.

Tuesday, October 29, 2013

Kenyataan tak cerdik seorang menteri...

Muhammad Rafi’ie Azizan, anak kelima Allahyarham bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak
 YAN - Keluarga bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak mahu Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat permohonan maaf secara terbuka.

Anak kelima daripada isteri pertama Allahyarham, Muhammad Rafi’ie Azizan, 32, berkata, beliau berbuat demikian kerana berasa kecewa berhubung kenyataan Muhyiddin yang mengaitkan penyakit kencing manis dengan kematian sambil mencontohkan ayahandanya.

“Saya mewakili kedua-kedua bonda saya, adik beradik saya serta sanak saudara Allahyarham ayahanda begitu terguris hati dengan kenyataan dibuat oleh Muhyiddin ketika berkempen, 26 Oktober lalu, genap sebulan kembalinya ayahanda ke rahmatullah.

“Beliau yang menyandarkan keputusan kerajaan mengurangkan subsidi gula dalam Bajet 2014 telah mengaitkan keputusan kerajaan tersebut dengan penderitaan Allahyarham ayahanda, berikutan prosedur pemotongan kedua-dua belah kaki Allahyarham akibat penyakit diabetes,”
katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Markas Induk Pas Kawasan Jerai, di sini, semalam.

Menurutnya, beliau tampil membuat kenyataan media kerana ucapan Muhyiddin telah menyentuh sanubari mereka sekeluarga yang masih bersedih kehilangan insan tersayang.

“Air mata kami sekeluarga belum kering mengenangkan Allahyarham ayahanda dan kerinduan kami kepada ayahanda masih menyelubungi setiap detik yang kami lalui.

“Kehilangan Allahyarham ayahanda terlalu besar buat kami sekeluarga untuk dijadikan sebagai sandaran dan alasan bagi kenaikan harga gula oleh pihak kerajaan. Atas alasan apa sekalipun, dalam suasana pilu yang sedang kami sekeluarga hadapi, kami sekeluarga tidak dapat menerima ucapan dan sandaran beliau itu,”
katanya.

Ini berikutan, kenaikan harga gula itu sebenarnya adalah untuk mengurangkan beban kerajaan dan bukannya untuk mengurangkan jumlah penghidap diabetes.

“Kami memohon supaya Muhyiddin dapat membuat permohonan maaf secara terbuka kepada kedua-dua bonda saya yang tercinta, adik beradik saya dan sanak saudara, sama ada yang dekat mahupun jauh, yang telah tersinggung dengan ucapan itu.

“Muhyiddin tidak wajar sama sekali menyeret penderitaan Allahyarham ayahanda Azizan sebagai modal politik beliau,"
katanya. (Sumber berita: Sinar Harian)

p/s: ...berhujahlah dengan fakta yang tidak menyingung mana-mana pihak (atau individu). Bercakap sesuatu membabitkan nama orang yang telah meninggal dunia bukan saja satu penghinaan nyata, malah satu yang bersifat tidak adil kerana si mati tidak lagi berupaya mempertahankan dirinya.

No comments: