... aku nak sharing artikel yg pernah aku tulis di dalam Majalah Jelita. Mungkin bermanfaat utk kita jadikan panduan ^_^. Jom baca eh, ini kredit utk Majalah Jelita ok.
Gambar: Google. |
Malam itu dia bertengkar dengan Bariah, dan amarah mencapai puncaknya. “Memang gaji saya tidak besar dan semua barang dalam rumah ini kebanyakannya awak yang beli. Tetapi itu tidak bermakna awak boleh meninggikan suara kepada saya,’ itulah kata yang keluar daripada mulut Mazlan.
“Saya penat bekerja, banyak urusan penting di pejabat perlu saya selesaikan. Awak pula lebih banyak masa di rumah, jadi apa salahnya pantau keadaan anak jangan asyik goyang kaki sahaja,” ujar Bariah dengan nada keras.
Kata-kata itu cukup menghiris perasaan Mazlan, dia berasa tercabar dan diperlekeh orang yang dicintainya. Perasaan marah dan terhina menguasai jiwa apabila kekurangannya dibangkitkan, sedangkan sebelum mengambil keputusan berkahwin dulu wanita itu berjanji menerima dia seadanya. Kebahagiaan dan ketenangan dalam rumahtangga mereka bagaikan lenyap entah ke mana.
Keadaan ini antara masalah yang sering timbul membabitkan pasangan suami isteri yang berbeza taraf hidup. Ketika bercinta pasangan berjanji sehidup semati dan sanggup berkorban apa sahaja. Malangnya selepas berkahwin salah seorang daripada mereka mula mempersoalkan kekurangan atau kelebihan pasangan. Mengapa keadaan ini berlaku?
“Perkahwinan seharusnya mematangkan kita
dari segi keperibadian dan emosi. Apabila berkahwin bermakna dua individu yang
berbeza kedudukan itu bersedia mengharungi kesusahan dan kesenangan bersama,”
ujar Perunding motivasi dan kaunselor daripada Hushim Motivational &
Counselling Consultancy, CR. Hushim Salleh.
Pada masa bercinta kita jarang menumpukan kepada perbezaan-perbezaan yang wujud antara kita dan orang dicintai. Tetapi apabila sudah berkahwin, kenapa banyak dari perbezaan ini dipersoalkan?
“Sebab itu pasangan suami isteri yang berbeza taraf hidup atau tahap pendidikan perlu ada persefahaman dan bertolak ansur untuk memastikan rumahtangga aman bahagia. Suami mempunyai kedudukan yang tinggi dalam rumahtangga kerana dia ketua keluarga dan isteri harus menghormati serta taat kepada suami walaupun pangkat atau pendapatan lebih kecil daripadanya.”
Namun tidak dinafikan, ada segelintir isteri bersikap angkuh, sombong dan bangga diri hingga suami berasa rendah diri. Keadaan inilah yang sering menimbulkan ketegangan dan persengketaan dalam rumahtangga.
Walaupun berjawatan tinggi dan bergaji lumayan tidak bermakna isteri boleh membelakangkan suami sebagai ketua rumahtangga. Serendah manapun taraf hidup suami, isteri harus taat dan hormat kepadanya.
“Saya ingin berkongsi sebuah kisah benar, seorang kenalan saya bertugas sebagai doktor dan berkahwin dengan lelaki yang bekerja sebagai pemandu. Perbezaan pasangan ini bagaikan langit dengan bumi namun jati diri yang tinggi, keyakinan dan keimanan menjadi teras kebahagiaan rumahtangga mereka. Paling penting mereka sentiasa belajar menerima pasangan seadanya.”
Manakala lelaki harus tahu kedudukannya sebagai ketua keluarga dan tidak sekali-kali mengabaikan tanggungjawabnya. Memberi nafkah adalah wajib meskipun si isteri itu berpendapatan tinggi namun perkahwinan tidak mengubah kedudukannya apalagi memikul tanggungjawab sebagai ketua rumahtangga.
Tiada kesedaran dalam memikul amanah serta tanggungjawab sebagai ketua rumahtangga boleh menimbulkan persengketaan pasangan suami isteri, contohnya mengabaikan nafkah (perbelanjaan) isteri, tidak menyediakan tempat tinggal yang sepatutnya, bersikap kasar terhadap isteri dan menyerahkan tanggungjawabnya (seorang suami) ke bahu isteri.
“Suami tetap bertanggungjawab memberikan nafkah kepada isterinya yang merangkumi penyediaan keperluan asas iaitu makanan, pakaian, tempat tinggal yang selesa di samping memberikan wang perbelanjaan untuk menguruskan keperluan diri, anak dan rumahtangga. Sebab itu, apabila isteri bergaji lumayan jangan ambil kesempatan atau ‘naik tocang’” katanya.
No comments:
Post a Comment