ADAPTASI novel popular ke layar perak bukanlah perkara baru. Di negara kita sendiri, perkembangan ini berlaku sejak era 1980-an apabila novel Langit Petang karya Datuk A Samad Said dan Ranjau Sepanjang Jalan karya Datuk Shahnon Ahmad difilemkan dan mendapat sambutan baik.
Era pertengahan 1990-an pula menyaksikan novel Mira Edora karya Khadijah Hashim difilemkan dan ia kembali rancak akhir-akhir ini bermula dengan Lagenda Budak Setan (LBS) adaptasi dari novel popular era awal 1990-an tulisan Ahadiat Akashah yang mendapat sambutan baik ketika ditayangkan di pawagam tahun lalu.
Astro Shaw bersama Tarantella Pictures Sdn Bhd ini sekali lagi mengangkat novel popular ke filem melalui Ombak Rindu karya Fauziah Ashari.
Pemilihan Ombak Rindu yang diterbitkan Alaf 21 pada 2002 memang tepat kerana ia bukan saja laris hingga diulang cetak sebanyak 23 kali, malah makin menarik di tangan Osman Ali sebagai pengarahnya hingga mendapat sambutan hebat apabila mencatat kutipan RM4 juta untuk tayangan empat hari.
Namun, dalam manis terselit juga kontroversi apabila Fauziah dikatakan tidak senang dengan beberapa perkara dalam pembikinan filem ini termasuk skripnya yang dikatakan ada campur tangan orang lain.
Malah, dia juga dikatakan menerima bayaran yang tidak setimpal dan agak menyedihkan berbanding sambutan terhadap kejayaan filem ini. Benarkah dakwaan ini? Wartawan Rap, Ridzuan Rahman (mohamadridzuan@hmetro.com.my) mendapatkan penjelasan Fauziah sendiri menerusi e-mel kerana menetap di Johor.
RAP: Bagaimana timbul idea menulis Ombak Rindu?
FAUZIAH: Ini novel kedua saya selepas Pergilah Sepi dan mula menulisnya pada 2001. Selama tujuh bulan menulis dan beberapa bulan di tangan penerbit, 2002 ia berada di pasaran. Idea timbul adalah gabungan dari tontonan drama bersiri Hong Kong ketika zaman sekolah saya iaitu tahun 1980-an dan pembacaan kisah benar di majalah mengenai perempuan yang jatuh cinta pada perogolnya pada akhir 1980-an.
Seorang perempuan yang meminta pandangan pada pembaca bagaimana untuk melepaskan diri kerana dia sendiri merelakan diri untuk terus menjadi perempuan simpanan lelaki yang sudah berkahwin dan berlainan agama. Saya tak tahu kesudahan kisah perempuan itu, tapi asas itu yang saya ambil iaitu jatuh cinta pada perogolnya dan drama Hong Kong itu pula, seorang penjahat yang jatuh cinta pada pegawai polis. Prinsip pelakon jahat itu yang saya ingat ialah hanya ada dua perkara yang benar dalam hidupnya iaitu cintanya pada pegawai polis itu dan keduanya kerana wang.
Kerana itu saya bina watak Hariz yang punya prinsip begitu. Kerana cinta dia ‘simpan’ Izzah dalam rahsia. Kerana wang dia teruskan perkahwinannya dengan Mila walaupun dia tak cinta. Saya bina watak Izzah jatuh cinta pada Hariz walaupun Hariz menganiayanya tetapi dalam novel, perlu ada sebab yang kuat untuk cinta itu datang. Kelogikan itu perlu untuk membawa mood pembaca. Di situlah saya bina perwatakan lain seperti kekuatan Izzah dalam agama, prinsip Hariz yang tidak kaki minum, kaki perempuan dan kaki judi. Biar siapapun ‘Hariz’, perempuan dalam hidupnya hanya Izzah.
RAP: Dari mana bermulanya cadangan mengadaptasi Ombak Rindu kepada filem?
FAUZIAH: Saya tak tahu menahu mengenai perancangan itu kerana saya hanya tahu melalui akhbar. Tidak lama kemudian, baru penerbit buku telefon saya dan pada hari yang sama, saudara Osman Ali menghubungi saya minta restu, bersembang santai bertanya perwatakan dan bertanya senarai pelakon yang sesuai.
Namun, keputusan masih di tangan mereka. Saya melihat itu hanya perbualan untuk mendapat idea siapa yang mereka rasa sebenarnya layak mendukung watak-watak itu. Penghormatan pertama rasanya apabila Osman Ali menghubungi saya gara-gara Ombak Rindu mahu difilemkan.
RAP: Pandangan anda terhadap keseluruhan filem ini?
FAUZIAH: Sejujurnya, keseluruhan filem baik dan berjaya. Kalau tidak, takkan mendapat pujian hingga ada yang mengatakan filem terbaik tahun ini. Kesilapan sikit itu tak mencacatkan keseluruhan filem, tapi kesilapan sedikit itulah yang saya tak berapa puas hati. Saya jenis teliti. Kalau menulis pun, setiap watak amat teliti dengan perwatakannya. Inikan pula bila karya saya diangkat ke filem, pasti ketelitian saya sungguh-sungguh. Malangnya, saya tak terbabit dalam penulisan skrip cerita itu. Novel 10 tahun yang lalu, pasti ada yang tak sesuai untuk paparan hari ini.
Bagi saya, apa yang kurang di novel, ditambah dalam filem. Bagus dan saya sokong perubahan itu. Tapi penulis skrip tetap terlepas pandang kerana ada lagi ayat yang baik di novel, tetapi tidak dimasukkan untuk menguatkan lagi filem. Kerana itu juga, saya berharap dan berkata pada masa akan datang jika sesebuah novel ingin diadaptasi ke filem atau drama, pihak penerbit ringan-ringankan mulut, rendah-rendahkan hati melantik penulis buku sebagai penulis skrip bersama atau penasihat skrip supaya filem lebih mantap. Ini juga yang saya katakan pada 22 November lalu, tapi amat sukar melihat dua perkataan iaitu lebih mantap di mana-mana tulisan. Mungkin ada dan saya terlepas pandang, tapi yang saya baca tiada. Bagaimanapun, saya berterima kasih pada mereka yang menulis sama ada positif atau negatif. Setiap sesuatu yang berlaku pasti ada hikmahnya.
RAP: Bagaimana perasaan anda apabila filem ini mendapat sambutan hebat?
FAUZIAH: Alhamdulillah, saya nak kata apa lagi. Idea cerita asal saya disukai penonton dan jalan cerita filem diambil daripada idea daripada buku yang saya tulis. Separuh daripada skrip yang ditulis ada di dalam buku. Semestinya saya bangga dan saya percaya, mereka berduyun-duyun datang kerana jalan cerita novel itu.
Ada yang kata pada saya, tak pernah jejak panggung seumur hidup, tapi kerana Ombak Rindu, dia sekeluarga ke panggung juga. Malah kawan saya sanggup mengheret suaminya yang kurang upaya semata-mata nak melihat Ombak Rindu dalam versi filem. Bagi saya, majoriti yang menonton filem adalah kerana novel itu sendiri. Tapi tak tahulah kalau ada yang menafikan bukan kerana novel. Bagaimanapun, ia tetap kerana sokongan yang lain juga seperti pelakon yang hebat dan garapan pengarah yang baik.
RAP: Bagaimana timbul kenyataan anda tidak puas hati?
FAUZIAH: Apabila saya menonton, saya kata pada sidang media pada 22 November lalu, saya kata tak berapa puas hati. Malangnya sesetengah mereka menulis saya tak berpuas hati. Ini seolah-olah saya tak faham apakah makna adaptasi. Saya amat kecewa di situ. Saya tak kecewa dengan filem, tapi saya kecewa apabila kenyataan saya diputarbelitkan. Tulisan itu menimbulkan tanggapan negatif di pandangan umum sedangkan ‘tak berapa puas hati dan ‘tak berpuas hati’ itu maknanya juga lain.
Sayangnya tiada sesiapa yang bertanya, kenapa saya tak berapa puas hati. Bagi saya, empat lima jam membaca novel menjadi 2 jam tontonan, memanglah semuanya dipendekkan. Saya jelaskan saya bersikap terbuka dan tak kisah itu, maknanya itu bukan punca saya tak berapa puas hati. Jika mereka salah dengar atau salah faham, saya minta maaf, tapi tertanya-tanya juga takkan tak dengar kalau mereka yang duduk di belakang boleh dengar? Kenapa tak tanya untuk penjelasan lanjut? Jangan tulis saya kecewa dengan filem sebab nada saya tak menunjukkan saya kecewa.
RAP: Boleh jelaskan dakwaan mengatakan anda menerima bayaran yang tidak setimpal berbanding kejayaan filem ini?
FAUZIAH: Segalanya tidak dijangka. Kelemahan perjanjian yang ‘memakan’ penulis. Semua orang tak jangka, tapi ada tertulis dalam perjanjian bermaksud bahawa kemungkinan sesebuah novel difilemkan atau diteaterkan atau didramakan atau dialih bahasakan itu ada. Kalau mereka berfikir begitu hingga wujudnya perjanjian sebegitu, maka sebaiknya perjanjian lebih telus dan menjamin penulis.
Saya percaya antara kos mereka cuma kos masa untuk berbincang, kos kertas perjanjian dan guaman dengan pihak penerbit filem. Dalam hal ini, sewajarnya boleh dapat lebih kerana mereka tak ada kos cetak, iklan seperti menerbitkan buku. Hanya menyerahkan hak untuk diterbitkan. Seperti yang saya kata, penerbit buku tak jangka lalu perjanjian sambil lewa lebih memihak satu pihak. Saya yang baru berjinak-jinak dalam bidang ini, memang tidak memahami apa-apa, maka perjanjian diteruskan.
RAP: Bagaimana ia boleh berlaku?
FAUZIAH: Pendek kata, mencari seseorang atau sesebuah organisasi apabila membabitkan wang, mahu mencari ketelusan itu amat sukar. Masing-masing hanya fikir diri sendiri tanpa memikirkan siapa punya idea, siapa punya cerita dan pentingnya Ombak Rindu itu milik siapa seolah-olah semua nak mengaku Ombak Rindu hak mereka. Perjanjian filem antara dua penerbit, saya tidak tahu butiran perjanjian. Di situ sepatutnya hak penulis dijamin oleh penerbit buku kalau perjanjian antara penerbit buku dan penulis berlaku 10 tahun lalu yang kononnya semua tak jangka hingga jadi begini.
Sememangnya tak setimpal. Dapat sikit, tolak ulang-alik ke Kuala Lumpur beberapa kali kerana sokongan padu pada filem Ombak Rindu, saya tak dapat sesen pun. Anda percaya? Tentu tidak dan saya juga tidak percaya, begini rupanya hak penulis dan hak idea cerita asal di Malaysia. Salah siapa? tidak tahulah.
RAP: Apakah Fauziah melihatnya sebagai ketidakadilan?
FAUZIAH: Ya, pasti. Judul Ombak Rindu itu sendiri bermula daripada saya. Ia judul pilihan saya sendiri dalam versi novel. Story line itu idea yang saya cari, perah dan luaskan. Kata-kata ‘reda dan pasrah’ yang sesetengah orang kata itu bahagian paling menarik dan bermesej itu sendiri ada dalam buku saya. Malah penerbit filem mahu menukar judul lain pun tak dapat dan menganggap Ombak Rindu juga lebih sesuai. Namun mahu dengar dan lihat di mana-mana tulisan mengucapkan terima kasih pada saya, amat sukar. Tapi saya dimaklumkan ada rakan akhbar Inggeris yang memuji.
Bagaimanapun, saya harus berfikiran positif. Kelebihan dan kebaikan pada saya barangkali pembaca Ombak Rindu sama ada yang lama atau baru mendapat manfaat daripada novelnya. Rezeki yang datang kepada saya mungkin dalam bentuk lain selain royalti yang tak seberapa walaupun Ombak Rindu menjadikan dua penerbit mengaut keuntungan bersih yang boleh mencapai ke tahap jutaan ringgit.
Kebaikan untuk saya pula, saya belajar banyak perkara daripada penerbit buku dan penerbit filem. Saya bersyukur dan teruskan berkarya. Hidup ini kalau fikir ‘sakit’, ‘sakit hati’, ‘kecewa’ tidak ke mana sudahnya.
RAP: Saranan anda agar kemelut ini tidak berlaku kepada orang lain?
FAUZIAH: Mahu berjaya memerlukan kerjasama sesama manusia. Mereka perlukan saya, saya perlukan mereka. Ertinya satu bentuk kerjasama yang telus, jujur dan logik mengikut akal di antara ketiga-tiga pihak perlu diwujudkan agar tiada satu pihak pun didiskriminasi.
Isu ini mudah sahaja, semua pihak perlu mengiktiraf harta intelek pengkarya walaupun kontrak sudah dimeterai antara penulis dan penerbit buku. Bermakna, apa jua yang ingin dilakukan ke atas sesuatu karya, harus dibincang dengan penulis sebelum mereka menandatangani satu perjanjian yang lain bukannya selepas skrip ditulis atau ketika proses pembikinan dilakukan baru meminta hanya sekadar pandangan penulis. Harapan saya, sejujurnya saya mahukan semua yang terbabit jujur dan ikhlas menerima bahawa segala karya saya adalah hak saya. Bukan sahaja saya, tetapi semua yang bergelar penulis. Bukalah minda seperti penerbit filem Barat yang memartabatkan nama penulis buku kerana tanpa buku itu tiada idea untuk buat filem. Renung-renungkan dan fikir-fikirkanlah. Sumber berita: Harian Metro-Interaksi
*Rencana ini hasil tulisan kawan aku, Ridzuan Rahman (pandai cari berita Abg Dwan ni, tgh org kemaruk Ombak Rindu mcm2 bahan dia keluarkan...weeeeeeee)
No comments:
Post a Comment