.

Monday, September 16, 2013

Hijrah diri Leina Hangat...

"Saya akui bukan senang untuk berubah secara drastik tapi perkara pertama yang saya jaga ialah untuk tidak tinggal sembahyang dan sebab itu juga saya lama tidak jumpa kawan-kawan."
Leina Hangat berhijab, enggan kihat gambar lama 
Penyanyi Leina Hangat mengakui tidak mahu melihat gambar-gambar lamanya yang berpakaian seksi selepas tekad untuk berhijab dan berubah menjadi lebih baik.

Leina atau nama sebenarnya, Norazlina Abdul Rahman, 40, berkata, dia enggan menoleh ke belakang dan mahu memulakan kehidupan baru yang lebih diredai.

"Saya tidak pernah tengok gambar lama, jika orang masih bercakap fasal gambar-gambar seksi saya biarlah, itu zaman jahiliah dan saya jadikan ianya sebagai renungan untuk menjadi lebih baik.

"Semua yang terjadi dalam hidup kita ada hikmahnya, saya tidak kisah orang anggap saya tidak sempurna, asalkan saya cuba jadi yang terbaik demi Allah taala," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Ahad.

Kata Leina, dia mula berubah pada Ogos lalu selepas menghadiri kursus keagamaan yang membuatkan hatinya terdetik untuk bertudung dan menjalankan tanggungjawab kepada agama.

Jelasnya, perubahan tersebut juga membuatkan dirinya lebih banyak menghabiskan masa bersama keluarga di rumah.

"Saya rasa saya sudah terlambat dan sepatutnya dari dulu lagi saya berubah tapi saya bersyukur ada masa lagi untuk saya bertaubat. Saya akui bukan senang untuk berubah secara drastik tapi perkara pertama yang saya jaga ialah untuk tidak tinggal sembahyang dan sebab itu juga saya lama tidak jumpa kawan-kawan," katanya.

Perubahan tersebut juga membuatkan dirinya menjadi lebih tenang dan menghargai nikmat yang Allah berikan kepadanya.

Sementara itu, bercakap soal nama, Leina berkata dia masih mahu dikenali dengan nama tersebut.

"Alhamdulillah, saya rasa lebih tenang dan lebih menghargai kehidupan saya sekarang. Tentang nama itu, biarlah orang panggil nama apa pun kerana bagi saya nama itu bukan satu masalah," katanya.

Tambahnya, dia masih lagi meneruskan kerjaya sebagai penyanyi, namun kini lebih menjaga batas sebagai seorang yang berhijab. (Sumber berita; Mstaronline)

*p/s: Alhamdulillah, sesungguhnya hidayah itu masuk ke dalam jiwa hamba yang dikehendakiNya. Semoga Leina terus istiqomah, diberi kekuatan hati dan ketabahan jiwa menempuh kehidupannya. Aku gembira dengan perubahannya, sementelah sepanjang mengenali Leina... orangnya baik, tidak meninggi diri dan cukup mudah memberi kerjasama kepada rakan media. 

Aku masih ingat, ketika menemuinya di rumah (tak silap aku di Bukit Antarabangsa, KL). Waktu itu dia uzur kerana terbabit dalam kemalangan jalan raya dan menerima jahitan yang agak banyak, namun dia tetap 'gigih' melayani kehadiran aku dan berkongsi pengalaman ngeri itu. Jadi, aku sangat gembira dengan hijrah dirinya ini dan semoga Allah merahmati dirinya serta mempermudahkan segala urusannya dunia akhirat. Aamiin.

No comments: