.

Sunday, September 1, 2013

Pertembungan jiwa (Part 1)...

Antara dunia penulisan, fotografi dan masakan, ketiga-tiganya sangat menyimpang. Secara jujurnya, aku menekuni bidang penulisan sejak di bangku persekolahan. Sangat menyukainya, sampai tahap berangan di dalam kelas, tengah cuci baju, kemas rumah atau bila-bila masa saja yang sempat. Juga suatu kemestian, sebelum tidur berangan panjang-panjang hahahhaa... *_*

Memasak? Oh, cukup malas. Aku memilih kemas rumah, basuh baju atau pergi pasar daripada disuruh memasak. Yup, paling tak suka kena masak itu ini...dan paling sakit hati apabila masakan dikomen dengan sadis...pedas la...masin la...tawar la. Jadi, aku tak suka masak!

Sewaktu belajar di ASK-Akademi Seni Kebangsaan (kini ASWARA) aku diterima sebagai pelajar jurusan penulisan kreatif. Serius, gembiranya tahap nak tumbuk dinding. Peralatan menulis aku cukup lengkap, siap ada bekas khas taruk segala jenis pen dan aku paling suka kumpul pen merah. Sebab? Entah...suka, itu je saya tahu -_-

Dengan pen merah itu, aku menulis banyak jenis puisi...cerpen...novel (versi separuh jalan hahaha) dan luahan rasa (sayangnya di mana semua itu? Arghhh...). Minat menulis bercambah hari demi hari, meliar dalam jiwa...padat dan padu.

Kemudian, waktu kali pertama diserap sebagai pemberita di sebuah akhbar tabloid tempatan (Warta Perdana). Di situ aku mengasah bakat secukupnya, diherdik, dimaki hamun, hasil tulisan dikoyak dan dicampak dalam tong sampah (time tu semua pemberita baru hanya boleh guna mesin taip ye, bukan komputer). Sakitnya hati, tapi aku ambil semua itu sebagai pembakar semangat.

Lepas 11/2 tahun, aku diterima bekerja di Kumpulan Karangkraf (waktu itu masih di Lorong Rahim Kajai 14, Taman Tun Dr. Ismail). Di situ, tendang terajangnya dunia penulisan akhbar lebih hebat. Masing-masing bersaing dengan cara dan agenda tersendiri, hingga ada waktu aku rasa terlalu kerdil untuk turut sama bersaing.

Uncle Aimi
Dua tahun bertahan, akhirnya aku mengaku kalah (bukan sebab tidak tahan dengan tekanan kerja, tapi serangan peribadi yang menyakitkan jiwa raga) namun rezeki dan jalan aku dalam dunia penulisan masih panjang apabila arwah Aimi Jar (bekas editor Majalah Variapop) menghubungi aku lalu menawarkan jawatan wartawan Variapop. Waktu itu agak cuak, sebab perlu menulis mengenai dunia hiburan sepenuhnya. Nasib baik aku ada basic menulis hal berkaitan hiburan sebelum ini.




Antara koleksi Majalah Variapop hasil kelolaan aku sebagai Editor Variapop. Alhamdulillah dengan pengalaman dan kepercayaan yang diberi.
Lama aku di Variapop hingga dilantik sebagai editor menggantikan Aimi Jar (aku panggil Uncle Aimi) yang ketika itu semakin sibuk dengan shooting drama dengan Skop Production.

Selepas lima tahun mengenalikan majalah itu, aku ditawar mengendalikan produk dari Indonesia terbitan syarikat sama (milik majikan Variapop). Di sini bermulalah penjelajahan ilmu dan pengalaman aku dalam dunia penulisan. Benarlah, jauh berjalan luas pengalaman. Terlalu banyak yang aku pelajari, satu pendedahan yang sangat bermakna dan aku rasa amat bertuah hingga aku tidak rasa penatnya berulang-alik antara KL-Jakarta juga Jakarta-KL.

Sejujurnya, aku sangat berterima kasih kepada Datuk Mustafa Haji Ton atas kepercayaan yang diberikan sepanjang bekerja dengannya. Beliau juga yang memberi peluang aku menjawab jawatan tinggi dan penting di syarikatnya. Aku betul-betul terharu. Gila tak, umur 22 aku dah diangkat ke jawatan Editor!

Juga kepada 'Uncle Mat' Ketua Pengarang Variapop Group merangkap Pengarang Majalah Variasari (nama penuhnya Mohd.Radzi Mahmud) yang sungguh kaya dengan bahasa sastera yang mengkagumkan. Selepas beberapa dua bekerja sebumbung, baru aku dapat tahu dia adalah penulis novel bersiri-Bercakap Dengan Jin. Ya, Tamar Jalis! Wow...bangga dan mengujakan. Tapi penulis otai ni ada pantangnya.

"Jangan sembang kat orang, diam-diam saja tau. Uncle tak nak orang tahu siapa Tamar Jalis,"

"Kenapa Uncle, rugilah macam tu. Uncle tahu tak, saya peminat setia SBDJ tau. Teruja nak heboh kat orang ni."

"Hish...Belum waktunya!"

Uncle Mat, seorang pemerhati yang sangat baik. Dalam ilmunya, rugi kalau tak berguru dengannya.
Setelah sekian lama, akhirnya 'sampai waktu' Tamar Jalis muncul...hehehe ye akhirnya Uncle Mat tunjuk diri ^_^
Itulah dialog 'Uncle Mat' setiap kali saya menggugut dia untuk mendedahkan identiti Tamar Jalis hehehe. Dengan 'Uncle Mat', aku banyak belajar ilmu penulisan secara praktikal. Orangnya sangat sopan apabila menegur kesalahan anak buahnya, buat kita rasa begitu selesa dan mahu mendengar pendapat juga nasihatnya. Terima kasih Uncle Mat, budi dan jasamu kukenang hingga ke akhirnya (nanti saya sambung bercerita lagi pengalaman saya bekerja dengan penulis hebat ini...tunggu ye).


Selepas beberapa tahun, demi mencari pengalaman baru dan memenuhi pelawaan bekerja di Majalah Jelita, aku terpaksa meninggalkan mereka yang banyak berbudi kepada aku. Aku sangat terharu apabila Datuk Mus dan Uncle Mat memberi kata-kata semangat waktu aku beritahu nak resign dan berhijrah ke Majalah Jelita.

Sekarang sudah lima tahun aku bekerja di dalam keluarga besar Majalah Jelita (terbitan Berita Publishing Sdn. Bhd) dan di sini, kesibukannya agak berlainan namun aku masih ada waktu untuk mencuba sesuatu yang baru iaitu dunia masakan.

Hurmmm...panjang lagi aku nak cerita. Tunggu ye, sekarang aku kena lari proses bahan Jelita edisi seterusnya sebelum kena jerit hahahaha!

No comments: