.

Monday, November 11, 2013

Medium dakwah Dian Pelangi...


Dian Pelangi
Kenal Dian Pelangi? Bagi wanita berhijab yang gemar mengikuti perkembangan fesyen terkini, pastinya nama Dian mesra di telinga, bukan? Hari ni, akua rasa nak menulis sesuatu mengenai wanita ini kreatif ini.

Ya, wanita tinggi lampai ini hampir memiliki pakej lengkap sebagai wanita moden. Tidak sekadar memiliki rupa paras menarik dan pandai bergaya, malah ada ilmu dan berjaya dalam bidang dicintainya.

Dia bukan saja seorang pereka fesyen, malah trendsetter. Penampilan hariannya menjadi panduan wanita muslimah bergaya moden. Tidak hanya di Indonesia, rekaannya dikenali hingga ke luar negara termasuk Malaysia. 

Bermula daripada blog peribadinya, Dian tidak menyangka blog yang dibuat atas dasar 'suka-suka' itu mendapat perhatian, bahkan menjadi panduan kepada ramai wanita khususnya muslimah yang mahu tampil moden dan unik.

Inspiring girl
Dia juga berjaya membuktikan, berhijab tidak akan membataskan cita rasa berfesyen malah masih boleh mengikuti perkembangan fesyen semasa asalkan tidak melanggar syariat yang ditetapkan Islam. Sentuhan dan cita rasa fesyen pemilik nama, Dian Wahyu Utami ini menjadi inspirasi sekali gus fenomena gaya berhijab.

Kata Dian dalam satu pertemuan dengannya di majlis IFF di Hotel Marriot, KL, akhir tahun 2012, “Sejak awal lagi, saya memang mahu menunjukkan meskipun kita berhijab tapi masih boleh tampil moden dan tidak melanggar tuntutan agama. Saya lihat, ramai muslimah salah langkah apabila bergaya. Mereka mahu tetap berhijab dan tampil fashionable, tapi menyalahi tuntutan syariat.
Ramai juga yang menterjemahkannya dengan mengenakan jean dan kemeja-T ketat. Padahal, muslimah tidak boleh mengenakan pakaian yang menampakkan bentuk tubuhnya. Jadi, dalam setiap busana rekaan, saya mengetengahkan konsep ‘tertutup tapi tetap fashionable’,” kata graduan ‘Ecole Superieur des Arts et Techniques de la Mode (ESMOD), Jakarta ini.

Koleksi kreativiti Dian
 Pentas antarabangsa
...wanita kelahiran Palembang, 14 Januari 1991 ini mempunyai kreativiti tidak terbatas. Setiap rekaannya unik, segar dan penuh warna-warni, selain diselitkan elemen kain tenun tradisional yang membuat hasil rekaannya nampak ‘mewah’ dan berjaya menembusi pasaran antarabangsa seperti Paris, Singapura, Australia, London, Abu Dhabi, Jordan dan Pakistan. Lebih membanggakan, dia turut dijemput menyertai International Fair of Muslim World yang diadakan di Le Bourget Exhibition, Paris.

... revolusi busana muslimah moden yang diperkenalkannya cukup kreatif dan menarik perhatian ramai sekali gus menepis tanggapan wanita bertudung tidak boleh bergaya. Lihat saja penampilannya tatlala bergaya dengan gaun labuh yang dipadankan bersama jaket, selendang berwarna-warni dililit pelbagai cara dan aksesori menarik melengkapkan gaya hijab urban.

...justeru, tidak hairanlah apabila selera fesyennya mendapat sambutan memberangsangkan. Lebih menarik, setiap sentuhan fesyennya  menekankan pelbagai rekaan dengan warna terang dan gabungan warna kontras mengikut gaya terkini yang semakin berkembar di pentas peragaan khususnya colour blocking.

..."Syukur, kreativiti saya diterima dengan baik sama ada di Indonesia mahupun di Malaysia. Seiring perkembangan dunia fesyen, wanita berhijab pasti tidak mahu ketinggalan. Mereka masih boleh bergaya sesuai personaliti diri dan tuntutan agama. Saya juga menyifatkan hasil kreativiti ini sebagai medium dakwah,” kata Dian Pelangi yang kini membuka butiknya di Jalan Telawi, Bangsar, Kuala Lumpur.

...melihat koleksi yang ditawarkan pereka muda berbakat ini, ternyata dia mempunyai cita rasa fesyen yang unik khususnya dari segi potongan dan pemilihan warna. Selain kepelbagai fesyen dan gaya yang boleh disuai padan mengikut selera masing-masing seperti gaun labuh digayakan bersama jaket pendek,  blaus ikat dan celup dipadankan dengan skirt labuh polos.

Songket tampil kreatif dan eksklusif ditangan Dian
Pilihan busana eksklusif rekaannya juga sesuai digayakan ke majlis rasmi dengan mengetengahkan elemen songket berinspirasikan sentuhan nusantara. Pilihan jubah dan abayanya, menawarkan pelbagai koleksi moden tetapi masih menekankan elemen terpenting iaitu penutupan aurat yang sempurna.
Penampilannya sentiasa berbeza hasil kreativiti sendiri
Serius, aku kagum dengan bakat yang diberi Allah kepadanya dan kejayaan yang dimiliki wanita ini. Dia menggunakan sepenuhnya kemampuan dan kelebihan diri hingga berjaya menggenggam impian serta cita-citanya. Dia juga menjadi sumber inspirasi ramai wanita untuk menyerlahkan bakat dan kreativiti diri. Tahniah Dian.







No comments: