangan besar (sumber gambar:chedinsphere.blogspot.com)
...ya, penuntut jurusan Sejarah di Universiti Marmara, Turki kembali ke rahmatullah pada 2 November lalu selepas terbabit dalam satu kemalangan ketika sedang melintas jalan di bandar Istanbul.

...sama seperti anda, saya juga tertanya-tanya mengapa berita kematiannya begitu diperkatakan. Selepas melihat video di atas, memang wajar pemergiaannya 'menjadi heboh'.  'Pejuang muda berjiwa besar' berusia 20 tahun ini cukup istimewa, lihat saja saat dia kembali bertemu PenciptaNya, seperti:-

* Allahyarham disemadikan di Perkuburan Eyub Sultan menghadap Laut Golden Horn, Turki. Tanah perkuburan ini menempatkan lebih 60 jasad sahabat nabi, termasuk sahabat Nabi, Abu Ayub Al-Ansari r.a., golongan auliya’, panglima Uthmaniyyah dan orang kenamaan di sana.

* Datuk Bandar telah memberi pengecualian kepada Ammar, Allahyarham menjadi orang Malaysia pertama disemadikan di sana.

* Ramai orang termasuk masyarakat setempat selain rakan satu universiti hadir ketika Allahyarham disolatkan di Masjid Ayub Sultan, Istanbul seterusnya mengiringi jenazah Ammar ke kubur. Subhanallah!

* Orang ramai berebut untuk menjadi sebahagian orang yang mengusung keranda Allahyarham, Allah 'nikmat yang Ammar dapat sangat luar biasa.

* Tengok sendiri di dalam video ucapan imam di sana, ramai tersentuh dan mengalirkan airmata. Padahal, Ammar, hanya salah seorang penuntut dari Malaysia yang berada di sana.

...dan benarlah, perbuatan baik itu pasti mendapat balasan yang baik daripadaNya.

 
*p/s: Ahmad Ammar Ahmad Azzam, daripadaNya engkau datang dan kepadaNya jualah engkau kembali. Semoga syurga Allah milikmu. Al-Fatehah.

6 comments:

Siti Asiah said...

al -fatihah...

fatimah said...

Suka sangat dengar kisah Ammar. Terima kasih untuk perkongsian yang menarik. ��

snapsqueen said...

Saya 'terkilan & ralat' 'mengenali' arwah. Selepas pemergiaannya baru dapat tahu masih ada anak muda sanggup berjuang untuk agamanya. Al-Fatehah utk Ahmad Ammar.

snapsqueen said...

Al-Fatehah, semoga syurga Allah tempatnya.

fifi said...

Untung dan bertuah sungguh keluarga ammar ad permata begini....

snapsqueen said...

...ya Fifi, saya setuju tu