Fazura-gambar BH Online |
Nur Fazura terus berlakon walaupun dibantah ibu
SELEPAS menceburi dalam bidang lakonan hampir lapan tahun, Nur Fazura mengaku dia sebenar ingkar kepada ibunya kerana meneruskan kerjaya itu sedangkan tidak mendapat restu daripada orang tuanya itu.
Ibunya memang menentang hasratnya untuk menjadi pelakon tetapi dia tetap meneruskan juga kerana minat dan cintakan dunia lakonan tetapi menegaskan akan bersara awal apabila tiba waktunya.
Nur Fazura mula berlakon pada tahun 2004 dengan filem pertamanya berjudul Bicara Hati arahan Datuk Rosnani Jamil.
Sejak kebelakangan ini, dia sudah mula mengurangkan pembabitannya di layar perak selepas filem Pisau Cukur. Filem terbarunya ketika ini Bujang Terlajak Belum Terlanjur arahan A Razak Mohaideen.
Keputusan bersara awal itu pun bukanlah kerana tunduk dengan kehendak ibunya tetapi lebih kepada memilih karektor yang lebih baik.
“Emak memang tidak suka saya berlakon sejak dari dulu lagi kerana dia mahu melihat saya terbabit dalam kerjaya lain atau perniagaan tetapi kerana minat saya teruskan juga berlakon.
“Mungkin sebab sudah berusia 52 tahun dan mudah sensitif menyebabkan emak bersikap macam itu. Apapun bukan niat saya untuk menderhaka. Ini semua kerana minat,” jelasnya.
Mengenai ‘pertikaman lidah’ dengan Neelofa menerusi laman Twitter, Nur Fazura berkata, dia sebenarnya tidak suka bercerita dengan menyentuh hal peribadi orang lain.
“Saya lebih gemar bercerita tentang diri saya, jadi tidak timbul persoalan berhubung rasa tidak puas hati. Kalau dia (Neelofa) berasakan kata-kata saya menyinggung perasaannya itu terpulang. Apa yang saya cakap atau twit adalah pasal diri saya,” tegasnya.
Nur Fazura menganggap itu hanya isu remeh dan kematangan dalam berkata-kata perlu selari dengan akal sebelum melemparkan tohmahan.
Filem Bujang Terlajak Belum Terlanjur membariskan Saiful Apek, Johan dan Nabil. Ia dianggap membuka lembaran baru kepada pelakon ini.
“Saya terima tawaran Razak sebab merasakan watak saya dalam filem ini ada kelainan dan ingin mencuba komedi ringan. Filem ini ada mesej tersendiri dan tidak memerlukan penonton untuk berfikir plot penceritaannya,” katanya.
Meskipun jarang muncul di filem berbanding drama, Nur Fazura yakin ada pihak sudi menawarkan watak yang diimpikan selama ini.
“Ini (filem Bujang Terlajak Belum Terlanjur) adalah filem pertama dan terakhir saya untuk tahun ini (2012) kerana saya lebih fokus kepada drama. Lepas ini saya sibuk dengan penggambaran dua drama arahan Erma Fatimah,” katanya.
Sering kali membawakan watak sama atau klise menyebabkan Nur Fazura berasa muak dan ini membuatkan dia bersikap cerewet dengan setiap tawaran yang datang.
“Saya banyak tolak tawaran berlakon sebab belum ada satu watak pun yang mampu menambat hati saya untuk terbabit dalam filem. Banyak karektor yang diberikan lebih kepada watak seperti dalam filem Pisau Cukur dan drama Tahajjud Cinta.
“Saya impikan watak wanita jahat yang penuh dengan perasaan benci dan dendam kerana saya nak selami hati wanita sebegini,” katanya.
*p/s: ...komen aku pulak? Kemudian la komen, la ni tgh susun ayat dlm kepala ;-P
No comments:
Post a Comment