.

Monday, September 16, 2013

Awas WANITA! Jangan biar 'hari pun malam, hujan pun turun'...

Sumber gambar: Google
Hampir dua minggu lepas, aku berkesempatan menghadiri program 'Women Response Technique (WRT)' untuk pengamal media di Hotel Putra, KL. Alhamdulillah, banyak manfaat dan ilmu yang aku peroleh daripada program itu terutama soal 'kepekaan wanita' mengenai keselamatan diri serta bahaya yang ada di sekeliling mereka. Jadi, aku nak berkongsi pengetahuan ini dengan Uolls.  'kan.

Ya, tidak semestinya tempat selamat akan memberi perlindungan kepada wanita. Sebaliknya mereka perlu sentiasa berwaspada. Tanpa mengira tempat dan hubungan rapat antara lelaki juga wanita, mereka perlu menjaga diri sebaik mungkin kerana pada bila-bila masa boleh terdedah risiko bahaya.

Dalam konteks harga diri dan keselamatan, di mana-mana pun wanita itu berada seharusnya menjaga keselamatan diri. Misalnya dalam bab perkosaan, ia bukan terjadi disebabkan lebihan tenaga seksual dan tidak dikategorikan sebagai jenayah impulsif atau tanpa dirancang. Banyak kes dan bukti menunjukkan berlaku perkosaan kerana lalai dan 'percaya'.
Sumber: Google

Sumber: Google
Benar, di Malaysia, wanita bertuah kerana dilindungi dengan hak perlindungan iaitu Seksyen 375, Seksyen 354 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
 
* Seksyen 375 Kanun Keseksaan membabitkan seseorang dikatakan merogol jika perbuatan¬nya bertentangan dengan kehendak wanita, tiada kerelaan atau dipaksa kerana diancam kematian. Ini berlaku sekiranya seorang wanita itu tidak dibuka pakaiannya, tetapi hanya bahagian kain diselak dan ada kemasukan kepala zakar juga boleh didefinisikan sebagai rogol.

* Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana melakukan kekerasan jenayah dengan niat mencabul dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan.

* Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan seseorang menggunakan perkataan atau isyarat atau mengeluarkan tanda kelucahan melampau.


Bagaimanapun, pada masa sama mereka perlu mengambil sikap berhati-hati dan peka dengan persekitarannya. Walaupun individu itu dikenali, tidak mustahil  boleh menjadi pemangsa. Misalnya, kekasih atau teman lelaki yang baru dikenali.

Terdedah bahaya
Jadi, amat penting bagi wanita mempelajari teknik ringkas untuk melawan (mempertahankan diri) dan pada masa sama menanamkan dalam diri betapa penting untuk melawan walau apapun yang terjadi. Kalau tidak, maka 'hari pun malam...hujan pun turun' (menjadi mangsa dan menyesal seumur hidup).

Berdasarkan beberapa kajian dan pemerhatian, sebanyak 90 peratus daripada remaja dan wanita yang dirogol juga dicabul kehormatan, dilakukan orang yang dikenali dan 60 peratus mangsa tidak melaporkan kejadian itu.Mangsa tidak melaporkan kejadian kerana campur tangan keluarga selain malu dan tidak mahu maruah keluarga tercalar.Pemangsa yang dikenali itu termasuk anggota keluarga terdekat seperti bapa, abang kandung, abang ipar dan teman lelaki," kata Mahathir ketika mengendalikan program itu.

Wanita memang sentiasa terdedah pada bahaya kerana mereka dianggap golongan lemah. Justeru, bagi mengelak daripada sebarang ancaman atau serangan daripada penjenayah, wanita perlu mengetahui cara mempertahankan diri apabila dalam kecemasan. Wanita perlu faham pentingnya pencegahan terutama teknik mempertahankan diri ketika berhadapan  penjenayah.

Mempelajari teknik bela diri bukanlah sukar, cuma perlu ada kemahuan dan kesungguhan. Pada masa sama, bijak mengawal emosi mereka ketika berdepan dengan situasi cemas dan mengatur langkah untuk mempertahankan diri.

Kini bukan hanya wanita yang terdedah kepada bahaya jenayah, kanak-kanak khususnya turut menjadi mangsa culik, rogol dan bunuh. Jadi, sangat penting bagi ibu bapa untuk mengajar anak mereka beberapa teknik penting seperti menjerit, meninggalkan kesan dan membekalkan diri dengan alat perhubungan atau telefon.

Kejadian jenayah biasanya berlaku secara spontan dan situasi sebenar tidak sama seperti yang dirancang. Semua penjenayah apabila membabitkan kes perkosaan, tiada apa yang terlintas di fikiran mereka kecuali hanya ingin merogol mangsa. Atas kesedaran itu, CPP Training and Services (CPPTS) ditubuhkan.

WRT satu teknik bela diri wanita dicipta khusus untuk wanita sebagai 'alat' mempertahankan diri. Program yang dikendali Ketua Pegawai Eksekutif Close Personal Protection Training & Services (CPPTS) Sdn. Bhd., Mahathir Manan bersama jurulatih bertauliah ini mendedahkan  'Pembelajaran WRT menggunakan konsep 3M (Mindset, Method dan Mental Sparing)'.

Konsep 3M;
* Mindset atau minda adalah hak wanita dari segi undang-undang untuk mempertahankan diri mereka sebelum dan selepas berlaku jenayah.

* Method ialah kaedah yang boleh dilakukan wanita untuk mempertahankan diri, mengenal pasti kawasan serangan yang memberi impak kepada penjenayah dan bagaimana melepaskan diri daripada pemangsa.

* Mental Sparing adalah ketahanan mental bagi menghadapi perlakuan ganas penjenayah.

Peka & lawan
Selamatkan diri anda dengan mengetahui kawasan sensitif lelaki iaitu bahagian mata, dahi, leher, kaki dan kemaluannya. Kalau berlaku serangan, tindakan pada bahagian sensitif ini boleh menyebabkan mereka hilang kawalan. Apabila penjenayah jatuh dan tidak memberi tumpuan, segera melarikan diri bagi mendapatkan perlindungan.

Hampir 90 peratus penjenayah datang dari arah belakang bagi mengelakkan mangsa mengetahui kehadirannya atau tidak mahu wajah dikesan. Ada beberapa teknik ringkas yang diakui mempunyai keberkesanannya jika dilakukan kepada penjenayah ketika diserang.

Teknik ‘palm strike’ boleh digunakan jika jarak pemangsa berdekatan dengan mangsa. Anda boleh mensasarkan bahagian hidung, dagu dan dada. Biasanya, tumbukan wanita tidak sekuat lelaki dan mungkin boleh menyebabkan kecederaan pada pergelangan tangan mangsa.

Jadi, jika ada lelaki (tiba-tiba datang) merangkul pinggang anda, bengkokkan badan sedikit ke belakang dan pasti penjenayah turut mengikut posisi sama. Selepas itu, segera pukul bahagian dada atau dagu penjenayah dengan pantas. Ketika, penjenayah hilang tumpuan atau jatuh, segera larikan diri.

Teknik ‘cengkaman boboi’ yang mensasarkan bahagian sensitif lelaki (kemaluannya) sekiranya penjenayah datang dari arah belakang atau depan. Jika anda tidak mempunyai kekuatan tumbukan seperti lelaki, gunakan bahagian siku untuk memukul bahagian dagu atau tulang rahang muka penjenayah. Selain menggunakan kepala di bahagian atas atau belakang dengan menghantukkan ke muka penjenayah untuk meleraikan pelukan.

Ketua Pegawai Eksekutif Close Personal Protection Training & Services (CPPTS) Sdn. Bhd., Mahathir Manan menunjukkan cara melawan dan mempertahankan diri daripada menjadi mangsa penjenayah.
Teknik melawan:
  • Tapak tangan- Gunakan tapak tangan (bahagian bawah yang berisi tu) untuk memukul atau menolak rahang (bawah dagu) pemangsa.
  • Siku- Angkat siku selari dengan bahu dan sikukan pemangsa sekuat-kuatnya (target pada bahagian muka).
  •  Ibu jari- Tekan kedua-dua ibu jari pada bawah bahagian bawah mata pemangsa (tekan ke bawah) atau bahagian atas (tekan ke atas) dan jolok keluar mata (errk...berani? Mesti beranikan diri, sebelum "hari pun malam dan hujan pun turun' hehehe)
  • Ibu jari- Jika dipeluk dari belakang, tundukkan badan ke depan (ambil jarak ke belakang) dan genggam tangan dan buat ibu jari seperti 'tanda bagus', angkat badan dengan laju dan cucuk belakang (target pada mata).
  • Genggam- Genggam bibir bawah pemangsa dengan empat jari dan rentap ke bawah dengan menggunakan kekuatan badan.
  • Lutut- Tarik bahu pemangsa dan lututkan sekuat-kuatnya pada bahagian kemaluannya
  • Kaki - (tendang depan) Tendang dengan kuat pada lutut pemangsa, jangan lepaskan lagi kaki dari lutut, terus twist kaki  (kaki pemangsa akan ikut terpusing) dan tekan (henjut)
  • Kaki- (tendang belakang) Jika pemangsa berada di belakang, ambil satu langkah ke depan dan tendang dengan kuat ke belakang (untuk impak lebih kuat, tundukkan badan ketika menendang).
  • Kepala- Gunakan kepala untuk menghantukkan kepala pemangsa – (gerakan ke depan atau ke belakang, ambil jarak ke belakang sebelum hantuk kepala pemangsa).


(Maklumat lanjut mengenai program ini, boleh menghubungi talian 017-3843779, 012-5740431 atau 03-90546536 untuk maklumat mengenai teknik mempertahankan diri WRT.)
 
PENTING:
*Jerit dalam hati anda, 'Aku mesti melawan, aku tak mahu jadi mangsa!'" Jerit sekuat hati untuk melontarkan semangat anda melawan pemangsa, atau anda akan 'menyesal sejak dari tarikh anda dilahirkan...maka 'hari pun malam dan hujan pun turun.'

No comments: